15 sekolah lagi diberi taraf kluster kecemerlangan – Bernama


15 sekolah lagi diberi taraf kluster kecemerlangan

2012/01/30

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata pemberian itu adalah untuk fasa keenam selepas 167 sekolah menerima pengiktirafan sama pada fasa kelima sebelum ini.

“Semua sekolah yang sudah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu, di sini hari ini.

Tujuh sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Dungun, Terengganu; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang; serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.

Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

Beliau berkata, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

“SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara,” katanya. – BERNAMA