Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki – Utusan


Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki

 

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG 21 Jun – Seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol bekas teman lelakinya selepas tidak sedarkan diri sebaik sahaja minum air yang dipercayai mengandungi pil khayal.

Kejadian berlaku pada 10 Mei lalu kira-kira pukul 8 malam semasa mangsa keluar dengan suspek yang berusia lingkungan 20-an untuk makan malam.

Semasa dalam perjalanan, suspek memberhentikan keretanya di sebuah stesen minyak untuk membeli air mineral untuk mangsa.

Selepas meminumnya, mangsa tidak sedarkan diri.

Sebaik sedarkan diri kira-kira tiga jam kemudian, mangsa mendapati dirinya berada di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Raja Uda, Butterworth dalam keadaan berbogel.

Mangsa kemudian dihantar pulang oleh suspek dan diugut supaya tidak memberitahu kejadian kepada sesiapa.

Kelmarin, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor kerana berasa tidak puas hati dengan tindakan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh ketika dihubungi Utusan Online mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis kini memburu suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130621/je_12/Pelajar-dakwa-dirogol-bekas-teman-lelaki#ixzz2WrAkb0xG
© Utusan Melayu (M) Bhd

4 remaja bawah umur ditangkap – Sinar Harian


4 remaja bawah umur ditangkap

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2013
4 remaja bawah umur ditangkap
Kok Liang

TELUK INTAN – Tidak padan dengan umur yang masih muda, empat remaja berusia 15 hingga 16 tahun berani melakukan aktiviti jenayah curi dengan memecahkan tingkap kereta yang di parkir di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, jenayah itu terbongkar apabila cermin sebuah kereta milik seorang penternak lembu dipecahkan suspek, pada 15 Mei lalu.

Menurutnya, pada kejadian jam 5 pagi itu,  isteri mangsa terdengar deruman motosikal lalu lalang di hadapan rumahnya di Taman Banjar Jaya, di sini.

“Mangsa yang tersedar selepas dikejutkan isterinya bertindak menghubungi rakan yang juga jirannya untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika mangsa menghubungi jirannya, suspek bertindak memecahkan cermin depan di bahagian penumpang sebelum mengambil barangan berharga,” katanya.

Kata beliau, mangsa bersama rakannya cuba menahan kesemua suspek namun hanya seorang remaja berusia 16 tahun berjaya ditahan sementara yang lain melarikan diri.

“Suspek itu ditahan mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan bantuan polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini.

Kok Liang berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dua telefon bimbit milik mangsa di dalam poket seluarnya.

Katanya, tiga lagi suspek dijejaki polis dengan menghubungi mereka dan tindakan itu menyebabkan salah seorang daripadanya berusia 15 tahun menyerah diri di IPD Hilir Perak.

“Hasil siasatan kami juga membawa kepada penahan dua rakan suspek yang sudah tidak bersekolah dan menganggur.

“Siasatan lanjut  turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan salah seorang daripada mereka positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman bagi bantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksysen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Remaja nyaris dirogol sepupu – Sinar Harian


Remaja nyaris dirogol sepupu

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2013

MUAR – Seorang pelajar sebuah sekolah di Pagoh, nyaris menjadi mangsa rogol sepupunya dalam sebuah tandas di Kompleks Penghulu Pagoh dekat sini, kelmarin.

Pelajar berusia 15 tahun itu berjaya diselamatkan polis sebaik kejadian berkenaan disedari orang awam yang terdengar jeritan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, susulan itu, polis membuat pemeriksaan dan mendapati salah satu tandas di kompleks itu dikunci dari dalam.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka, polis menemui mangsa dalam keadaan tidak terurus sedang menangis ketakutan.

“Suspek yang turut berada dalam tandas itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan.

“Suspek yang sudah tidak bersekolah adalah sepupu mangsa yang telah disuruh ibu remaja perempuan berkenaan untuk mengambilnya pulang dari sekolah dengan menaiki motosikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sahadan berkata, suspek mengajak mangsa singgah ke kompleks itu dengan alasan kononnya ingin menyambut hari lahir remaja berkenaan.

Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian, suspek bertindak menarik mangsa  masuk ke dalam tandas.

“Suspek menarik tudung dan kain mangsa, tetapi tidak sempat merogolnya,” katanya.

Sahadan berkata, berdasarkan ujian air kencing suspek didapati bebas dadah, tetapi mempunyai rekod dalam perintah pengawasan polis selama dua tahun yang akan berakhir pada 2015.

Menurutnya, rekod tersebut bersangkutan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan niat.

Murid tahun 5 antara ditahan pecah masuk sekolah – Bernama


Murid tahun 5 antara ditahan pecah masuk sekolah

10 Mei 2013

MUAR – Tiga pelajar sekolah menengah ditahan atas kesalahan memecah masuk sekolah mereka di Ledang malam Rabu lepas.

Mereka dilapor mengambil telefon bimbit, rantai leher serta beberapa barangan lain yang dirampas guru disiplin daripada mereka sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris berkata perbuatan mereka itu turut disertai seorang murid tahun lima sebuah sekolah di Serom.

“Polis menahan salah seorang daripada mereka yang berusia 15 tahun di sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.10 pagi semalam dan hasil soal siasat ke atasnya, polis menahan pula tiga lagi rakannya termasuk murid tersebut,” katanya.

Beliau berkata polis juga menemui video cakera padat berjudul ‘Jiwa Kacau’ daripada mereka yang kini ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama

Pelajar tingkatan tiga cabut bendera parti – Sinar Harian


Pelajar tingkatan tiga cabut bendera parti

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013

IPOH – Dua pelajar tingkatan tiga ditahan selepas didapati mencabut sebatang bendera parti di persimpangan Taman Kenari, Jalong, Sungai Siput, petang kelmarin.

Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszely Minhad berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, dua pelajar yang menaiki motosikal bertindak mencabut bendera parti tersebut, kemudian melarikan diri.

“Mereka ditahan anggota polis yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada hari sama. Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan kerugian melebihi RM25 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun, denda atau kedua duanya sekali.

Beliau memaklumkan, 17 kes dilaporkan sejak penamaan calon, baru-baru ini menjadikan keseluruhan laporan polis sebanyak 176 kes sejak pembubaran parlimen pada 3 April 2013.

“Manakala 121 ceramah politik telah diadakan di seluruh negeri sehingga jam 12 tengah malam (semalam) yang mana empat daripadanya diadakan tanpa permit, iaitu di Batu Gajah, Tanjung Malim, Taiping, Kerian, Selama, Hilir Perak, Kuala Kangsar dan Gerik.

Gadis 13 tahun dirogol lapan lelaki – Sinar Harian


Gadis 13 tahun dirogol lapan lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 April 2013

KUANTAN – Kerisauan ibu bapa gadis 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah sejak 5 April lalu berakhir apabila anaknya itu pulang ke rumah 10 hari kemudian.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapat tahu anak mereka dirogol lapan lelaki. Susulan pendedahan gadis tersebut, keluarga terbabit membuat laporan polis kira-kira jam 10 malam 15 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, berdasarkan keterangan pelajar itu, dia keluar rumah pada 5 April lalu kerana mengikut kawan.

Menurutnya, sepanjang ‘bebas’ dari kawalan keluarga, gadis itu memberitahu dia hanya berada di sekitar bandar Kuantan dan berkenalan dengan beberapa lelaki.

“Kita agak terkejut apabila gadis itu mendedahkan dia melakukan hubungan seks dengan lapan lelaki berusia antara 20 hingga 30-an itu pada tarikh, masa dan lokasi berbeza.

“Gadis itu memaklumkan dia baru mengenali semua lelaki tersebut dan tiada maklumat lanjut tentang mereka kecuali nama panggilan sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sharifuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya.

Empat pelajar sekolah ditahan – Sinar Harian


Empat pelajar sekolah ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 April 2013
Empat pelajar sekolah ditahan
Mohd Nor (dua, kiri) bersama anggotanya melihat motosikal yang berjaya dirampas berikutan penahanan suspek kes curi kenderaan berkenaan.

KOTA TINGGI – Penahanan tujuh suspek termasuk empat pelajar sekolah oleh polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi, sekaligus  berjaya menumpaskan antara geng remaja yang terlibat dalam kes kecurian motosikal di  daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, pihaknya mendapati semua suspek berusia  antara 13 hingga 18 tahun itu baru pertama kali  melakukan jenayah tersebut.

Menurutnya, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang pelajar tingkatan  empat pada 29 Mac lalu, kira-kira jam  12.40 malam, berikutan laporan kehilangan dua motosikal di Taman Kota Jaya.

Jelasnya, ekoran penahanan tiga suspek itu, pihaknya berjaya melakukan tangkapan susulan ke atas empat lagi suspek termasuk seorang pelajar tingkatan satu dan dua pelajar  tingkatan tiga.

“Kita juga berjaya menemui motosikal  jenis Yamaha 125Z dan motosikal jenis Yamaha Lagenda serta beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kita percaya ekoran penahanan suspek, kita telah berjaya menyelesaikan  sekurang-kurangnya lima kes kecurian  motosikal di sekitar daerah ini,” katanya.

Mohd Nor berkata, kejayaan tersebut juga adalah hasil penubuhan ‘task force’ pada akhir Februari lalu, di mana pihaknya telah banyak menyelesaikan kes curi motosikal sama ada  melibatkan kumpulan atau individu.

Menurutnya, sebanyak tiga kes kecurian motosikal yang membabitkan daerah luar iaitu di Setia Indah, Johor Jaya dan juga Pasir Gudang juga berjaya diselesaikan berikutan tangkapannya lima suspek secara berasingan.

Anak dakwa dicabul bapa – Sinar Harian


Anak dakwa dicabul bapa

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013

BESUT – Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dicabul bapa kandungnya ketika tidur di ruang tamu rumahnya di sebuah taman perumahan di sini, pada 3 April lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa berumur 15 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah dan terjaga dari tidur apabila mendapati bapanya sedang memegang payu daranya.

Mangsa yang terkejut terus memarahi bapanya menyebabkan suspek tidak meneruskan perbuatannya dan beredar dari situ.

Namun difahamkan, keinginan suspek tidak terhenti pada pagi itu sebaliknya dia mengulangi perbuatan sama sebanyak dua kali pada keesokan harinya.

Suspek dikatakan melakukan perbuatan kedua ketika mangsa ingin ke sekolah pada jam kira-kira 6.30 pagi dan kali ketiga apabila anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Mangsa yang takut dengan perbuatan bapanya dikatakan berbincang dengan guru sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja tidak lama selepas itu.

Menyedari mangsa membuat polis dan bimbang ditangkap, suspek menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, suspek ditahan pada jam 2 petang, Selalu lalu untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan – Bernama


Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan

2013/04/11 – 16:03:01 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Polis menahan tiga pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya, dekat sini yang sebelum ini dikenakan tindakan buang sekolah berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Seberang Jaya di sini pada 11 malam tadi.

“Kita tahan mereka semalam untuk ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Jika polis dapat melengkapkan keterangan hari ini kita akan bebaskan pelajar terbabit.

“Sekiranya masih belum cukup (keterangan), polis akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka, semua itu bergantung kepada hasil siasatan kita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan lapan orang termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru di sekolah berkenaan.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Semalam, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin dipetik sebagai berkata, jabatannya sudah membuang tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini selepas didapati bersalah memukul seorang pelajar dalam kejadian 4 Mac lalu.
Kejadian itu dikatakan berpunca apabila tiga pelajar tingkatan tiga terbabit berang dengan tindakan ketua tingkatan yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Perbuatan mereka dirakam dan tersebar luas dalam laman YouTube sejak beberapa hari lalu dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. – BERNAMA

16 Remaja Lelaki Terlibat 271 Kes Curi Motosikal Ditahan – Bernama


16 Remaja Lelaki Terlibat 271 Kes Curi Motosikal Ditahan

ALOR SETAR:Polis menahan 16 remaja lelaki berumur 14 hingga 18 tahun yang masih belajar dipercayai terlibat dalam 271 kes kecurian motosikal kawasan Kota Setar sejak Januari hingga Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata remaja tersebut melakukan aktiviti jenayah secara berasingan, dalam kumpulan kecil dan diberkas dalam Ops Lejang.

Katanya polis turut merampas enam motosikal dan 37 rangka motosikal daripada remaja tersebut yang menyasarkan motosikal jenis Honda EX-5, Honda Wave dan Yamaha LC.

“Mereka akan mengintai motosikal yang diletakkan di pusat membeli-belah dankawasan sunyi termasuk di dalam kawasan rumah dan mencurinya apabila berpeluang.

“Komponennya dileraikan dan dijual. Mereka juga guna komponen itu untuk ubahsuai motosikal mereka bagi tujuan merempit. Rangkanya pula dibuang ke dalamsungai di sekitar daerah ini,” kata Adzaman pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya Ops Lejang dilancarkan di seluruh negeri sepanjang tahun bertujuanmembanteras kecurian motosikal bagi mengurangkan kejadian jenayah.

Beliau berkata dari Januari hingga Mac tahun ini polis menerima 309 laporan kecurian dan telah dapat menyelesaikan 38 kes.

“Saya ingin menasihatkan pemilik motosikal supaya menggunakan kunci tambahan bagi menyukarkan dan mencegah kecurian,” katanya dan menambah semua remaja yangdiberkas disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencurikenderaan bermotor.-BERNAMA