Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan – Bernama


Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan

 

GEORGE TOWN 12 Sept. — Seorang koperal polis dihukum penjara 100 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia enam tahun pada 2011.

Hakim Zainol Rashid Hussain memerintahkan hukuman ke atas Aziri Sahid, 55, bermula hari ini.

Aziri yang dituduh memasukkan jari ke dalam vagina kanak-kanak berkenaan, didakwa mengikut Seksyen 77CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 28 Mei dan 12 Jun 2011 pada sebelah petang di rumah bernombor 54-4, Berek Polis, Fasa 1, Bandar Baru Air Itam.

Tertuduh diwakili peguam bela S Yagoo manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130912/ma_09/Cabul-kanak-kanak-koperal-polis-dipenjara-100-bulan#ixzz2eflX5wOs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua pelajar rakan sekelas maut kemalangan di Langkawi – Bernama


Dua pelajar rakan sekelas maut kemalangan di Langkawi

 

 

LANGKAWI 12 Sept. – Dua pelajar yang merupakan rakan sekelas maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta yang membuat pusingan ’U’ di simpang Kelibang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.55 itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri Langkawi itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Langkawi, Supritendan Harith Kam Abdullah berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua pelajar itu Muhammad Fauzan Mohd Fuad, 17, dan Muhammad Farris Azizi Mohd Hasrin, 17, tercampak ke atas jalan.

Katanya pemandu kereta terbabit seorang wanita berumur 30-an tidak cedera.

Kedua-dua pelajar itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130912/je_20/Dua-pelajar-rakan-sekelas-maut-kemalangan-di-Langkawi#ixzz2eflRGPZO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu bapa dera anak kandung ditahan – Utusan


Ibu bapa dera anak kandung ditahan

 

Oleh NORAZRIN MARZUKI

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan anak lelaki mereka berusia 10 tahun di sebuah rumah di Setapak malam tadi.

Pasangan itu ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh guru besar sekolah anaknya di Jalan Pahang, Setapak pada 28 Ogos lalu selepas mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di kepala, mulut dan anggota badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, guru besar sekolah itu pernah memanggil ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan menasihatkan mereka menghentikan penderaan ke atas kanak-kanak itu.

“Sebaliknya apa yang berlaku adalah mangsa didera lebih teruk kerana memaklumkan kejadian itu kepada guru berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130911/je_11/Ibu-bapa-dera-anak-kandung-ditahan#ixzz2eZHLhjjN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dirogol lelaki baru dikenali – Sinar Harian


Dirogol lelaki baru dikenali
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Ogos 2013
  • Mizan Md DomMizan Md Dom
< 1 / 1 >

REMBAU – Gara-gara percaya dengan lelaki yang baru dikenalinya, seorang pelajar tingkatan lima sanggup melakukan hubungan seks sebanyak enam kali dengan lelaki berkenaan.

Pelajar berkenaan walau bagaimanapun nekad membuat laporan polis dan mahu lelaki berkenaan bertanggungjawab ke atas dirinya.

Sumber berkata, difahamkan pelajar berkenaan melakukan hubungan kelamin dengan suspek buat pertama kali pada penghujung April lalu kira-kira jam 2.30 petang di salah sebuah rumah di kawasan taman perumahan berhampiran sebuah pasar raya di daerah ini.

Menurutnya, pada kejadian kali pertama berkenaan, mangsa baru sahaja mengenali suspek telah dibawa ke rumah berkenaan dan dipaksa melakukan hubungan seks.

“Suspek memaksa mangsa melakukan hubungan seks sekiranya mangsa sayang kepadanya.

“Kali terakhir suspek melakukan perbuatan berkenaan adalah sekitar Jun lalu. Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada 14 Ogos lalu (kelmarin),” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kita kini giat mengesan suspek yang dipercayai berusia belasan tahun dan masih lagi tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau – Bernama


Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau
29 Julai 2013
< 1 / 0 >

MELAKA – Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua pelajar lelaki berumur 14 tahun dan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun.

Basri Hashim, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Sungai Udang di sini, masing-masing pada 9 pagi, 9.10 pagi dan 9.30 pagi, 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. – Bernama

Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan – Kosmo


Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan

 

28/07/2013 3:15pm

 

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa dalam kereta peronda polis empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati tertuduh, Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2aKJ9dpOA
Hakcipta terpelihara

Remaja Hilang Ditemui Dirogol – Bernama


Remaja Hilang Ditemui Dirogol

GEORGE TOWN: Remaja perempuan berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Sungai Ara, Bayan Lepas pada Jumaat lalu ditemui awal pagi Khamis.

Dia ditemui masih dalam pakaian tidur seperti ketika dia dilaporkan hilang, pada pukul 1 pagi oleh seorang penoreh di pinggir kebun getah, beberapa kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata remaja itu kelihatan bingung dan trauma serta lemah dipercayai kerana tidak mendapat makanan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa diculik dua lelaki bertopeng dan dibawa naik ke atas bukit serta dirogol oleh salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi.

Keluarganya telah dimaklumkan mengenai penemuannya dan dia kini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Hatta berkata pihak polis masih belum mengenal pasti identiti suspek dan usaha mengesan sedang dilakukan.Mangsa disedari hilang pada pukul 6 pagi dengan selimut miliknya dijumpai di belakang rumahnya.

Menurut keluarganya, rumah mereka yang terletak di atas bukit tidak dikunci pada malam tersebut bagi memudahkan seorang lagi anggota keluarga mereka yang pulang lewat memasukinya. – BERNAMA

Selangor umum bonus raya sebulan gaji kepada penjawat awam negeri – Bernama


Selangor umum bonus raya sebulan gaji kepada penjawat awam negeri

2013/07/24 – 17:20:37 PMCetakEmel Kawan
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak dan sambilan…namun sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi (bonus) setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk mengekang ajaran syiah di Selangor, Abdul Khalid berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Jais akan mengambil tindakan terhadap perkara ini. Sekiranya perlu diambil tindakan ke atas pihak yang mengamalkan ajaran itu, mereka (Jais) akan buat apa yang perlu,” katanya. – BERNAMA

‘Baju sekolah penuh darah’ – Sinar Harian


‘Baju sekolah penuh darah’

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2013
'Baju sekolah penuh darah'
Manimaran dan laporan Sinar Harian semalam.

IPOH – “Rasa pilu ketika melihat anak tidak bernyawa dengan baju sekolahnya dipenuhi darah selain luka di leher dan kedua-dua tangannya. Tidak dapat bayang penderitaan yang dihadapinya,” demikian kata bapa mangsa bunuh, M Nathaniel, 14, yang di temui dalam semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

A Manimaran, 46, berkata, dia dimaklum oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan dia ditemui dengan banyak kesan luka. Siapa yang sanggup membunuh dia kerana setahu saya, dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia anak baik dan periang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Katanya, dia diberitahu oleh salah seorang rakan anaknya yang ternampak mangsa berbual dengan tiga lelaki tidak dikenali pada hari dia didapati hilang.

“Dia ingatkan rakan anak saya jadi dia terus pulang tanpa mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada sebarang pergaduhan atau jeritan ketika itu,” katanya  yang kali terakhir bertemu ketika keluar bekerja pada pagi hari kejadian.

Namun, Manimaran berkata, mangsa ada perselisihan faham dengan tiga lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal, Isnin minggu lalu.

“Hanya itu sahaja masalah yang dihadapinya sebelum kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan perselisihan faham itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mangsa akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan remaja malang berkenaan ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di beberapa bahagian di badan dan siasatan pihak polis dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Remaja dilapor hilang ditemui – Bernama


Remaja dilapor hilang ditemui

21 Julai 2013

GEORGETOWN – Remaja perempuan berumur 14 tahun yang dilapor hilang dari rumhnya di Sungai Ara, Bayan Lepas pada Jumaat lalu ditemui awal pagi tadi.

Dia ditemui masih dalam pakaian tidur seperti ketika dia dilapor hilang, pada pukul 1 pagi oleh seorang penoreh di pinggir kebun getah, beberapa kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata remaja itu kelihatan bingung dan trauma serta lemah dipercayai kerana tidak mendapat makanan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa diculik dua lelaki bertopeng dan dibawa naik ke atas bukit serta dirogol oleh salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi.

Keluarganya telah dimaklumkan mengenai penemuannya dan dia kini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Hatta berkata pihak polis masih belum mengenal pasti identiti suspek dan usaha mengesan sedang dilakukan.

Mangsa disedari hilang pada pukul 6 pagi dengan selimut miliknya dijumpai di belakang rumahnya.

Menurut keluarganya, rumah mereka yang terletak di atas bukit tidak dikunci pada malam tersebut bagi memudahkan seorang lagi anggota keluarga mereka yang pulang lewat memasukinya. – Bernama