Anggota polis maut dihentak batu – Metro


Anggota polis maut dihentak batu

 865  6 Google +0  0  0

MELAKA: Seorang anggota polis maut dihentak batu di mukanya oleh seorang penjenayah yang cuba melarikan diri dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa, Korperal Zal Azri Abdul Somad, 31, sebelum itu menyerbu sebuah kilang besi buruk di kawasan berkenaan selepas memperoleh maklumat mengenai tiga suspek cuba mencuri di premis terbabit.

Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang daripada suspek dipercayai berusia 17 tahun cuba melarikan diri dengan keluar daripada premis berkenaan.

Mangsa yang cuba mengejar sejauh kira-kira 25 meter kemudian dihentak suspek menggunakan batu di muka lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

FotoPOLIS memeriksa tempat kejadian. FOTO Rasul Samad

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di sekitar Krubong dua jam kemudian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/23

Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan – Bernama


Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan

 

GEORGE TOWN 12 Sept. — Seorang koperal polis dihukum penjara 100 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia enam tahun pada 2011.

Hakim Zainol Rashid Hussain memerintahkan hukuman ke atas Aziri Sahid, 55, bermula hari ini.

Aziri yang dituduh memasukkan jari ke dalam vagina kanak-kanak berkenaan, didakwa mengikut Seksyen 77CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 28 Mei dan 12 Jun 2011 pada sebelah petang di rumah bernombor 54-4, Berek Polis, Fasa 1, Bandar Baru Air Itam.

Tertuduh diwakili peguam bela S Yagoo manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130912/ma_09/Cabul-kanak-kanak-koperal-polis-dipenjara-100-bulan#ixzz2eflX5wOs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Lelaki ‘serang’ sekolah ditahan – Metro


Lelaki ‘serang’ sekolah ditahan

 0  0 Google +0  0  0

Sungai Buloh: Seorang lelaki yang dipercayai ‘menyerang’ sekolah dan mengugut bunuh guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, ditahan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, lelaki berusia 32 tahun terbabit ditahan berhampiran perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada jam 10.15 pagi.
“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah selepas guru besar sekolah berkenaan membuat laporan polis, 25 Julai lalu.

 

“Lelaki berkenaan ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis hingga 6 September ini selepas kawad cam dilakukan dua guru sekolah itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/27

Dirogol lelaki baru dikenali – Sinar Harian


Dirogol lelaki baru dikenali
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Ogos 2013
  • Mizan Md DomMizan Md Dom
< 1 / 1 >

REMBAU – Gara-gara percaya dengan lelaki yang baru dikenalinya, seorang pelajar tingkatan lima sanggup melakukan hubungan seks sebanyak enam kali dengan lelaki berkenaan.

Pelajar berkenaan walau bagaimanapun nekad membuat laporan polis dan mahu lelaki berkenaan bertanggungjawab ke atas dirinya.

Sumber berkata, difahamkan pelajar berkenaan melakukan hubungan kelamin dengan suspek buat pertama kali pada penghujung April lalu kira-kira jam 2.30 petang di salah sebuah rumah di kawasan taman perumahan berhampiran sebuah pasar raya di daerah ini.

Menurutnya, pada kejadian kali pertama berkenaan, mangsa baru sahaja mengenali suspek telah dibawa ke rumah berkenaan dan dipaksa melakukan hubungan seks.

“Suspek memaksa mangsa melakukan hubungan seks sekiranya mangsa sayang kepadanya.

“Kali terakhir suspek melakukan perbuatan berkenaan adalah sekitar Jun lalu. Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada 14 Ogos lalu (kelmarin),” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kita kini giat mengesan suspek yang dipercayai berusia belasan tahun dan masih lagi tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

Polis siasat kes tiga beradik hilang ikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan – Berita Harian


Polis siasat kes tiga beradik hilang ikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan

2013/08/15 – 17:15:40 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Polis menjalankan siasatan kes tiga beradik yang dilaporkan hilang di rumahnya di Taman Meru di sini dan ditemui di Selangor malam tadi, mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan sah di sisi undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, tiga beradik berusia antara 6 hingga 11 tahun itu ditemui di rumah saudara terdekat mereka di Rawang, Selangor, kira-kira jam 8.30 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan kemudian dibawa kembali ke sini awal pagi tadi.

“Ketiga mereka iaitu Syafaruddin Syazwan Rizauddin, 11; Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiah, 6, dibawa ke Rawang oleh seorang saudara mereka tanpa pengetahuan ibu mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 363 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Penganggur lacur kanak-kanak diburu – Bernama


Penganggur lacur kanak-kanak diburu
9 Ogos 2013
MELAKA – Polis sedang memburu seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes merogol dan kemudian melacur seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar negeri ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Supt P.R. Gunarajan berkata Mohd Khairul Azli Isohod, 26, dikehendaki kerana melacurkan kanak-kanak tersebut kepada sembilan lelaki sejak Jun tahun lepas hingga 19 Julai lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek beralamat terakhir di 2961-1 Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil dan dipercayai seorang penagih dadah.
“Dia bertindak melacurkan kanak-kanak itu yang merupakan teman wanitanya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.
“Dia melacurkan kanak-kanak tersebut dengan mengenakan bayaran RM100 tetapi hanya memberi mangsa RM20 untuk belanja.
“Kes terakhir berlaku bulan lepas apabila mangsa dilacurkan kepada seorang lelaki berusia 37 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gunarajan berkata suspek pernah merogol mangsa dan ditahan di Ampang, Selangor pada 5 April tahun lepas namun dia tidak hadir pada hari perbicaraan kes itu pada 24 Jun lepas.
Suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di Kuala Lumpur. Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di sini dan polis sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek.
“Polis percaya kanak-kanak berkenaan masih berhubung dengan lelaki tersebut dan kita sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan lelaki lain yang terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.Kumares di talian 019-6215585 atau 06-2842222. – Bernama

Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau – Bernama


Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau
29 Julai 2013
< 1 / 0 >

MELAKA – Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua pelajar lelaki berumur 14 tahun dan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun.

Basri Hashim, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Sungai Udang di sini, masing-masing pada 9 pagi, 9.10 pagi dan 9.30 pagi, 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. – Bernama

Budak lelaki dipaksa lakukan seks oral – Sinar Harian


Budak lelaki dipaksa lakukan seks oral

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2013

SUNGAI BULOH –  Derita seorang kanak-kanak lelaki dipaksa melakukan seks oral oleh jurulatih badmintonnya sejak tiga tahun lalu berakhir selepas ibu mangsa membuat laporan polis sebaik mendapat maklumat mengenai kelakuan tidak bermoral jurulatih itu terhadap anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, mangsa berusia 12 tahun beberapa kali diarah melakukan seks oral dan kejadian berlarutan sehingga Mei lalu.

Menurutnya, kegiatan itu hanya diketahui ibunya selepas diberitahu oleh ibu rakan anaknya itu sebelum satu laporan polis dibuat pada 27 Jun lalu.

“Siasatan mendapati suspek membuka seluar dan kemudian mengarah kanak-kanak itu menghisap kemaluannya,” katanya.
Beliau berkata, jurulatih berusia 41 tahun itu ditahan 2 Julai lalu dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah 377 E, kanun keseksaan.

Video seks bongkar rahsia rogol – Sinar Harian


Video seks bongkar rahsia rogol

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Video seks bongkar rahsia rogol
Ab Rahman

SETIU – Rahsia seorang nelayan merogol teman wanitanya, pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah menengah di sini terbongkar selepas video klip perbuatan lelaki itu tersebut didakwa tersebar.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, klip video yang merakamkan perlakuan seks pelajar itu dengan teman lelakinya berusia  23 tahun yang dirakamkan lelaki itu, dikatakan telah tersebar di sekolah mangsa.

Menurutnya, mangsa dari sebuah kampung di Penarik mengetahui video klip hubungan seks itu tersebar selepas ia heboh di sekolahnya pada dua minggu lalu.

“Pada Ahad lalu, mangsa memberitahu suspek bersama keluarganya datang ke rumah mangsa menceritakan tentang perkara itu dan minta untuk berkahwin, namun keluarga mangsa enggan menerima dan membuat laporan polis,” katanya.

Ab Rahman berkata, siasatan awal mengatakan mangsa mengaku mengenali suspek pada 12 Disember tahun lalu dan dia mendakwa dirogol teman lelakinya itu sebanyak tiga kali iaitu pada Februari, April dan pertengahan Mei lalu.

Menurutnya, selepas perbuatan suspek terbongkar, mangsa tampil membuat laporan dan bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 12.45 malam kelmarin untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul – Sinar Harian


Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2013
Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul
Remaja terbabit (dua kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.

KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memukul abangnya dengan tukul, April lalu.

Hukuman terhadap pesalah juvenil dari Kampung Perupok, Bachok itu bagaimanapun ditangguhkan kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap abangnya yang berusia 23 tahun itu di rumah mereka pada jam 4 petang, 14 April.

Dalam kejadian itu, dia dikatakan meminta wang daripada ibunya, bagaimanapun berang dan bercakap kasar selepas permintaan tidak dipenuhi.

Abang tertuduh yang ikut campur dengan niat meredakan keadaan diserang pula oleh remaja itu dengan senjata tukul menyebabkan dia cedera di telinga kiri.

Tuduhan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, remaja berkenaan turut dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan doktor dan juga laporan akhlaknya.

Kes bersambung 24 Julai depan.