‘Kau belasah anak aku…’ – Metro


‘Kau belasah anak aku…’

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang ayah bertindak nekad ‘melarikan’ anaknya daripada jagaan bekas isteri dan suami baru selepas mendapat tahu kanak-kanak berusia enam tahun itu sering dijadikan tempat melepas geram hingga menyebabkannya trauma.

Difahamkan kanak-kanak itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di ibu kota sebagai penjaga sementara berikutan ayah kandung mangsa risau dengan keadaan anaknya itu yang sering kelihatan takut jika dihampiri.
Sumber polis berkata, selepas bercerai, ayah mangsa dibenarkan melawat anaknya itu pada setiap hujung minggu dan menyangka anak tunggalnya itu gembira kerana tinggal bersama ibu kandungnya.

 

“Bagaimanapun beberapa minggu lalu ketika melawat anaknya itu, dia ternampak muka kanak-kanak itu bengkak dan apabila dia menyoal kanak-kanak itu menyatakan dia terjatuh.
“Namun bapa mangsa rasa sangsi dengan kelakuan anaknya yang sering kelihatan takut dan selepas disoal beberapa kali, akhirnya kanak-kanak itu mengaku sering dibelasah ibu kandung serta bapa tirinya,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu juga sering menangis dan menyatakan tidak mahu tinggal bersama ibunya kerana tidak tahan didera dan akhirnya ayah mangsa mengambil tindakan nekad melarikan kanak-kanak itu daripada jagaan ibu kandungnya.

 

Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, kanak-kanak itu diserahkan kepada sebuah rumah kebajikan untuk penjagaan sementara berikutan ayah mangsa yang tidak berkahwin lagi tidak mampu menjaga kanak-kanak berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23