Kuarters guru sarang maksiat – Sinar Harian


Kuarters guru sarang maksiat
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
27 September 2013
  • Kuarters guru sarang maksiatKeadaan kuarters terbiar sejak lebih lima tahun lalu.
< 1 / 2 >

SUNGAI PETANI – Keadaan 10 blok kuarters guru lima tingkat di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir membimbangkan penduduk berdekatan memandangkan ia telah dijadikan tempat lepak bagi golongan remaja melakukan perbuatan tidak berfaedah.

Penduduk, Yaakob Bakar, 58, berkata, kuarters yang mampu menempatkan kira-kira 100 keluarga dilihat tidak berpenghuni sejak lebih lima tahun walaupun dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan perabot, tempat letak kereta dan sebuah surau.

Beliau yang juga Bendahari Badan Kebajikan Islam Taman Semarak (Bakitas) berkata, keadaan menjadi semakin teruk apabila ia dipenuhi semak sementara perkakasan besi dan serpihan kayu perabot diambil orang disebabkan tiada sesiapa yang menjaga kuarters berkenaan.

“Kita selalu membuat rondaan dan adakala melihat beberapa individu atau berkumpulan keluar dari kawasan kuarters tidak kira siang atau malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ia juga dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar terutama ular kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan dua sekolah.

Sementara itu, Barkri Ahmad, 57, berkata, kuarters itu juga dilihat menjadi sarang maksiat bagi pasangan kekasih terutama pada waktu malam.

Dia yang juga ahli jawatankuasa Bakitas berkata, setelah bertahun-tahun ditinggalkan, kuarters itu kini dikhuatiri menjadi port lepak penagih dadah mahupun pelajar ponteng sekolah untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Taman Semarak, Mohd Romaizi Mohd Ghazali berkata, blok berkenaan boleh menempatkan anggaran 500 ahli keluarga sekiranya dimanfaatkan sebaiknya.

“Apabila ditinggalkan, sistem perparitan tidak teratur, loji rosak, longkang bertakung yang boleh menyebabkan Aedes membiak, laluan kumbahan juga tersumbat tambahan pula penutup besi hilang, tidak tahu angkara siapa,” katanya.

Menurutnya, kuarters berkenaan sekiranya dapat dibaik pulih, boleh menempatkan pelajar asrama atau mana-mana pelajar pusat pengajian yang berhadapan masalah tempat tinggal.

“Ada kelebihannya juga sekiranya dijadikan tempat berteduh golongan miskin yang terbeban dengan masalah kewangan akibat taraf hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian yang meninjau lokasi kuarters tersebut semalam, terkejut apabila bertembung seorang penunggang motosikal dengan selamba keluar dari situ.

Siasatan ke lokasi turut menemui sebuah lagi motosikal yang diparkir di blok kelima kuarters dengan tiga topi keledar diletakkan di kawasan sama, bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana individu kelihatan.

Sebaik tinjauan diteruskan, terdengar bunyi bising dari beberapa blok terakhir dipercayai perbuatan individu tertentu sedang mencungkil kayu atau besi yang terdapat dalam kuarters, besar kemungkinan untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Sehubungan itu, Mohd Romaizi menggesa pihak berkaitan melakukan tindakan susulan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan membuat lawatan susulan tidak lama lagi.

Menurutnya, lawatan juga akan menjemput beberapa jabatan terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan beberapa pihak lain berkaitan.

“Saya akan melihat secara terperinci berhubung masalah ini dan kebimbangan yang disuarakan penduduk.

“Tambahan pula, ia melibatkan prasarana yang sudah dibina, berlaku pembaziran sekiranya dibiarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Cacat ibu jari terkena mercun dilempar rakan – Metro


Cacat ibu jari terkena mercun dilempar rakan

 0  0 Google +0  0  0

Kota Bharu: Malang buat seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dari Kampung Cabang Empat, Tumpat apabila terpaksa beraya di hospital selepas sebahagian ibu jari kanannya hancur terkena mercun bola yang didakwa dilempar rakannya di Taman Seri Periuk, Tumpat ketika Aidilfitri pertama, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Muhammad Faris Aizat Mohd Farid bermain bunga api dan mercun di kawasan perumahan yang terletak berhampiran rumahnya bersama rakan sebelum mendakwa sebiji mercun bola dilempar rakannya dan meletup di tangannya.

Mangsa yang turut cedera di jari hantu kanan dan badan sehingga menerima beberapa jahitan dan ketika itu baru habis beraya dengan menziarahi rumah saudara mara dan berbaju Melayu serta memakai songkok, meraung kesakitan dan meminta bantuan penduduk kampung selepas terkena mercun.

Seorang penduduk kampung membawa mangsa ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

FotoMUHAMMAD Faris Aizat menunjukkan tangan kanannya yang cedera terkena mercun bola.

Ibu mangsa Yusnani Abdullah, 38, berkata, ketika kejadian, dia menziarahi kubur dan hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan adiknya.
“Sebelum ini saya sering melarangnya bermain mercun dan diharap kejadian ini menjadi pengajaran. Dia memaklumkan tidak sedar rakannya membaling mercun bola dan terkena tangannya.

“Ketika mula dimasukkan ke hospital, dia tenang saja, tetapi sejak semalam (kelmarin) sehingga hari ini (semalam), kasihan melihat keadaannya apabila asyik mengadu sakit.

“Dia akan menjalani pembedahan untuk memperbetulkan sebahagian jari hantunya yang hancur,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.

Sementara itu, Muhammad Faris mengakui serik untuk bermain mercun selepas ini.
Sehingga kini, Kelantan mencatat enam mangsa mercun sejak Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/11

Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan – Metro


Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan

 15  4 Google +1  0  0

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa diliwat rakan dalam kejadian di sebuah rumah di Cheras, di sini, kelmarin.

Mangsa mendakwa diliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang juga tinggal di kawasan perumahan sama dalam kejadian jam 4.30 petang itu.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya diarahkan ibunya berusia 44 tahun untuk mengambil surat khabar di sebuah rumah di kawasan perumahan itu.

 

“Mangsa pulang ke rumahnya 30 minit kemudian dalam keadaan menangis. Ibu mangsa yang hairan dengan sikap anaknya itu bertanyakan apa yang berlaku.
“Wanita terbabit terkejut apabila anaknya mendakwa seorang kanak-kanak lelaki memasukkan kemaluan ke duburnya dengan cara paksa,” katanya.
Sumber berkata, wanita berkenaan dan suaminya bergegas ke rumah kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan penjelasan namun kehadiran mereka tidak dialu-alukan keluarga kanak-kanak itu.

 

“Mangsa kemudian dibawa ibu dan bapanya ke Balai Polis Cheras untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.
Katanya, kanak-kanak terbabit masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malah doktor juga sudah melakukan pemeriksaan terhadapnya.

 

Difahamkan, kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Bapa rayu salur maklumat anak lelaki gagal dikesan – Bernama


Bapa rayu salur maklumat anak lelaki gagal dikesan

KUALA LUMPUR 12 April – Seorang bapa merayu orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung anak lelakinya, Muhammad Yunus Yazaljala, 9, yang gagal dikesan sejak Rabu lepas.

Yazaljala Muhamad Noor, 53, berkata, anaknya yang keluar bermain bersama adik lelakinya, Muhammad Yaakub, 5, berhampiran kawasan perumahan di Bandar Tasik Puteri Rawang, menghilangkan diri sejak pukul 5.30 petang, dua hari lepas.

“Pada hari kejadian, adiknya pulang ke rumah seorang diri dan memberitahu isteri saya bahawa Yunus menaiki sebuah kereta,” katanya.

Yazaljala berkata, dakwaan anak bongsunya dikukuhkan lagi apabila keesokannya, kakaknya yang pulang dari sekolah memberitahu rakan Yunus ternampak dia menaiki sebuah kereta yang dipandu orang tidak dikenali di kawasan perumahan itu.

“Yunus anak keempat daripada lima beradik itu mempunyai ramai kawan. Mula-mula kami sangka dia akan pulang ke rumah, namun tidak balik dan tidak menghubungi kami sampai sekarang,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, Yunus berpakaian kemeja T berwarna hitam dan seluar jeans berwarna biru pada hari tersebut.

Yazaljala telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri Rawang, pada kira-kira 3.30 petang Khamis mengenai kehilangan anaknya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa Yunus boleh menghubungi talian 019-6053591 atau menghubungi balai polis berhampiran. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130413/je_12/Bapa-rayu-salur-maklumat-anak-lelaki-gagal-dikesan#ixzz2QJTbZvPe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bapa rayu salur maklumat kehilangan anak lelaki – Bernama


Bapa rayu salur maklumat kehilangan anak lelaki

12 April 2013

KUALA LUMPUR – Seorang bapa merayu orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung anak lelakinya, Muhammad Yunus Yazaljala, 9, yang gagal dikesan sejak Rabu lepas.

Yazaljala Muhamad Noor, 53, berkata anaknya yang keluar bermain bersama adik lelakinya, Muhammad Yaakub, 5, berhampiran kawasan perumahannya di Bandar Tasik Puteri Rawang, menghilangkan diri sejak pukul 5.30 petang, dua hari lepas.

“Pada hari kejadian, adiknya pulang ke rumah seorang diri dan memberitahu isteri saya bahawa Yunus menaiki sebuah kereta.

Yazaljala berkata dakwaan anak bongsunya dikukuhkan lagi apabila keesokannya kakaknya yang pulang dari sekolah berkata rakan Yunus ternampak dia menaiki sebuah kereta yang dipandu orang tidak dikenali di kawasan perumahan itu.

“Yunus anak keempat daripada lima beradik itu mempunyai ramai kawan, dan mula-mula kami sangka dia akan pulang ke rumah, namun tidak balik dan tidak menghubungi kami sampai sekarang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, Yunus berpakaian kemeja T berwarna hitam dan seluar jeans berwarna biru pada hari tersebut.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri Rawang, pada kira-kira 3.30 petang Khamis mengenai kehilangan anaknya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa Yunus boleh menghubungi talian 019-6053591 atau menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama

Rekrut rakan sekolah, adik sertai geng samun – Metro


Rekrut rakan sekolah, adik sertai geng samun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dikesan merekrut rakan sekolah dan adik kandungnya untuk menyertai kumpulan samun diketuainya sebagai cara mudah mendapat wang belanja harian.

Difahamkan, kumpulan samun yang diketuai remaja bawah umur terbabit bergerak dengan motosikal sebelum menyamun mangsa secara rambang di kawasan gelap sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri.
Lebih mengejutkan, ketua kumpulan samun cilik yang dianggotai tujuh remaja berusia 15 hingga 19 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan samun kedai runcit setahun lalu dan masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah yang tamat Julai depan.

 

Mendedahkan mengenai kumpulan samun cilik terbabit, Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kegiatan kumpulan samun remaja itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang mangsa mereka, awal pagi semalam.
Menurutnya, ketika sepasukan anggota bertugas di kawasan berkenaan, mereka didatangi seorang remaja berumur 14 tahun yang mendakwa disamun tujuh remaja bermotosikal.
“Sebaik menerima aduan, anggota berkenaan membawa mangsa ke kawasan perumahan berhampiran dan ternampak sekumpulan remaja berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

 

 

“Anggota itu mendekati kumpulan remaja terbabit dan selepas memperkenalkan diri sebagai polis, mereka cuba melarikan diri namun lima daripada mereka ditahan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, sebaik ditahan mangsa membuat pengecaman dan menyatakan kumpulan itu yang menyamunnya sejam sebelum itu dan lima remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

 

Katanya, pemeriksaan dalam poket seluar remaja berusia 16 tahun yang dipercayai ketua kumpulan samun itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit milik mangsa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketua kumpulan samun itu pernah ditahan atas kesalahan samun kedai runcit di kawasan sama tahun lalu dan dia dikenakan tindakan perintah pengawasan mahkamah selama dua tahun yang tamat pada 18 Julai depan.
“Meskipun, masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah, remaja ini masih meneruskan kegiatan jenayah, malah merekrut ahli baru untuk kumpulan samunnya dari kalangan rakan sekolah dan adik kandungnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02

Rumah guru disimbah cat – Sinar Harian


Rumah guru disimbah cat

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
20 Oktober 2012
Siti Noor
Siti Noor menunjukkan keretanya yang disimbah dengan cat merah malam tadi.

KOTA BHARU – Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Taman Sabariah, di sini dibaling dengan cat merah dalam kejadian, jam 11 malam tadi.

Mangsa, Siti Noor Sidin Ahmad, 40, merupakan seorang guru berkata, pada malam tersebut dia sedang melakukan kerja rumah dan dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

“Apabila membuka tingkat rumah saya lihat lantai, serta tiang rumah dan kereta dipenuhi dengan cat berwarna merah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, anak lelaki sulungnya, Amirul Azim Zulkifli, 13, sempat melihat sebuah kereta Perodua Kancil berhenti di hadapan pintu pagar rumahnya.

Beliau yang ketika itu tinggal bersama lima anaknya yang berumur di antara 13 hingga tiga tahun itu terus menghubungi suaminya, yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Perak, Zulkifli Yaacob untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Siti Noor berkata, sebaik sahaja selesai menghubungi suami, dalam jam 11.30 malam beliau terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa.

“Ini merupakan kali pertama rumah saya di simbah dengan cat merah semenjak sembilan tahun menetap di kawasan perumahan ini.

“Sebelum kejadian, saya ada dimaklumkan oleh jiran-jiran bahawa mereka ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dilihat melalui kawasan rumah ini beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azaham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Lantik guru sertai PVR – Utusan


Lantik guru sertai PVR

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik guru sekolah sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi menangani masalah jenayah di kawasan sekolah terutama kes penculikan pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam pembentangan Bajet 2013, kerajaan telah meluluskan penambahan 10,000 anggota PVR dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

Beliau berkata, penambahan anggota PVR membolehkan pasukan keselamatan itu meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam termasuk pusat beli-belah, kawasan perumahan dan sekolah dalam usaha mencegah jenayah.

“Kita mahu anggota polis bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, taman perumahan dan juga sekolah.

 

Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis – Sinar Harian


Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis
Jusop menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Mohd Adam.

TUMPAT – Angkara bermain mercun seorang kanak -kanak istimewa dipukul seorang lelaki berpakaian uniform di tengkuk, sehingga menyebabkan dia tersungkur ke tanah dan mengalami luka kecil di tapak tangan di hadapan rumahnya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, di sini.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, Mohd Adam Jusop, 15, bermain mercun bersama kawannya kira-kira jam 5.45 petang di dalam kawasan perumahan JKR, Pengkalan Kubor.

Ketika kawan Mohd Adam sedang leka bermain mercun, datang seorang lelaki beruniform mengejar mereka sehingga sampai di rumah Mohd Adam yang terletak beberapa meter dari perumahan JKR itu.

Bapa mangsa, Jusop Ibrahim, 64, berkata, dia kesal dengan tindakan anggota beruniform itu kerana memukul anak angkatnya itu, Mohd Adam sehingga menyebabkan kecederaan.

“Anak saya melarikan diri dengan menunggang basikal ketika dikejar lelaki beruniform ini.

“Bila sampai di hadapan rumah saya, dia terjatuh dari basikal, dan tersungkur selepas dipukul lelaki itu di tengkuk,” katanya.

Jusop berkata, bila bunyi bising di luar rumah, dia keluar dan sempat melihat tindakan lelaki berkenaan menyepak basikal anaknya serta mengugutnya.

“Kalau dia (lelaki beruniform) ternampak Mohd Adam bermain lagi dalam kawasan perumahan JKR, akan dipukulnya, dan selepas itu dia menendang basikal dan terus berlalu,” katanya.

Jusop berkata, dia cukup kesal dengan tindakan lelaki tersebut kerana seakan menyalahgunakan kuasanya sebagai anggota berpakaian uniform.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat  laporan polis di Pejabat Polis Pengkalan Kubor dan meminta kes ini disiasat.

Kanak-kanak ditahan terlibat kes jenayah pecah rumah – Sinar Harian


Kanak-kanak ditahan terlibat kes jenayah pecah rumah
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.
KULIM – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun ditahan kerana berpelesiran di sekitar kawasan perumahan, kira-kira jam 12.30 pagi, semalam.

Dia ditahan anggota polis bersama anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela), yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di sekitar Taman Selasih di sini.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ini merupakan kali kedua kanakkanak itu ditahan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika disoal siasat kanak-kanak itu mengaku melakukan perbuatan pecah rumah bersama dua kenalan lain yang lebih dewasa Kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

Menurut kanak-kanak itu, dia bersama rakannya akan merayau di kawasan perumahan kira-kira jam 7.30 malam.

“Apabila rumah sudah dikenal pasti, mereka akan pergi ke bahagian belakang rumah untuk masuk ke dalam rumah mangsa,” katanya.

Katanya, antara barangan berharga yang diambil dari rumah mangsa adalah seperti barang kemas, duit tunai dan barangan berharga lain.

“Saya tidak masuk ke dalam rumah, tetapi hanya duduk di luar untuk memerhati sekiranya perbuatan kami itu diketahui orang. “Kawan saya akan menggunakan ‘jek’ kereta untuk merenggangkan jeriji tingkap bagi memudahkan mereka asuk ke dalam rumah.

“Mereka masuk tidak lama hanya lima minit, sebelum melarikan barangan yang dicuri. Barang berharga kemudiannya akan dijual,” katanya.