Along sambung sekolah selepas Aidilfitri jika sihat – Metro


Along sambung sekolah selepas Aidilfitri jika sihat
ALOR SETAR: Hasrat Mohd Amirudin Abdullah, 14, untuk kembali ke sekolah bakal menjadi kenyataan selepas dimaklumkan jika keadaan kesihatannya bertambah baik, dia boleh menyambung persekolahannya selepas Aidilfitri ini.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Along disahkan menghidapi kanser tahun lalu sebelum menjalani pembedahan bagi membuang sebahagian tulang lututnya bagi mengelak kanser itu menular ke bahagian lain.
Along yang turut menghidap sejenis penyakit genetik menyebabkan tisu wajahnya berkembang secara tidak normal tidak ke sekolah sejak hampir tujuh bulan lalu.

“Saya memang suka ke sekolah sebab kawan-kawan ramai. Memang ada yang ejek, tetapi saya faham mereka cuma bergurau. Saya harap selepas Aidilfitri nanti, dapat kembali ke sekolah seperti biasa,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga angkatnya di Taman Bendahara, di sini, semalam.
Difahamkan, Along yang juga pelajar aliran khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba dikatakan pernah diejek sebagai budak bermuka gajah oleh rakan.
Selain dari Along, masalah sama turut dialami kedua ibu bapanya, Abdullah Said, 52, dan ibunya Salmah Awang, 43, serta seorang adik kandungnya yang berusia 13 tahun.

Bapa angkatnya, Alias Hamid, 46, berkata, Along mula menjadi sebahagian daripada keluarganya ketika dia berusia 11 tahun dan sepanjang tempoh itu, sudah empat kali Along jalani pembedahan untuk membuang tisu lembut yang tumbuh pada bahagian pipi kanannya itu.
“Selepas dia disahkan menghidap kanser tulang November lalu, rawatan untuk ketumbuhan pada pipinya terpaksa ditangguhkan menyebabkan tisu pada mukanya makin membesar.

Difahamkan, Along yang baru saja keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian tulang pada kaki kanannya yang dijangkiti kanser pada Februari lalu. Dia kini menjalani rawatan susulan di Jabatan Ortopedik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10

Pembedahan Nurul Fatihah ditangguh – Sinar Harian


Pembedahan Nurul Fatihah ditangguh
HASLINA KAMALUDIN
19 Jun 2012

3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan
SHAH ALAM – Pembedahan untuk membuang ketumbuhan di tulang leher adik Nurul Fatihah Zanery Adam, 8, yang di jadual pada minggu ini, terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) diperolehi.

Bapanya Zanery Adam berkata, pemeriksaan MRI yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hanya akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, anaknya terpaksa menjalani pemeriksaan tersebut sebanyak dua kali dan dibius sepenuhnya kerana terdapat pergerakan semasa ujian dijalankan.

“Mungkin dia tidak selesa ketika pemeriksaan tersebut. Alhamdulillah, sekarang kami hanya perlu menunggu keputusan sahaja. Harap-harap selepas itu, bolehlah dilakukan pembedahan segera.

“Cuma, dia tidak dibenarkan pulang walaupun pada awalnya doktor memberitahu anak saya boleh balik selepas MRI. “Menurut doktor, selepas MRI, kondisi anak saya kurang stabil dan perlu dipantau untuk beberapa hari lagi di sini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, Nurul Fatihah dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti lasak kerana pada ketika ini tulang dan saraf- sarafnya terlalu sensitif. “Doktor yang merawat anak saya perlu berbincang dengan beberapa pakar di sini mengenai penyakit Nurul Fatihah.

“Doa kami hanya melihat anak bongsu saya sembuh daripada penyakit ini. Sedih melihat keadaannya, setiap kali memegang barang pasti akan terjatuh kerana dia semakin lemah,” katanya.

Nurul Fatihah yang menghidap kanser tulang perlu menjalani pembedahan segera apabila keadaannya semakin kronik apabila ketumbuhan di bahagian leher semakin membesar.

Ketumbuhan tersebut mengganggu urat saraf dari leher hingga menyebabkan tulang belakangnya juga semakin membengkak.

Jumlah terkini dana adalah sebanyak RM13,263. Mana-mana pihak yang prihatin dan berhasrat untuk menyumbang boleh hubungi 013-293 4837 atau menerusi akaun Maybank milik Adiana 162508103642 .