Bumbung asrama dibaik pulih – Sinar Harian


Bumbung asrama dibaik pulih

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2013
Bumbung asrama dibaik pulih
Zaifulbahri (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama sambil diperhatikan Zamri (kiri), di SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail.

PEDAS – Pelajar dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail, kini lega apabila kerja-kerja membaik pulih bumbung asrama sekolah berkenaan yang rosak dalam kejadian ribut pada penghujung Disember 2011 sudah siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim berkata, sebagai langkah mengatasi masalah itu, pihak sekolah menempatkan pelajar dari tiga bilik asrama di kuarters guru bagi membolehkan mereka menjalani sesi persekolahan sepanjang tahun lepas.

“Bagi pihak JKR, mereka mengambil langkah awal dengan menutup atap yang bocor dengan kanvas pada 14 Februari tahun lalu dan akhirnya kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan di bawah Pakej Rancangan Khas (PRK).

“Kerosakan akibat ribut itu membabitkan kerja-kerja baik pulih bangunan asrama putri dan putra Block A & B; bangunan B, C, D dan lain-lain lagi yang mana ianya membabitkan peruntukan RM544,000,” katanya sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama di Dewan SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Azali Hashim dan Pengetua SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, Saiful Bahrin Abu.

Sementara itu, Zaifulbahri berkata, diharap warga sekolah terus meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek walaupun berhadapan bencana ribut.

“Walaupun begitu, pihak sekolah dapat menyediakan langkah tepat bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar dan dalam masa sama prestasi sekolah sebagai antara sekolah agama yang cemerlang tetap dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Muhyiddin Lawat Sekolah Berprestasi Tinggi Terkemuka Alabama – Bernama


Muhyiddin Lawat Sekolah Berprestasi Tinggi Terkemuka Alabama

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berkongsi pengalaman berharga dengan sekumpulan pelajar semasa lawatan beliau ke Daphne High School, Alabama, Khamis. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Lawatan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja dua hari ke negeri Alabama di Amerika Syarikat. -fotoBERNAMA

 

MOBILE (Alabama): Lawatan ke sekolah berprestasi tinggi terkemuka dekat sini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengalaman berharga yang menyaksikan beberapa inisiatif dilaksanakan di sekolah itu dipertimbangkan untuk sekolah di Malaysia.

Ini termasuk penggunaan teknologi secara komprehensif seperti komputer riba berbanding kaedah tradisional penggunaan buku teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Mempunyai kira-kira 1,200 pelajar, Daphne High School ialah penerima anugerah berprestij ‘National Blue Ribbon Schools 2012’ di bawah program Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat yang mengiktiraf sekolah rendah awam dan bukan awam, sekolah menengah dan sekolah menengah tinggi yang pelajar mencatat prestasi tahap amat tinggi atau pelajar mencatat kemajuan signifikan dalam pencapaian akademik.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran jelas amat kagum dengan apa yang dilihatnya, termasuk kemahiran berfikir dan kreativiti pelajar serta pendekatan holistik proses pengajaran oleh sekolah itu, menumpukan pada akademik serta aktiviti kokurikulum dan aspek lain berkaitan dalam melahirkan individu serba boleh.

“Nampak mereka (pelajar) lebih berdikari, cara mereka berkomunikasi juga agak baik. Ini menunjukkan tahap kecemerlangan sekolah ini, sesuatu yang kita boleh jadikan contoh,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari beliau ke Alabama pada Khamis.

Menyentuh mengenai keyakinan pelajar menjawab soalan dan sikap matang mereka semasa beliau berinteraksi dengan mereka semasa lawatan itu, Muhyiddin berkata: “Sikap dan keupayaan beginilah yang kita harus bangunkan dalam kalangan pelajar Malaysia.”

Satu daripada elemen sekolah itu yang menarik perhatian rombongan Malaysia diketuai Muhyiddin ialah setiap pelajar dibekalkan komputer riba terbaik untuk digunakan dalam kelas.

“Itu satu cara yang baik bermakna dari segi jangka panjang kerana tidak semestinya setiap pelajar memiliki (komputer riba) tetapi dibekalkan oleh pihak sekolah dan lepas habis pembelajaran di sekolah, dia pulangkan balik dan pelajar lain boleh gunakan.

“Kalau ada kerosakan atau hilang, ia diinsuranskan. Ini satu perkara yang baik…kita tengok macam mana (kemungkinan pelaksanaan) di Malaysia,” kata Muhyiddin.

Dalam lawatan ke sekolah yang menyamai Sekolah Berprestasi Tinggi di Malaysia itu, Timbalan Perdana Menteri diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Menyentuh inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia sendiri dalam pendidikan, beliau berkata: “Sebenarnya macam kita lihat mereka menggunakan komputer, kita sudah mulakan program kita menerusi 4G yang mana sebahagian sekolah telah dilengkapi kemudahan itu.

“Dan saya fikir dalam tempoh setahun ini semua sekolah akan lengkap disediakan dengan 4G wifi dan Internet selain alat teknologi maklumat dan komunikasi yang memang sudah kita gunakan, akan diperluaskan,” jelas Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh mengenai satu daripada teras sekolah itu berhubung agenda mengantarabangsakan iaitu pelajar diberikan peluang untuk belajar lebih banyak mengenai negara-negara lain.

Dalam konteks itu, beliau membayangkan kemungkinan satu atau dua buah sekolah di Malaysia menjalin hubungan dengan Daphne High School menerusi penggunaan teknologi.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata masih tiada keputusan dibuat mengenai penggunaan telefon bimbit di sekolah Malaysia.

Muhyiddin dan rombongan beliau turut dibawa melawat sekolah itu dan berpeluang melawat beberapa kelas yang sedang dalam sesi pembelajaran, sambil diberikan taklimat oleh pentadbir sekolah, mengadakan sesi soal jawab dengan pelajar dan kemudiannya menikmati hidangan tempatan.

Muhyiddin dan pengetua sekolah Dr Meredith Foster turut saling bertukar cenderamata pada akhir lawatan itu.

Beliau berlepas dari Alabama sejurus selepas menghadiri satu lagi majlis dianjurkan sempena lawatan singkat beliau ke negeri ini. – BERNAMA

Guru ejen transformasi – Metro


Guru ejen transformasi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Warga pendidik perlu memastikan sekolah menjadi tempat untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, sebagaimana dihasratkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata, visi dibawa kementerian, ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ sepatutnya memberi peringatan jelas kepada golongan pendidik bahawa sekolah memegang peranan besar dalam menggabungkan maklumat dan kepakaran untuk membentuk generasi berkualiti pada masa depan.
“Dalam hal ini, guru memegang peranan penting bukan saja sebagai pendidik malah turut menjadi ejen transformasi yang bertanggungjawab berinteraksi secara langsung dengan murid atau pelajar.

 

“Ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru 2012 yang meletakkan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Lembaga Peperiksaan di sini, semalam.
Menurut Abd Ghafar, keilmuan, kesungguhan dan kesabaran guru memberikan bimbingan serta didikan adalah ramuan yang perlu ada dalam diri seorang guru.
“Semua kriteria berkenaan penting dalam memastikan kejayaan anak didik mereka dan sebab itu, tahun ini kita mengadakan Anugerah Khas untuk diberikan kepada seorang guru yang berusaha gigih melaksanakan tuntutan serta tanggungjawab kerjayanya sebagai pendidik.

 

 

“Guru yang menerima anugerah ini merancang pelbagai program untuk meningkatkan penguasaan murid dalam pembelajaran serta melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) hingga berjaya meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran diajar “Paling penting, guru berkenaan bukan saja gigih dan sedia berkorban, malah turut berjaya membudayakan konsep guru penyayang di kalangan pelajar,” katanya.
Sekiranya tahun lalu mengutamakan penghargaan kepada murid cemerlang, kali ini beliau berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melakukan sedikit kelainan dengan memberi anugerah kepada sekolah yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam SPM 2011.

 

“Kita harap inisiatif ini dapat menyuntik semangat semua warga sekolah erutama kepimpinan dan tenaga pengajarnya untuk bekerja lebih keras dalam satu pasukan demi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.

Anugerah Kecermerlangan Sekolah SPM diwujudkan – Bernama


Anugerah Kecermerlangan Sekolah SPM diwujudkan

17 Mei 2012

KUALA LUMPUR – Bermula tahun ini, Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan Anugerah Kecemerlangan Sekolah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sekolah di seluruh negara yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu dengan menggunakan indeks Gred Purata Sekolah (GPS).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata GPS menggambarkan pencapaian keseluruhan sekolah berkenaan dalam sesuatu peperiksaan apabila pencapaian semua calon diambil kira dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Kecemerlangan itu juga dibuktikan oleh keupayaan sekolah untuk melahirkan murid cemerlang yang mendapat semua Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah dalam SPM 2011 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Sufa’at Tumin.

Abd Ghafar berkata pihak kementerian melakukan sedikit kelainan pada tahun ini di mana sebelum ini hanya memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Inisiatif ini diharap dapat menyuntik semangat semua warga sekolah terutamanya kepemimpinan sekolah dan tenaga pengajarnya untuk bekerja keras dalam satu pasukan bagi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.

Abd Ghafar berkata Anugerah Kecemerlangan Sekolah SPM 2011 dibahagikan kepada tiga kategori: kategori pertama iaitu sekolah yang mencapai GPS kurang daripada 1.5; kategori kedua iaitu sekolah yang menghasilkan sekurang-kurangnya tiga peratus calon yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran SPM; dan kategori ketiga iaitu sekolah yang berjaya menunjukkan peningkatan GPS sekurang-kurangnya 10 peratus daripada GPS tahun lepas.

“Sebanyak 14 buah sekolah di seluruh negara yang layak menerima anugerah kategori pertama; 16 sekolah untuk kategori kedua manakala 18 buah sekolah dipilih untuk kategori ketiga,” katanya.

Selain itu, katanya, Anugerah Khas Kecemerlangan Peperiksaan SPM juga diwujudkan pada tahun ini bagi memberi penghargaan kepada guru yang berusaha gigih terhadap kejayaan anak muridnya.

Anugerah tersebut disandang oleh Sharifah Afidah Syed Hamid, guru mata pelajaran Sejarah dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu yang mendidik seramai 119 pelajar dengan 91 daripada mereka mendapat A+ dalam mata pelajaran Sejarah.

Ketika ditemui, Sharifah yang berpengalaman mengajar mata pelajaran sejarah selama 20 tahun, berkata bahan pengajaran dan pembelajaran penting bagi seseorang guru menarik minat pelajar mempelajari sesuatu subjek berkenaan di sekolah.

“Sejarah dipandang sebagai mata pelajaran yang membosankan bagi sesetengah pelajar, dan saya tidak menafikan kesukaran untuk mengekalkan prestasi cemerlang pelajar memang ada, tetapi jika kita menaruh sepenuh perhatian dalam menggunakan alat-alat pengajaran dengan baik, nescaya dapat membantu untuk menarik minat mereka untuk mempelajarinya,” katanya. – Bernama

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH SPM 2011


MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH SPM 2011

MAJLIS ANUGERAH
KECEMERLANGAN SEKOLAH SPM 2011
  Tarikh: 17 Mei 2012
Masa: 11.00 pagi
Tempat : Dewan Besar,
Aras 2, Lembaga Peperiksaan
Jalan Duta, Kuala Lumpur

Majlis akan disempurnakan oleh:
Y.Bhg. Dato’ Sri Abd Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT – Bernama


Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT

03/02/2012 12:51pm

PUTRAJAYA 3 Feb. – Lima sekolah dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Terengganu, dua dari Pulau Pinang, serta masing-masing satu dari Pahang dan Negeri Sembilan, berada dalam kohort ketiga yang mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hari ini, menjadikan jumlahnya kini 66 sekolah.

Semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan tampil menerima watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas di Auditorium Parcel E di sini, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.

“Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing. – BERNAMA

15 sekolah lagi diberi taraf kluster kecemerlangan – Bernama


15 sekolah lagi diberi taraf kluster kecemerlangan

2012/01/30

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata pemberian itu adalah untuk fasa keenam selepas 167 sekolah menerima pengiktirafan sama pada fasa kelima sebelum ini.

“Semua sekolah yang sudah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu, di sini hari ini.

Tujuh sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Dungun, Terengganu; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang; serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.

Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

Beliau berkata, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

“SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara,” katanya. – BERNAMA