Pelapis pakar aeroangkasa bermula dari sekolah – Bernama


Pelapis pakar aeroangkasa bermula dari sekolah

8 Julai 2013

MELAKA – Usaha menambah pakar dalam bidang aeroangkasa di negara ini perlu bermula di sekolah dengan memperkasa kurikulum sekolah rendah dan menengah terutamanya melibatkan bidang astronomi dan sains roket.

Profesor Fizik dan Astronomi Universiti Malaya Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata pemerkasaan kurikulum itu memainkan peranan penting dalam memupuk minat lebih ramai pelajar dalam bidang aeroangkasa pada usia muda.

“Bidang aeroangkasa ini merupakan tunjang kepada penerokaan teknologi baharu pada masa kini. Seperti teknologi kapal angkasa merupakan tunjang kepada teknologi pembinaan kapal terbang lebih canggih dan kecekapan bahan api.

“Aeroangkasa pada abad ke-21 dan abad ke-22 merupakan teknologi terpenting, maka Malaysia perlu mula memupuk tenaga pakar di kalangan anak-anak kita bagi memastikan kita mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang ini pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Semalam dalam laporan khas Bernama, Prof Dr Yoshihide Yamada dari Akademi Pertahanan Negara Jepun menyuarakan kepentingan Malaysia mempunyai golongan belia yang meminati pengajian berkaitan angkasa untuk membolehkannya mencapai cita-cita menjadi peserta utama dalam industri aeroangkasa.

Mengulas pencapaian Malaysia dalam bidang aeroangkasa setakat ini, Mohd Zambri berkata bidang itu kini berkembang pesat di Malaysia terutamanya dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) pada 2002.

“Angkasa bergiat aktif dalam mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan bidang aeroangkasa terutamanya kepada generasi muda dengan mengendalikan pelbagai pameran, seminar dan tidak lupa Planetarium Negara.

“Paling penting Angkasa terus terlibat dalam pembinaan satelit untuk kegunaan negara seperti satelit komunikasi dan penderiaan jarak jauh (remote sensing),” kata pakar dalam kajian berkenaan matahari ini.

Beliau berkata satelit ‘remote sensing’ Malaysia seperti TiungSAT dan RazakSAT memainkan peranan penting dalam memberi amaran awal kepada rakyat di negara ini terhadap bencana alam.

“Lebih banyak satelit seumpama ini perlu dihasilkan ditambah dengan pusat ‘remote sensing’ bagi memberi amaran awal mengenai ancaman tsunami atau cuaca buruk.

“Sistem amaran terhadap ribut solar yang mampu menjejaskan stesen janakuasa elektrik dan sistem komunikasi negara juga perlu mula diusahakan. Walaupun acaman ribut solar di Malaysia rendah kerana dekat dengan garisan khatulistiwa tetapi pada masa hadapan situasinya mungkin berbeza,” katanya.  – Bernama

Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak – Sinar Harian


Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

Sheikh Muszaphar menasihatkan ibu bapa agar memberi galakan sekiranya
anak mereka berminat menjadi angkasawan negara.
SHAH ALAM – Pembelajaran efektif dan bimbingan ibu bapa amat penting untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang sains termasuk angkasa lepas, dalam usaha mengembangkan industri aeroangkasa di negara ini.

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, ibu bapa perlu peka terhadap minat anak masing-masing dan memberi sokongan jika mereka dilihat cenderung menerokai bidang berkenaan.

“Lihat dulu cita-cita anak kita. Jika dia minat hendak jadi angkasawan, belikan buku berkaitan angkasa lepas. “Beri pendedahan kepada mereka tentang bidang di bawah astronomi ini dan galakkan dia belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya itu,” katanya dalam Seminar Melaksanakan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), di sini, semalam.

Seminar anjuran Green Chili Event Services dan Pertubuhan Belia Kota Raja itu dihadiri lebih 150 peserta. Dalam seminar itu, Sheikh Muszaphar turut menceritakan pengalamannya yang terpaksa mengikat pergelangan kakinya supaya tidak terapung ketika menunaikan solat di ISS, pada Oktober 2007.

“Saya dibenarkan bertayamum di sana kerana bekalan air sangat berharga. Saya solat mengikut waktu tempat kapal angkasa Soyuz saya dilancarkan (di Baikonour, Kazakhstan) berdasarkan panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika tidak, saya perlu tunaikan solat sebanyak 80 kali kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali,” katanya.

Sementara itu, peserta seminar, Sharifah Mustafa, 33, berkata, dia menghadiri program bersama anak-anaknya sebagai galakan kepada mereka yang meminati subjek Sains. “Anak sulung saya akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya lihat dia memang minat subjek Sains, skornya pun selalu cemerlang dan berminat hendak jadi angkasawan negara satu hari nanti,” katanya.

Pasangan adik-beradik Muhammad Aiman Zikri dan Nur Syasya Farhana Zain Azrai, masing-masing berusia 12 dan 11 tahun gembira dapat mengikuti program kelolaan idola mereka. “Kami ingin jadi doktor dan berharap dapat jejak kaki ke angkasa lepas,” kata mereka.