Pujuk pelajar masuk sekolah
Oleh Hamid Karim
Shah Alam: Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning (SMKK) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melancarkan Ops Lepak bagi mengatasi masalah yang semakin serius babitkan pelajar sekolah berkenaan.
Yang DiPertua PIBG sekolah itu, Kuan Chee Keong berkata, ia inisiatif ibu bapa membantu guru mengatasi masalah terbabit kerana bimbang gejala negatif itu akan menjadi bertambah parah jika tidak dibendung, apatah lagi ia bukan isu yang boleh diatasi sekelip mata jika tidak mendapat kerjasama semua pihak.
Katanya, sebagai permulaan, satu jawatankuasa dianggotai tujuh guru dibentuk akan menggunakan kaedah pujukan dan nasihat bagi memastikan pelajar tidak membuang masa di restoran atau kedai makan di luar sekolah walaupun waktu persekolahan sudah bermula.
“Menerusi kaedah ini, masalah pelajar yang sering melepak di beberapa restoran berdekatan sekolah dan lewat memasuki kelas, sama ada sesi pagi atau petang akan dipantau guru tertentu menerusi kaedah lembut dan berhemah.
“Idea ini dicetuskan bagi memastikan masalah lepak dan lewat masuk ke kelas dalam kalangan pelajar dapat ditangani. Kita dapati banyak pelajar masih lepak di restoran selepas waktu persekolahan yang bermula pada jam 7.25 pagi,” katanya.
Chee Keong berkata, sejak dilancarkan sebulan lalu, masalah terbabit semakin dapat diatasi dan yakin ia akan memberi impak positif. “Bagi memastikan Ops Lepak mencapai matlamatnya, PIBG akan meminta kerjasama pengusaha restoran membunyikan loceng yang kami bekalkan pada jam 7.15 pagi dan mengingatkan pelajar yang masih makan atau minum supaya segera memasuki kelas masing-masing. “Pada masa sama kami turut meminta kerjasama pengusaha restoran menampal poster Ops Lepak di premis masing-masing sebagai tanggungjawab sosial mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14