Kegembiraan bertukar cemas – Sinar Harian


Kegembiraan bertukar cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Kegembiraan bertukar cemas
Orang ramai melihat pokok tua yang tumbang dan melintang jalan berhampiran SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis, pagi semalam.

KUALA LIPIS – Kegembiraan pengunjung yang memeriahkan Majlis Perasmian Sekolah Angkat Pintar Telekom Malaysia di SMK Orang Kaya Haji, di sini bertukar cemas apabila sebatang pokok tua tumbang dan melintang jalan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengunjung, Azam Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang melawat ruang pameran pada majlis itu sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari arah jalan raya.

“Apabila terdengar bunyi bising, saya bersama pengunjung lain bergegas ke tempat kejadian dan lihat sebatang pokok tua tumbang dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Mujur tiada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norhayati Mahmud, 35, berkata, pihak berkaitan digesa tebang pokok tua yang ada di sekitar bandar Lipis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita bernasib baik kerana tiada pengunjung yang cedera dan pokok tumbang itu tidak menimpa kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran. Kalau tidak, sudah tentu pemilik kenderaan berkenaan terpaksa tanggung rugi.

“Kita harap pihak berkaitan dapat tebang pokok tua terutama di laluan utama yang kerap dilalui pengguna jalan raya. Kita tak nak nanti ada yang maut atau cedera kerana dihempap pokok,” katanya.