Senyuman ceria anak yatim – Sinar Harian


Senyuman ceria anak yatim
FARAH SHAZWANI ALI
5 Ogos 2012

Warga kerja Sinar Harian Terengganu bersama 20 anak yatim yang dijemput di balai raya Wakaf Mempelam sempena proram Kasih Sinar Ramadan. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kema
KUALA TERENGGANU – Setelah hampir dua minggu menunaikan ibadah puasa, kebanyakan umat Islam sudah pastinya sibuk membuat persiapan awal bagi menyambut hari Lebaran.

Namun bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, pastinya persiapan yang dibuat tidak ‘semeriah’ orang lain yang jauh lebih berkemampuan.

Menyedari hakikat itu, Sinar Harian mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Kasih Sinar Ramadan’ dan telah meraikan 20 anak yatim dan kurang berkemampuan dari Kampung Wakaf Mempelam.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Mempelam yang diterajui Pengerusinya, Husin Mohd Noor yang memberikan komitmen tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan majlis ini.

Sempena program ‘Kasih Sinar Ramadan’ ini, konvoi Sinar Harian yang diketuai Editor Sinar Harian Edisi Terengganu, Wan Normi Hasan dan Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu, Rahayu Mustafa telah pergi ke beberapa lokasi bagi meraikan kanak-kanak dan remaja terpilih.

Sinar Harian cukup bertuah kerana mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu yang sanggup turun padang dan membeli pakaian raya untuk kanak-kanak dan remaja yang terpilih.

Lebih mengharukan, kakitangan Mydin Mall yang tidak menang tangan dengan memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan kelancaran majlis ini.

Selain itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah juga bermurah hati menyumbangkan duit raya.

Tidak ketinggalan, kedai kasut terkenal di Terengganu iaitu Kasut You turut menyumbang baucar sebanyak RM50 kepada semua kanak-kanak dan remaja yang diraikan, yang disampaikan Eksekutif Pemasaran Kasut You cawangan Terengganu, Nicky Mak.

Lebih bermakna, restoran yang tersohor dengan makanan laut dan ikan tawar segar iaitu T’Kafe D’Muara Live Seafood di Losong turut menyumbang dengan menaja majlis berbuka puasa.

Melihatkan keceriaan yang terpancar pada wajah kanak-kanak dan remaja yang diraikan, pastinya ia cukup menggembirakan kami selaku penganjur dan juga penaja-penaja program ini.
Janji kami, ikatan yang terjalin ini tidak akan terhenti setakat ini!

Pengawal Keselamatan Didakwa Dera Anak Saudara – Bernama


Pengawal Keselamatan Didakwa Dera Anak Saudara
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mendera anak saudara lelakinya yang berumur tujuh tahun dengan membaling sebuah periuk ke arahnya.

G. Devarajan, 44, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap K. Pavitran di bahagian dapur rumahnya beralamat di no 10 J11, Rumah Panjang Awam, Jinjang Utara, Jinjang di sini, antara 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, pada 19 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak tinggal bersama mangsa dan mengganggunya.

Devarajan diwakili peguam S. Narasimhan memohon jaminan tersebut dikurangkan memandangkan anak perempuan tertuduh yang hadir sebagai penjamin hanya bekerja biasa di sebuah kedai kasut.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA