Sekolah memandu jadi stor ganja – Utusan


Sekolah memandu jadi stor ganja

17/01/2012 3:35pm

 

 

Oleh AZIAN AZIZ

 

SHAH ALAM 17 Jan. – Kegiatan seorang guru sebuah sekolah memandu yang menggunakan premis tempatnya bertugas sebagai stor simpanan 153.9 kilogram ganja bernilai RM1.7 juta terbongkar apabila polis menyerbu sekolah tersebut yang terletak di tepi Lebuh Raya Karak Gombak dekat sini kelmarin.

Serbuan pukul 4.30 pagi itu dibuat kira-kira dua jam selepas guru lelaki berusia 30 tahun itu diberkas bersama 1.9 kilogram ganja di kawasan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Gombak dekat sini kelmarin.

Semasa serbuan di sekolah memandu, polis turut memberkas seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun dan 33 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terlibat dengan satu sindiket pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang yang telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN