Kawal lalu lintas sambil lewa – Sinar Harian


Kawal lalu lintas sambil lewa

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mac 2012
Kawal lalu lintas sambil lewa

ALOR GAJAH – Hampir seluruh pelajar dan murid terdedah dengan kemalangan jalan raya berikutan tindakan sambil lewa pengawal lalu lintas bertugas tanpa pemakaian yang dikhaskan.

Difahamkan, beberapa kemalangan pernah berlaku di hadapan pintu masuk beberapa sekolah di sekitar daerah ini membabitkan tahap keselamatan lalu lintas yang rendah sehingga mengundang kemalangan maut.

Beberapa ibu bapa yang sempat ditemui mendakwa, petugas yang mengawal lalu lintas di daerah ini kebanya­kannya tidak terlatih dan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Salmiah Sidek, 48, berkata, dia kurang pasti fungsi tugas pengawal keselamatan di sekolah sama ada ia merangkumi tugas mengawal lalu lintas sahaja, ataupun terpaksa melalukan kerja mengikut arahan yang dikeluarkan.

Menurutnya, apa yang diperhatikan, kebanyakan pengawal keselamatan dilihat kurang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar dan murid, malah mereka sendiri turut terdedah dengan bahaya.

“Mereka (pengawal keselamatan) ditugaskan menjaga laluan pelajar yang keluar dari sekolah setiap hari tanpa pemakaian betul seperti seragam putih, sarung tangan dan topi yang biasa diguna penjaga lalu lintas lain.

“Tindakan mereka yang turut keluar melulu dari pintu sekolah dengan menahan kereta yang sedang dipandu laju tanpa pemakaian betul dan papan tanda amaran ‘berhenti’ boleh mengundang berlakunya kemalangan,” katanya.

Manakala menurut Ismail Salleh, 42, kebanyakan pengguna jalan raya akan memperlahankan kenderaan mereka setiap kali melalui hadapan sekolah terutama di waktu puncak.

“Namun, ada juga segelintir pemandu degil masih memandu laju. Perkara ini perlu dipandang serius kerana cara pemakaian pengawal yang ditugaskan mengawal lalu lintas harus bersesuaian supaya mudah dilihat dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Mohamad Yusuff Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum berhubung segelintir pengawal keselamatan bertugas yang tidak mengikut garis panduan.

Menurutnya, pihak JPM akan menyiasat dakwaan ibu bapa terbabit yang membabitkan keselamatan pelajar dan murid sekolah yang pulang pada waktu pagi dan juga tengah hari yang terdedah dengan bahaya kemalangan di luar sekolah.

“Kami sudah memanjangkan perkara ini kepada pengetua sekolah terbabit dan syarikat keselamatan yang dilantik diberi amaran keras. Sekiranya ia berulang, kami tidak teragak-agak akan menamatkan perkhidmatan mereka.

“Kami di JPM sentiasa menerima pandangan dan teguran dari orang ramai serta ibu bapa mengenai keselamatan pelajar sekolah membabitkan kawalan lalu lintas terutamanya semasa pulang dari sekolah,” katanya.