Ibu masih harap bantuan rawat anak – Sinar Harian


Ibu masih harap bantuan rawat anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Februari 2013
Ibu masih harap bantuan rawat anak
Siti Azar (kanan) dan suami, Mohd Shahidan, Norazlin Dahari, 42, (kiri) mengemas katil Mohd Shahidan (terbaring) selepas anak mereka mengadu letih.

IPOH – Seorang ibu masih mengharapkan bantuan orang ramai bagi membiayai keperluan mendapatkan rawatan radioterapi untuk anak mereka yang menghidap kanser prostat sejak April tahun lalu.

Mohd Shahidan Norazlin, 14, yang sedang menjalani kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dinasihatkan untuk mendapat rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah kanser di bahagian perut merebak dan kimoterapi tidak memberi kesan.

Pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf Batu Gajah itu mengalami kecacatan perkembangan melibatkan fungsi otak (autism) sejak dilahirkan dan sudah menjalani beberapa siri pembedahan melibatkan perut dan testis.

Ibunya, Siti Azar Che Noor, 31, berkata, doktor telah menetapkan temujanji pada 27 Februari ini bagi menentukan jumlah radioterapi yang perlu dijalani pada anak kesayangannya itu.

“Untuk mendapat rawatan di Kuala Lumpur itulah yang menjadi kebimbangan kerana kami memerlukan lebih RM500 setiap kali ke sana. Lebih membebankan adalah jumlah rawatan yang bakal diterimanya.

“Ia agak membebankan dengan pendapatan kami hanya berjumlah RM600 sebulan sedangkan kami tidak mempunyai wang yang sebanyak itu. Setakat ini kami telah terima RM400, hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Siti Azar, 03203-29-81268387-1 atau menghubunginya di talian 017-4688377.

Derita kanser prostat – Sinar Harian


Derita kanser prostat

RAZIF ROSLI
3 Februari 2013
Derita kanser prostat
Abang Mohd Shahidan, Norazahairil, 15, (kiri) yang memangku Muhammad Rayyan Kazim, 10 bulan, sayu melihat adiknya yang terlantar di katil bersama dua lagi adiknya.

BATU GAJAH – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan penderitaan seorang remaja, Mohd Shahidan Norazlin, 14, yang kini disahkan menghidap kanser prostat selepas sebelum ini menderita melawan kanser testis pada April 2012 lalu.

Mohd Shahidan yang juga murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf Batu Gajah (Pendidikan Khas) sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak disahkan menghidap sakit berkenaan sehingga Mac ini.

Mohd Shahidan yang mengalami kecacatan perkembangan tegal melibatkan fungsi otak (autisme) sejak dilahirkan sudah menjalani beberapa siri pembedahan demi yang melibatkan perut dan testis beliau.

Lebih meruntun hati keluarganya, remaja itu kini dinasihatkan doktor untuk menjalani pula rawatan radioterapi sebagai langkah terakhir memandangkan kanser yang berada di perut beliau cepat merebak dan kimoterapi tidak memberikan apa-apa kesan.

Ibu beliau, Siti Azar Che Noor, 31, berkata, pihaknya merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan beliau membawa anaknya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan radioterapi selepas sesi rawatan kimoterapi selesai Mac ini.

“Kami akan ke Kuala Lumpur 13 Februari ini untuk pengesahan rawatan radioterapi dan apabila beliau mendapatkan rawatan ke sana, kami perlu berulang alik ke Kuala Lumpur malah ini akan melibatkan belanja yang besar.

“Dahulu saya berniaga goreng pisang dan selepas suami dibuang kerja daripada menjadi pemandu lori sejak anak sakit, suamilah yang berniaga dan saya duduk di rumah menjaga Mohd Shahidan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di No 14, Persiaran 5, Taman Seri Cahaya di sini, semalam.

Siti Azar menambah, pendapatan keluarganya kini hanya bergantung pada berniaga dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos untuk membawa anaknya ke Kuala Lumpur nanti.

“Setakat ini pendapatan kami hanya sekitar RM600 sebulan, bantuan daripada Baitulmal RM200 termasuk bantuan yang disalurkan melalui sekolah. Kami ada mohon bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) cuma belum ada keputusan lagi.

“Bantuan daripada adik-beradik, sanak saudara, kawan serta jiran ada juga yang menghulurkan bantuan termasuk Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang turut prihatin,” katanya.

Bagi bapa Mohd Shahidan, Norazlin Dahari, 42, melahirkan rasa sedih apabila mendakwa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) tidak mengendahkan permohonannya mendapatkan bantuan selaku bekas anggota tentera.

“Saya dan isteri sebelum itu panjat pejabat Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) dan mereka menyatakan hanya boleh membantu dari segi barangan keperluan seperti lampin, kerusi roda dan lain-lain barangan.

“Jadi bila kami ke PBTM di Silibin, kami diminta membuat surat dan kami telah serahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk surat doktor seperti yang diminta Mei lalu.

“Apa yang menyedihkan awal Januari lalu kami telefon lepas kami tanyakan status permohonan, mereka terus meletakkan telefon dan tidak mahu bercakap malah boleh pula mencabar kami membawa perkara ini kepada media jika tidak berpuas hati,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) Siti Azar: 03203-29-81268387-1 atau menghubungi beliau di talian 017-4688377.