Kanak-kanak lelaki 10 tahun tidak pernah bersekolah diterima masuk ke sekolah kerajaan – Bernama


Kanak-kanak lelaki 10 tahun tidak pernah bersekolah diterima masuk ke sekolah kerajaan

28 Januari 2013

ALOR SETAR – Masalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang tidak pernah bersekolah berikutan masalah kewarganegaraan berakhir apabila diterima belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Keat Hwa (K), Peremba di sini, hari ini.

Master Phuwis Neng, yang dilahirkan di Thailand tidak dapat belajar di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan disebabkan statusnya yang bukan warganegara. Bapa Master Phuwis merupakan rakyat Malaysia manakala ibunya rakyat Thailand, tetapi masalah pendaftaran perkahwinan ibu bapanya menyebabkan dia menghadapi banyak masalah termasuk untuk belajar di sekolah kerajaan.

Phuwis Neng kelihatan gembira memasuki kelas Tahun Empat bersama pelajar seusia dengannya.

Pegawai Khas Anggota Parlimen Alor Setar Loh Eng Chong berkata, kanak-kanak tersebut dijaga nenek sebelah bapanya, Chan Bee Kooi yang tinggal di Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini setelah diserahkan ibu bapanya.

Berita gembira itu diterima keluarga tersebut setelah menerima surat penerimaan masuk murid bukan warganegara ke sekolah kerajaan oleh Jabatan Pelajaran Kedah semalam setelah pihaknya membuat permohonan Disember tahun lepas, katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, ini hasil usaha pihak MCA negeri untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang tercicir dalam pelajaran mendapat tempat di sekolah dan belajar bersama-sama dengan pelajar seusia denganya.

Loh berkata, Phuwis Neng layak untuk belajar di negara ini memandangkan bapanya rakyat negara ini dan MCA akan membantunya dengan memberi kelas intensif secara percuma supaya dia dapat mengejar semula pelajaran daripada Tahun Satu hingga Tiga.

“Dia pernah belajar membaca dan menulis sejak umur tujuh tahun. Pihak MCA juga akan cuba mendapatkan kerakyatan kepada Phuwis bagi membolehkan dia dapat belajar dan seterusnya mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Difahamkan ibu bapa Phuwis Neng sedang menjalani hukuman penjara berikutan masalah dadah.

Loh berkata, memandangkan nenek Phuwis Neng hidup susah, MCA dan Pejabat Anggota Parlimen ALor Setar turut membantu menguruskan yuran persekolahan kanak-kanak tersebut dan membantu neneknya itu dengan menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban yang dihadapi.

Phuwis Neng yang tidak fasih berbahasa Melayu ketika ditemui berkata dia tidak sabar untuk ke sekolah bertemu dengan rakan-rakan baru.

“Saya seronok nak pergi ke sekolah. Nak belajar,” katanya menerusi jurubahasa. – Bernama

28,000 pelajar di Kubang Pasu terima bantuan persekolahan minggu ini – Bernama


28,000 pelajar di Kubang Pasu terima bantuan persekolahan minggu ini

28 Januari 2013

JITRA – Lebih 28,000 pelajar sekolah menengah dan rendah daerah Kubang Pasu dijangka menerima bantuan awal persekolahan RM100 sumbangan kerajaan pusat selewat-lewatnya Khamis ini.

Naib ketua Umno Kubang Pasu Zulfitri Yaacob berkata setakat ini 40 daripada 57 sekolah menengah dan rendah di daerah itu telah menyerahkan bantuan terbabit kepada ibu bapa dan waris pelajar.

“Kita mahu menyelesaikan pemberian wang bantuan persekolahan ini sebelum Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula dibayar pada 2 Februari,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan itu kepada 390 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, hari ini.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata bantuan awal persekolahan adalah istimewa kerana kerajaan memberinya kepada semua pelajar sebagai galakan kepada mereka untuk belajar lebih tekun.

“Bantuan awal ini sesuai pada masanya kerana ekonomi negara dalam keadaan stabil manakala infrastruktur asas yang penting untuk memacu pembangunan negara telah disiapkan,” katanya.

Sementara itu seorang ibu tunggal, Nafsiah Jaafar, 46, terharu kerana bantuan untuk dua anaknya yang belajar di tahun lima dan enam SK Malau dapat menyelesaikan masalahnya dalam menyediakan keperluan persekolahan.

“Kakak bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bandar Darulaman bagi menyara dua anak yang bersekolah. Syukurlah dengan bantuan ini dapat juga
membeli pakaian dan beg sekolah baru untuk kedua-dua anak saya,” katanya.

Tukang kebun SK (C) Keat Hwa Kampung Perak, Alor Setar, Hashim Mohd Zain, 59, berkata beliau akan menyimpan wang untuk untuk dua anaknya bagi kegunaan pada masa depan.

Pekerja Am Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Arau, Salim Sharif, 48, pula berkata beliau juga akan menyimpan wang itu untuk pelajaran anaknya. – Bernama

Pingat Pandelela bukti kejayaan wujud sekolah sukan – Bernama


Pingat Pandelela bukti kejayaan wujud sekolah sukan

10 Ogos 2012
ALOR SETAR- Kejayaan atlet terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara 10m platform wanita membuktikan kejayaan kerajaan dalam mewujudkan sekolah sukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata kemenangan Pandelela, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, membuktikan usaha Kementerian Pelajaran menubuhkan sekolah sukan boleh membantu negara meraih pingat pada temasya sukan antarabangsa.

“Kontinjen negara kini tidak hanya bergantung kepada acara badminton untuk memperoleh pingat negara dalam Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek bantuan modal kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Kedah di SRJKC Keat Hwa di sini hari ini.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata, di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata dan pingat perak menjadi milik penerjun Australia Brittany Broben dengan 366.50 mata.

Sementara itu, Wee berkata Kementerian Pelajaran hari ini menyerahkan cek bantuan modal berjumlah RM6.975 juta iaitu sebanyak RM5.625 juta kepada 68 SRJKC dan RM1.35 juta kepada empat SMJK di Kedah.

Beliau berkata peruntukan itu adalah daripada peruntukan RM100 juta kepada SJKC, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Mubaligh di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012.

“Di Kedah terdapat tujuh Sekolah Mubaligh yang akan menerima peruntukan tersebut sebanyak RM1.45 juta dan kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” katanya

Ditanya mengenai dakwaan bahawa peruntukan kepada sekolah tersebut tidak mencukupi, Wee berkata perkara tersebut tidak pernah berlaku memandangkan pihak kementerian telah membuat kajian sebelum memberi peruntukan itu.

“Kalau sekolah itu hendak buat bangunan sekolah, kita akan turun padang dan buat kajian mengenai kos yang diperlukan sebelum meluluskan peruntukan tersebut,” katanya. -Bernama