Pelajar 15 tahun import senjata tiruan – Metro


Pelajar 15 tahun import senjata tiruan

 148  1 Google +0  0  0

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

IPOH: Seorang pelajar berusia 15 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki mengimport lima senjata tiruan dari Amerika Syarikat, China dan Taiwan yang dibeli secara online dengan alasan untuk dijadikan koleksi peribadi.

Senjata api jenis M16, pistol Glock, Colt 45 automatik dan Air Rifle MP5 dikesan oleh anggota Unit Kastam Pos, JKDM, Cawangan Ipoh menerusi mesin pengimbas di Pejabat Pos Ipoh, tengah hari Sabtu lalu.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohd Nasir Said berkata, susulan rampasan pada pukul 12 tengah hari itu, pihaknya menahan remaja lelaki dari Kuala Kangsar mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967 sebelum dilepaskan dengan jaminan.

“Lima senjata tiruan berkualiti tinggi itu dianggar bernilai RM2,043.90 dan duti terlibat ialah RM878.88. Kesemua senjata itu menyerupai senjata sebenar tetapi menggunakan peluru getah manakala Air Rifle itu menggunakan peluru tembaga.
“Remaja yang masih bersekolah itu telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Difahamkan remaja sekolah tingkatan tiga terbabit memperolehi wang dari ibu bapanya untuk membeli senjata api tiruan berkenaan.

Beliau berkata, lima senjata api yang dirampas itu adalah sebahagian daripada 10 unit senjata yang dirampas pasukan penguatkuasaan kastam negeri bagi tempoh Januari hingga Jun termasuk dua unit dirampas di Kompleks Bukit Berapit, Pengkalan Hulu manakala, tiga unit lain dikesan di pejabat pos negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius pengimportan tanpa permit senjata api tiruan berkenaan kerana ia bukan sahaja mampu mengancam keselamatan negara sebaliknya boleh disalah guna untuk tujuan jenayah.

CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua – Berita Harian


CUEPACS rayu kakitangan awam diberi pilihan kedua

2012/03/01

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu peluang kedua diberi kepada kakitangan awam untuk memilih opsyen melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, walaupun tarikh penyerahan borang bagi tujuan itu berakhir 31 Disember lalu.

Gesaan itu dibuat Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berikutan masih ramai lagi penjawat awam berminat untuk memilih opsyen terbabit, tetapi terlepas peluang berbuat demikian sebelum ini.

“Saya dapat tahu ramai penjawat awam berminat selepas mendapat tahu kelebihan memilih opsyen terbabit yang ditawarkan melalui pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Namun, disebabkan kurangnya kefahaman terhadap opsyen terbabit ketika ia mula ditawarkan, termasuk faktor tempoh masa singkat diberikan kepada penjawat awam untuk memikirkannya sebelum ini, menyebabkan ramai yang terlepas peluang berbuat demikian.

“Justeru, saya harap ketua jabatan dapat memberi sedikit kelonggaran di peringkat dalaman kepada kakitangan masing-masing untuk menyertai skim terbabit.

“Ia terbukti membawa banyak faedah kepada penjawat awam dan saya sendiri percaya ia dapat dilakukan tanpa menjejaskan ketetapan sedia ada,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Seminar Pengurusan Kesatuan Pekerja anjuran bersama Kesatuan Pekerja Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden KPKSM, Ibrahim Ahmad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Dalam skim baru berkenaan, hiraki perkhidmatan awam dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.