Larang guna media sosial dorong remaja berontak – Bernama


Larang guna media sosial dorong remaja berontak
9 Ogos 2013
  • Larang guna media sosial dorong remaja berontakMedia sosial
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Tindakan ibu bapa melarang anak terutamanya golongan remaja daripada menggunakan media sosial boleh menyebabkan mereka memberontak kerana beranggapan hak peribadi mereka tidak dihormati.

Ini kerana golongan remaja sangat menitikberatkan ‘ruang peribadi’ dan kurang senang jika ia diceroboh individu lain, kata pakar psikologi Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor.

Kata pensyarah dari Jabatan Psikologi, Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya itu walaupun ibu bapa bimbang dengan pelbagai kemungkinan daripada pergaulan dalam laman sosial, perbuatan mencampuri urusan peribadi anak  boleh memburukkan keadaan.

“Ibu bapa tidak boleh bertindak drastik seperti menghalang anak melayari Internet atau memeriksa telefon bimbit kerana ia akan menyebabkan anak merasa mereka tidak dipercayai oleh ibu bapanya.

“Anak yang dihalang secara drastik mempunyai kecenderungan untuk memberontak dan akan sentiasa mencari jalan seperti melayari Internet di kafe siber, jika tidak dibenarkan berbuat begitu di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mariani berpendapat ibu bapa seharusnya bersifat terbuka dan menjadi ‘kawan’ kepada anak supaya mereka tidak menjadi perahsia kerana bimbang dimarahi ibu bapa.

“Apa yang penting adalah untuk ibu bapa memerhatikan jika berlaku perubahan sikap dalam diri anak kerana remaja, terutamanya perempuan mudah dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku dalam fasa kehidupan mereka,” katanya.

Ditanya mengapa remaja perempuan mudah terpengaruh dengan pujukan lelaki di laman sosial, beliau berkata kebanyakan mereka beranggapan telah menemui ‘kasih sayang’ yang tidak  diperoleh di rumah.

“Perasaan itu menyebabkan gadis berasa ‘istimewa’ apatah lagi jika lelaki yang ditemuinya pandai bermain kata-kata, selain menjanjikan habuan atau ‘kehidupan sempurna’ yang hakikatnya tidak mudah dizahirkan.

“Hubungan di laman sosial dan ruang sembang juga tidak berlaku secara bersemuka menyebabkan mereka tidak dapat melihat lenggok bahasa tubuh atau mimik muka yang boleh membantu menentukan kejujuran seseorang,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz berkata didikan agama perlu diterapkan secara berterusan dalam diri remaja kerana ia adalah tembok kepada semua gejala negatif.

Bekas imam besar Masjid Negara itu berkata remaja perempuan seharusnya mempunyai sifat malu dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai individu di laman sosial, apatah lagi yang berlainan jantina.

“Remaja perlu bijak menilai. Jika orang itu benar-benar sayang terhadapnya, dia tidak akan mencadangkan supaya mereka lari dari keluarga.

“Lebih baik mereka disatukan secara baik kerana perbuatan lari mengikut kekasih ini akan menjatuhkan nama baik perempuan itu dan keluarganya,” katanya.

Beliau menambah ibu bapa perlu mengambil tahu sejauh mana penglibatan anak mereka di laman sosial kerana tidak adil untuk memisahkan remaja daripada medium laman sosial kerana perkara itu adalah sebahagian daripada kemajuan teknologi. – Bernama

Rais: Bantuan awal persekolahan, kesinambungan keprihatinan kerajaan – Bernama


Rais: Bantuan awal persekolahan, kesinambungan keprihatinan kerajaan

18 Januari 2013

JELEBU – Bantuan awal persekolahan RM100 yang diberikan kepada setiap pelajar sekolah pada tahun ini merupakan kesinambungan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bantuan itu yang jelas menunjukkan kasih sayang kerajaan, seharusnya diterjemahkan dalam bentuk sokongan oleh rakyat terhadap kerajaan.

“Kita menekankan bahawa kerajaan yang berbudi, kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat, perlu menjelmakannya menerusi sistem yang boleh diterima oleh masyarakat.

“Justeru dengan adanya program penyampaian bantuan seperti ini, kita dapati bahawa ibu bapa dapat merasai kerapatan antara kerajaan dengan rakyat menerusi tanggungjawab dan juga kebajikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas awal persekolahan bagi kawasan Parlimen Jelebu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al Haj, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang Datuk Yunus Rahmat dan Adun Chennah Datuk Siow Chen Pin.

Rais berkata, diharapkan dengan bantuan itu juga ibu bapa dapat menjelmakan perasaan kasih sayang yang lebih lagi terhadap anak-anak mereka dalam memastikan anak-anak mencapai tahap pendidikan yang cemerlang.

Katanya, bantuan kerajaan tidak hanya terhenti di situ apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 bagi setiap isi rumah akan disalurkan kepada mereka berkelayakan, bulan depan.

Sementara itu, ibu bapa yang menerima bantuan tersebut bagi pihak anak-anak mereka ketika ditemui berkata, bantuan tersebut dapat meringankan beban dalam menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak mereka.

Hashim Rahmat, 43, yang bekerja sendiri berkata, bantuan tersebut sememangnya memberi makna kerana dengan sumber pendapatan yang tidak menentu amat sukar bagi dirinya menyara dua anak yang bersekolah.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana ia sedikit sebanyak membantu saya menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak saya,” katanya.

Peniaga gerai makan, Mahani Abdul Rahman, 30, turut menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan itu yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya.

“Selalunya bila mula persekolahan ibu bapa perlukan duit lebih untuk sediakan keperluan anak-anak, jadi bantuan memang sesuailah..,” katanya yang mempunyai seorang anak yang bersekolah.

Sebanyak RM1.04 juta diperuntukkan bagi kawasan Parlimen Jelebu untuk bantuan awal persekolahan itu yang akan dinikmati lebih 10,000 pelajar di kawasan itu.- Bernama

‘Ini cara kami cegah gejala maksiat’ – Kosmo


‘Ini cara kami cegah gejala maksiat’

 

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

 

MOHD. Fahmi bersama Nur Fazira mengenakan pakaian pengantin serba putih pada kenduri perkahwinan mereka di Kampung Naga Lilit, Padang Serai semalam.

 

PADANG SERAI – Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.

Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.

Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat,” katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.

Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.

Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.

“Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Gajet canggih pengganti belaian kasih ibu bapa


Gajet canggih pengganti belaian kasih ibu bapa
KUALA LUMPUR: Ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah menyebabkan ada kalangan anak-anak terutama remaja sanggup mendapatkan peralatan canggih termasuk gajet sebagai pengganti.

Pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata, kurangnya kasih sayang menyebabkan ada kalangan remaja menjual tubuh semata-mata untuk mendapat bahan berteknologi itu bagi mengisi kekosongan hidup.
“Kalau kita lihat senario semasa ketika ini, ramai kalangan anak-anak ketandusan kasih sayang. Untuk itu mereka berusaha mendapatkan peralatan canggih sebagai pengganti dalam mendapatkan belaian kasih sayang ibu bapa.

“Dalam mencari kekosongan hidup, mereka akan merapati rakan-rakan terdekat. Jika tidak bernasib baik dan mendapat rakan yang buruk perangai, mereka terjebak kepada perlakuan tidak sihat,” katanya.
Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai kegilaan terhadap pelbagai gajet dan alat telekomunikasi canggih menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun menjual tubuh termasuk meniduri lelaki berusia 60-an bagi mendapatkan wang untuk membeli barangan kegemaran.
Perlakuan pelajar tingkatan dua dari Ulu Tiram, Johor itu, terbongkar apabila keluarganya menyedari dia memiliki barangan berjenama serta gajet terbaru yang setiap satu daripadanya berharga ribuan ringgit.

Gadis terbabit pada awalnya mendakwa gajet berkenaan kepunyaan rakan sekolah namun keluarga yang curiga membawanya mendapatkan kaunseling di Pejabat MCA Johor Jaya sebelum dia mengakui menjual tubuh kerana mahu memiliki barangan berkenaan.
Ketika berkongsi pengalamannya, gadis mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia terbabit kegiatan tidak bermoral itu sejak awal tahun ini, selain mengakui memperoleh RM200 hingga RM300 hingga membolehkannya membeli pelbagai gajet terbaru seperti komputer tablet termasuk iPad dan telefon pintar, BlackBerry selain beg tangan berjenama terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19

Jadi bohsia lepas emak kahwin lain – Metro


Jadi bohsia lepas emak kahwin lain
KUALA LUMPUR: Tertekan kerana tidak dapat menerima kehadiran lelaki lain sebagai bapa menjadi titik hitam dalam hidup seorang remaja perempuan apabila dia terjebak sebagai bohsia dan ditiduri ramai Mat Rempit.

Lina, 15, berkata, ibunya berkahwin lain manakala bapa tiri tidak pernah memberi kasih sayang kepadanya menyebabkannya mencari teman lelaki bagi menghilangkan kebosanan.
“Sejak ibu bercerai dengan bapa ketika saya berusia 12 tahun, hubungan kami renggang dan sering bergaduh sehingga beberapa kali saya dipukul.

“Saya rapat dengan kakak yang dua tahun lebih tua daripada saya dan sering menemaninya setiap malam mencari teman lelaki di Taman Tasik Titiwangsa bagi menghilangkan kebosanan,” katanya.
Menurutnya, disebabkan perangai itu, dia mendakwa pernah dirogol bergilir-gilir beberapa Mat Rempit di sebuah kawasan rekreasi di Rawang selepas cuba menghalang kakaknya daripada menjadi mangsa nafsu kumpulan lelaki itu.
“Namun kejadian itu tidak menjadi pengajaran kepada saya sebaliknya saya semakin ligat bertukar pasangan asalkan saya suka pada dia,” katanya.

Lina juga mendakwa, seorang rakan perempuannya pernah ‘menjual’ dia kepada sekumpulan Mat Rempit di Cheras untuk mendapatkan bekalan dadah hujung tahun lalu.
“Selepas kejadian itu, saya cuba mengasingkan diri daripada rakan namun disebabkan hanya berpendidikan setakat darjah enam dan masih di bawah umur, saya sukar mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, dia kini menumpang di rumah datuk dan nenek selepas tidak lagi dipedulikan ibu atau bapa tirinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07

Mengenali sikap sebenar lelaki – Utusan


Mengenali sikap sebenar lelaki

 

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

 

KOTA BHARU 15 Feb. – Golongan bapa disaran membawa anak perempuan mereka keluar ‘berdating’ bagi membolehkan si anak mengenali sikap sebenar yang harus ada pada seorang lelaki.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, hubungan istimewa antara anak perempuan dan ayah akan menyelamatkannya daripada terjerat dengan perangkap lelaki berhidung belang dalam kehidupan mereka.

“Keluar berdua antara bapa dan anak perempuan sahaja, pergi ke pusat beli belah atau makan di restoran, bapa perlu dengar luahan anak perempuan dan pegang rahsia jika ada perkara yang si anak luahkan tetapi tidak mahu ibu ketahui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di program Sembang-sembang Cinta Remaja Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat di Pusat Mahasiswa, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini semalam.

Kira-kira 400 pelajar tingkatan satu hingga lima dari 13 buah sekolah di daerah Tumpat menghadiri seminar sehari yang turut melibatkan sesi berasingan untuk pelajar lelaki dan perempuan serta perbincangan dengan guru kaunselor.

Dr. Harlina yang juga Pensyarah dan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, seorang bapa juga tidak harus lokek memberikan kata-kata pujian kepada anak-anak bagi mengelak mereka mencari penghargaan yang tidak sepatutnya di luar rumah.

“Tepuk belakang anak lelaki bila melihat dia melakukan sesuatu yang baik. Puji anak perempuan lebih awal sebelum dia meminta komen pakaiannya yang cantik. Biar kita yang jadi orang pertama memuji anak kita cantik dan bagus dan bukannya orang asing di luar,” katanya.

Beliau berkata, anak-anak yang sedang meniti usia remaja perlukan kasih sayang dan pemahaman daripada ibu bapa mereka dan bukannya leteran kerana mereka masih belum dapat membuat keputusan dengan baik sebagaimana yang ibu bapa harapkan.

Jelasnya, remaja pada zaman sekarang walaupun dari sudut biologi sudah matang secara seksual namun perkembangan otak mereka belum matang sepenuhnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar mereka tidak dibiarkan membuat penerokaan seksual sendiri melalui perbincangan dengan rakan sebaya, sebaliknya anak-anak yang meningkat usia baligh haruslah mendapat maklumat itu daripada ibu bapa.

“Kita yang harus terangkan kepada anak-anak apa yang terjadi apabila mereka sudah akil baligh dan bukan bersikap malu dan terus bercakap berlapik sehingga anak-anak menjadi tidak faham dan berusaha mencari sendiri,” katanya.