Gerak hati seorang bapa – Sinar Harian


Gerak hati seorang bapa

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mei 2012

BATU PAHAT – Gerak hati seorang bapa berjaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini menimpa tiga anaknya apabila rumah yang didiami musnah dalam kebakaran kira-kira jam 10 pagi semalam, di Kampung Parit Nipah Darat, di  sini.

Mangsa, Rosmani Sharif, 39, berkata, pada kebiasaannya, dia ke kebun bagi melakukan kerja-kerja harian sendirian tanpa ditemani anak-anaknya. Namun pada pagi tersebut katanya, dia berasa tidak sedap hati ketika hendak keluar rumah, lalu mengejutkan semua tiga anaknya yang sedang tidur dan mengajak mereka ke kebun.

“Saya dan anak-anak kemudiannya pergi ke kebun yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah dan turut ditemani ibu (Sarmi Madi, 68),” katanya. Rosmani berkata, dia mula melakukan rutin kerjanya seperti biasa di kebun, manakala anak-anaknya asyik bermain di satu sudut lain kawasan kebun sawitnya itu.

Adnan (kanan) menyampaikan bantuan dari JKM ke Rosmani (dua, kiri). Rosmani melihat kediamannya yang hangus terbakar. “Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada jiran dan mengatakan  kediaman kami terbakar.

“Saya yang terkejut segera bergegas pulang sebelum mendapati api sudah marak dan memusnahkan lebih separuh rumah kami,” katanya. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.

Tiga anak mangsa yang terselamat, Mohd Osama Rizal, 10, Mohd Jebat Rafiqi, 5 dan Mohd Megat Raizzudin, 3. Dia kemudiannya menghubungi isterinya, Rozita Abdul Samad, 35, yang bekerja di kilang berhampiran untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Kebakaran yang melibatkan rumah pusaka yang berumur lebih 70 tahun itu turut memusnahkan wang simpanan ibunya yang bakal digunakan untuk ke tanah suci Makkah. Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu  Pahat, Adnan Md Yassin datang melawat keluarga mangsa kira-kira jam 12 tengah hari  dan turut memberikan sumbangan kecemasan sebanyak RM300a.  “Selain sumbangan wang tunai, kami (JKM) turut memberikan beberapa  barangan asas lain seperti selimut, beras dan sebagainya kepada keluarga mangsa,” katanya.

Terkejut anak jerit kesakitan – Sinar Harian


Terkejut anak jerit kesakitan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2012
Terkejut anak jerit kesakitan
Mangsa menunjukkan kakinya yang dipatuk ular di kediamannya di Banggol Kekabu,
pagi semalam.

RANTAU PANJANG – Seorang ibu yang sedang menjahit manik di ruang tamu rumahnya di Banggol Kekabu malam kelmarin, dikejutkan dengan jeritan serta tangisan anak bongsunya akibat dipatuk ular.

Norbaiti Che Mah, 43, berkata, jeritan itu mengejutkannya memandangkan mangsa, Nurul Faizah Yusri, 10, agak lasak dan sukar menangis biarpun kerap ditimpa kemalangan.

Menurutnya, sebaik mendengar tangisan anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia segera mendapatkan anaknya dan melihat mangsa sedang menahan kesakitan sambil menunjukkan kaki kanannya dipatuk.

“Saya mengangkat anak masuk rumah sambil menenteramkannya dan memberitahu suami membawanya ke klinik.

“Setelah ke klinik, kami diminta membawa Nurul Faizah ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Norbaiti berkata, dia dan keluarga kerap terserempak pelbagai jenis ular berhampiran rumah memandangkan sekitarnya dipenuhi semak.

Menurutnya, rumahnya terletak di antara kawasan kebun getah menyebabkan mereka terdedah bahaya haiwan berbisa itu.

“Ini merupakan kejadian pertama anak dipatuk ular dan bersyukur dia selamat,”katanya.

Sementara itu, mangsa berkata, dia dan dua kakaknya pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah ibunya kira-kira jam 9.15 malam.

Menurutnya keadaan di tangga rumah neneknya agak gelap dan tidak menjangka akan dipatuk haiwan berbisa itu.

“Selepas berjalan ke rumah nenek, saya terasa kaki sakit seperti digigit dan menjerit kerana tidak dapat menahan kesakitan,” kata murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Lubok Setol ini.

Berikutan kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di klinik swasta di Rantau Panjang sebelum dirawat di Wad kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas dan dibenarkan pulang, pagi semalam