Murid Di Zon Merah Op Daulat Kembali Ke Sekolah Tanpa Kelengkapan Sekolah – Bernama


Murid Di Zon Merah Op Daulat Kembali Ke Sekolah Tanpa Kelengkapan Sekolah

LAHAD DATU: Pakaian seragam sekolah, buku teks dan peralatan sekolah semuanya musnah akibat pencerobohan militan dari selatan Filipina di Sabah lebih sebulan lepas.

Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat pelajar dari Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Lok Buani untuk kembali belajar apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani dibuka semula hari ini, setelah lebih sebulan ditutup berikutan insiden pencerobohan itu.

Malah sebilangan besar daripada mereka hanya berpakaian biasa dan membawa sebuah buku yang diletakkan di dalam beg plastik ke sekolah pada Isnin.

“Dia bersemangat untuk menyambung kembali pembelajarannya walaupun semua keperluan sekolahnya musnah kerana rumah kami dibakar,” kata Siti Rogayah Mahatmah, 46, seorang ibu yang menghantar anak lelakinya yang bersekolah di SK Tanjung Labian.

Suri rumah dari Kampung Tanjung Batu itu berkata kehadiran anggota tentera yang lengkap bersenjata serta jaminan guru tentang tahap keselamatan di sekolah itu membuatkan dirinya rasa selamat untuk menghantar anak lelakinya di Tahun Empat memulakan persekolahan.

Tinjauan Bernama di dua sekolah itu mendapati enam anggota tentera lengkap bersenjata mengawal sekitar kawasan sekolah sejak perhimpunan pagi bermula pukul 7. Bagi Rahmah Abu, 43, pula insiden pencerobohan itu tidak sedikit pun dijadikan alasan untuk tidak menghantar tiga anak lelakinya ke sekolah.

Berlainan pula dengan seorang bapa, Nasarallah Mohamad, 50, yang belum berani menghantar anaknya ke sekolah itu kerana ingin meninjau keadaan keselamatan kawasan sekolah itu terlebih dahulu.

Buat masa ini, anaknya bersekolah di sekolah lain berdekatan rumah saudara yang ditumpangi beliau sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, perhimpunan pagi sekolah itu memberi suasana berbeza apabila diselitkan dengan ucapan kata-kata semangat kepada pelajar, terutama mereka yang terjejas teruk ekoran insiden itu.

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa yang menyelitkan tentang musibah yang melanda, sebelum ucapan para guru yang menaikkan semangat murid, ucapan syabas dan tahniah kerana kehadiran mereka dan sedikit makluman mengenai operasi sekolah setelah sebulan ditutup.

Walaupun kehadiran murid agak kurang ekoran ada antaranya masih bersekolah sementara di kawasan sekitar, mereka yang hadir dilihat cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu ‘Negaraku’, ‘Perajurit’ dan lagu negeri Sabah. –BERNAMA

Ingat pesan ayah – Metro


Ingat pesan ayah

 0  0 Google +1  0  0

“Saya tekad untuk mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) demi membalas jasa bapa yang gugur di medan perang dan menganggap ini janji saya untuk menjadi anak yang baik buat ibu dan bapa.”

Itulah kata-kata semangat dan impian Hazreq Zafri Sabarudin, 12, anak kepada Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang terkorban dalam Op Daulat di Kampung Tanduo, Sabah pada 1 Mac lalu.
Hazreq Zafri anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia masih mengingati pesanan arwah bapanya yang mahukan setiap anaknya mendalami ilmu untuk menjadi orang berjaya selain menyumbang khidmat dan bakti kepada agama, bangsa dan negara.

 

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam UPSR kerana ia satu-satunya cara untuk membuktikan kepada bapa, saya mampu menjadi anak berilmu seperti diimpikannya.
“Ini impian bersama ibu dan bapa saya, oleh itu saya akan sentiasa berpegang kepada pesanan bapa untuk menuntut ilmu selagi nyawa di kandung badan serta berbakti kepada nusa dan bangsa. Saya akan buktikan saya mampu,” katanya.
Hazreq berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir bersama ibunya, Nurunnisa Abu Bakar, 42, menerima sumbangan daripada Naib Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional (KASIH) Selangor Profesor Datin Seri Dr Aishah Salleh di Bangunan Umno Selangor, di sini, semalam.

 

Turut menerima sumbangan, ibu bapa Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, Tukiran Ahamad, 65, dan Sa’adiah Mohd Amin, 60, serta balu Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Rosiah Dahlan, 52.
Terdahulu, hampir 200 ahli KASIH dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor mengadakan Majlis Tahlil Perwira Negara Lahad Datu.

 

Buat julung kalinya, KASIH dan PERKEP Selangor bergabung bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang terkorban di Sabah.
Aishah berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama erat bersama PERKEP Selangor untuk membincangkan bantuan jangka panjang boleh disalurkan kepada keluarga mangsa terkorban khasnya dan anak anggota keselamatan polis lain di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

‘Doakan pembedahan berjaya’ – Sinar Harian


‘Doakan pembedahan berjaya’
NOR RAIDAH AWANG
16 Jun 2012

Adam (empat kiri) bergambar bersama sukarelawan Kelab Awan Adventure yang hadir memberi kata-kata semangat kepadanya di KLIA.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu,” katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.

Ibu tak putus doa – Metro


Ibu tak putus doa

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Setiap detik saya memikirkan keadaan anak dan berdoa dia sedar daripada koma secepat mungkin,’’ kata Norizah Zakaria, 41, ibu kepada Nor Hidayah, 7, yang masih kritikal selepas terjatuh ke dalam longkang di Kampung Mak Chili, Chukai, Selasa lalu.

Norizah yang ditemui di Wad Rawatan Intensif Pediatrik dan Penjagaan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, keadaan anak bongsunya belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.
Katanya, dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan Nor Hidayah dipenuhi wayar di tubuh selain terpaksa menggunakan bantuan mesin pernafasan sepenuhnya.

 

“Sebelum ini dia boleh menggerakkan jari dan lidah namun hari ini (semalam) keadaan Nor Hidayah berubah sama sekali.
“Saya sebak doktor memberitahu tubuh anak tidak menunjukkan sebarang tindak balas ketika diperiksa.
“Ketika menjalankan imbasan pada otaknya, doktor masih tidak menemui sebarang tanda positif dia akan tersedar daripada koma,’’ katanya.

 

 

Sementara itu, bapa Nor Hidayah, Mohamad Embong, 47, berkata, selepas kejadian menimpa anaknya disiarkan Harian Metro semalam, ramai saudara mara serta kenalan menghubungi memintanya tabah selain memberikan kata-kata semangat.
Menurutnya, dia dan isteri hanya mampu berdoa agar Nor Hidayah dipanjangkan umur serta segera sedar.

 

“Walaupun masih bertarung nyawa, namun saya dapat rasakan Nor Hidayah boleh bangkit selepas mendengar seruan suara daripada kami sekeluarga,’’ katanya.
Mohamad berkata, dia bimbang air yang memasuki bahagian otak Nor Hidayah akan menyebabkan fizikal anaknya gagal menerima isyarat sekali gus membuatkan sistem dalam badan gagal berfungsi.