CUEPACS akan kemuka formula perpindahan gaji daripada SSM kepada SBPA – Bernama


CUEPACS akan kemuka formula perpindahan gaji daripada SSM kepada SBPA 

2012/02/04

SIBU: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aziz Muda, berkata perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan supaya ia diterima baik oleh semua penjawat awam.

“Setakat ini kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) di sini malam tadi. – BERNAMA

Anak minta sarapan kena campak – Metro


Anak minta sarapan kena campak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Hanya kerana merengek meminta disediakan sarapan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dicampakkan ke dinding oleh ibunya selepas dipukul berkali-kali di rumah mereka di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7 pagi ketika kanak-kanak berkenaan sudah siap memakai pakaian seragam untuk ke sekolah. Sumber polis berkata, sebelum kejadian ibu mangsa yang berusia 30-an, sedang bersiap hendak menghantar anaknya itu ke sekolah berhampiran, namun mangsa merengek meminta diberikan sarapan terlebih dulu.
“Berikutan itu, suspek dikatakan naik angin lalu memukul mangsa berkali-kali sebelum mencampaknya ke dinding. Wanita itu kemudian menghantar anaknya ke sekolah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa.

 

“Bagaimanapun, beberapa ahli keluarga menyedari kesan lebam pada mangsa memujuk kanak-kanak itu menceritakan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan ketakutan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya dan ahli keluarga ibunya cuba menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun usaha itu dihalang suspek .
“Suspek turut memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

 

 

Keluarga suspek kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari yang sama.

Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma – Sinar Harian


Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Fifi Ramadhani

KUALA LUMPUR- Kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tebusan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya semalam, masih trauma dengan tragedi yang menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Sugiono, 29, berkata, anaknya juga tidak dapat tidur lena apabila seringkali terjaga malam tadi.

“Fifi juga sekarang kurang bercakap. Tetapi saya bersyukur sangat kerana dia masih selamat.

“Esok dia akan bertemu doktor pakar. Cuma sekarang ini, doktor beritahu jangan bercakap mengenai kejadian semalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Fifi berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang semalam.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan empat das tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Fifi ketika ditemui hanya mendiamkan diri sambil membaca majalah yang dibawa oleh ahli keluarganya.

Dia hanya menganggukkan kepala dan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.

Dalam pada itu, menurut Santi, doktor turut menasihatkan agar dia sekeluarga tidak tinggal di rumah itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai saudara-mara lain dan mungkin akan mengecat semula rumahnya.

“Saya di sini sehelai sepinggang. Saya nak pindah ke mana. Mungkin kami akan cat rumah itu dan berharap Fifi akan lupakan kejadian ini walaupun saya tahu ia mengambil masa lama,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Sediakan keperluan anak yatim – TPM – Utusan Malaysia


Sediakan keperluan anak yatim – TPM

 

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

 

Muhyiddin Yassin merasmikan kempen Secupak Budi Sepenuh Hati di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Syed Abdul Jabbar Syed Hassan (belakang kiri), Chua Tee Yong dan Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

 

KUALA LUMPUR 28 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta diminta terus membantu kerajaan meningkatkan sosioekonomi negara terutama dalam aspek kebajikan iaitu menyediakan makanan, kediaman dan pelajaran kepada golongan kurang berkemampuan khususnya anak-anak yatim.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar kerajaan sedia ada sememangnya memberi perhatian kepada golongan anak yatim dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan bangsa.

Kata beliau, sejak empat tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM63.3 juta kepada rumah kanak-kanak kurang bernasib baik kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menyalurkan geran berjumlah RM39.7 juta kepada pusat jagaan kanak-kanak kelolaan NGO.

“Kerajaan yakin antara 21,449 kanak-kanak yang telah mendapat manfaat daripada bantuan ini, ramai yang akan berjaya mencapai cita-cita, malah kemungkinan besar menjadi pemimpin negara kelak.

“Keprihatinan atas kebajikan generasi muda itu sangat penting kerana mereka juga terangkum dalam generasi yang akan menentukan masa depan negara,” katanya berucap merasmikan kempen ‘Secupak Budi Sepenuh Hati’ di sini, hari ini.

Program kemasyarakatan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu bertujuan membantu anak-anak yatim pelbagai kaum dan agama di seluruh negara.

Melalui kempen itu, Bernas akan menyumbang 25 gram beras bagi pembelian setiap pek 10 kilogram dari mana-mana kedai di seluruh negara dan akan disalurkan kepada rumah-rumah anak yatim yang terpilih.

Menurut Muhyiddin, kerajaan prihatin dan sedar bahawa dengan bantuan yang sesuai serta dorongan, kanak-kanak kurang bernasib baik boleh berjaya dalam pelajaran dan memenuhi aspirasi menjadi remaja yang bertanggungjawab dan warganegara yang maju.

Pada masa sama, katanya, kerajaan bertanggungjawab mengukuhkan dasar dan undang-undang bagi memastikan persekitaran negara terpelihara daripada anasir yang boleh menggugat kemakmuran dan perpaduan rakyat serta kemajuan ekonomi.

Dengan persekitaran yang kondusif itu kata beliau, sektor korporat dan swasta berpeluang meningkatkan keuntungan syarikat seterusnya berkongsi melalui pelbagai kempen dan aktiviti kebajikan untuk golongan kurang bernasib baik.

“Menjadi harapan kerajaan agar usaha meningkatkan sosioekonomi itu turut didukung oleh pihak swasta dan NGO dalam agenda meningkatkan kebajikan golongan kurang berkemampuan. Ia terutama anak-anak yatim yang sangat memerlukan bantuan terutama makanan, kediaman dan pelajaran,” katanya.