Murid tadika maut dilanggar ketika ke sekolah – Kosmo


Murid tadika maut dilanggar ketika ke sekolah

 

11/07/2013 3:34pm

 

KANGAR – Seorang murid tadika maut setelah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga ketika dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau di sini bersama kakaknya pagi tadi.

Kanak-kanak malang itu, Nur Aleya Batrisha Mashrul Nusairi, 6, terpelanting di cermin depan kenderaan itu dan maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku pukul 7.10 pagi tadi.

Manakala kakaknya, Nur Fatin Nabila, 10, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_15.htm#ixzz2YjIEJWHk
Hakcipta terpelihara

Anak tiru ‘aksi’ ibu bapa – Metro


Anak tiru ‘aksi’ ibu bapa

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Neraka dunia. Itu yang terpaksa diharungi seorang penjawat awam wanita berusia 30-an apabila sering dipaksa suaminya yang juga berusia 30-an melakukan aksi seks, termasuk luar tabii di hadapan ketiga-tiga anak mereka di ruang tamu rumah sejak tujuh tahun lalu.

Lebih menjijikkan suami bernafsu binatang itu juga gemar merakam aksi ‘bersama’ mereka sejak malam pertama perkahwinan sehingga kini.
Sumber berkata, lebih mengaibkan mangsa, anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun sering melakonkan kembali adegan seks itu bersama abang sulungnya berusia 15 tahun.

 

Katanya, hati ibu mana yang tidak hancur melihat perbuatan jijik suami yang merosakkan ketiga-tiga anak mereka berusia tujuh hingga 15 tahun itu.
“Mangsa mendakwa dia sudah diperlakukan sedemikian sejak berkahwin dengan suaminya lebih 15 tahun lalu, malah pada malam pertama aksi mereka di dalam bilik dirakam suaminya menggunakan telefon bimbit dan kamera video.
“Namun, selepas mendapat cahaya mata, suaminya bertambah pelik dengan memaksanya melakukan aksi bersama termasuk di luar tabii di hadapan ketiga-tiga anak mereka,” katanya.

 

 

Kata sumber itu, jika si isteri enggan menuruti kemahuan gila suami, dia dibelasah.
Dia berkata, lelaki terbabit baru saja berkahwin lain awal bulan lalu dengan seorang wanita dari negara jiran, namun sikap jijiknya melayan mangsa tidak berubah.

 

“Suami mangsa juga bukan saja merakamkan aksi seks mereka, malah aksi mangsa yang membuang air kecil di dalam tandas juga dirakam bagi tujuan koleksi.
“Daripada pengakuan mangsa, suaminya sudah mempunyai banyak koleksi rakaman aksi ‘bersama’ mereka dan tidak mengetahui tujuan dia bertindak demikian,” katanya.
Tidak tahan dengan tabiat buruk suaminya, wanita berkenaan memohon fasakh untuk bercerai dan membuat laporan polis awal bulan lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri (JPWN) Perlis, Muhamad Hazimin Jamaludin berkata, kes penderaan wanita berlaku berdasarkan pelbagai faktor.
Katanya, kes penderaan seksual kebanyakannya berpunca daripada suami yang terpengaruh dengan bahan video lucah yang ditontonnya.
“Mereka mungkin terdedah dengan bahan lucah ini selepas ia terlalu mudah didapati dan pendedahan itu akan memberi kesan kepada perubahan seksual mereka, termasuk mencubanya ke atas isteri,” katanya.
Menurutnya, sebarang kes yang diterima disiasat dan memberi khidmat prakaunseling dalam usaha memberi maklumat mengenai tindakan yang perlu diambil.
Pihaknya juga sedar mangsa trauma akibat nafsu buas suami yang jika tidak dituruti mengundang kepada penderaan fizikal.
“Kami akan membantu daripada segi kaunseling, termasuk mengemukakan masalah kepada pihak berkuasa seperti Mahkamah Syariah atau jabatan berkaitan.
“Jika orang ramai yang berasakan diri mereka didera, mereka boleh tampil membuat aduan untuk bantuan,” katanya.
Mengulas kes terbabit, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.
Menurutnya, polis sudah menyerahkan laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis bagi tindakan lanjut kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis, tetapi ia lebih menjurus kepada masalah rumah tangga dengan suaminya,” katanya.

3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar – Bernama


3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar

2012/02/24

KANGAR: Tiga pelajar, seorang daripadanya berusia 16 tahun, adalah antara 10 lelaki yang ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi dari 13 hingga 21 Februari lalu.

Suspek yang dipercayai anggota ‘Geng Kola’ berusia antara 16 dan 27 tahun, dengan lima daripadanya diuji positif dadah, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

“Kami masih mengesan tiga lagi anggota kumpulan yang masih bebas berumur antara 19 tahun dan lewat 20-an,” katanya.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu juga polis menemui semula empat unit komputer riba, satu komputer netbook, lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Abdul Rahman berkata, kesemua mereka yang ditahan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dengan penangkapan ini juga polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu menyembunyikan harta curi.
– BERNAMA

Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu – Bernama


Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu

01/02/2012 11:50am

 

KANGAR 1 Feb. – Warga pendidik khususnya di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan diri mereka.

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu ketika memberikan ingatan itu berkata sebagai golongan profesional dan intelektual, para guru perlu sentiasa berada di hadapan dan peka dengan usaha-usaha kerajaan yang sangat menitikberatkan soal pendidikan.

“Saya tidak mahu golongan pendidik terpedaya dengan pihak yang mahu menggugat kekuatan kerajaan. Sama-samalah hindarkan diri daripada dakyah yang tidak membawa faedah dan merosakkan peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun 2012 Jabatan Pelajaran Perlis, di sini semalam. – BERNAMA

Padah tak dengar cakap ibu – Metro


Padah tak dengar cakap ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Tindakan seorang remaja enggan mendengar nasihat ibunya agar tidak keluar pada waktu senja mengundang padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Pesisiran Pantai, Kuala Sungai Padang, di sini, kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila motosikal ditunggang mangsa, Mohd Faiz Chenat, 15, merempuh sebuah motosikal lain di hadapan menyebabkan dia terjatuh dan mati akibat cedera parah.
Bapa mangsa, Chenat Jusoh, 51, berkata sebelum kejadian, isterinya, Rohana Mustafa, 44, melarang Mohd Faiz keluar rumah dengan menunggang motosikal tetapi langsung tidak diendahkan.

 

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu keluar kira-kira jam 6 petang mahu bertemu rrakannya sebelum mereka dikatakan bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran.
Katanya, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati isterinya itu ternyata benar selepas anaknya maut dalam kemalangan selang beberapa minit kemudian.
“Ketika kejadian itu, saya baru pulang dari kerja mendapat panggilan telefon mengenai kejadian.

 

 

“Saya terus bergegas ke kawasan kejadian bagi melihat keadaan anak saya. Hancur luluh hati melihat Mohd Faiz sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia sedih melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa dengan kecederaan parah di dada, manakala topi keledar dipakainya hancur.

 

“Meskipun kejadian ini amat mengejutkan, namun kami reda dengan pemergian arwah buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama tiga rakannya yang menunggang motosikal berasingan secara laju dipercayai merempuh sebuah motosikal lain yang membelok ke kanan.
Katanya, mangsa yang gagal mengawal motosikalnya merempuh motosikal di hadapan lalu jatuh tersembam ke atas jalan menyebabkan tulang rusuk kirinya patah.
“Mangsa maut di tempat kejadian sebelum tiga lagi rakannya melarikan diri kerana takut dengan kejadian yang menimpa rakan mereka.
“Motosikal yang dirempuh mangsa ditunggangi seorang remaja berusia 14 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini,” katanya.
Menurutnya, kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 04-9781079 bagi membantu siasatan.