Kegiatan 2 kanak-kanak mencuri di rumah-rumah terbongkar – Bernama


Kegiatan 2 kanak-kanak mencuri di rumah-rumah terbongkar

31/10/2011 7:55pm

 

PUTRAJAYA 31 Okt. – Kegiatan dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun yang mencuri di 26 buah rumah penduduk di sekitar Presint 8 di sini terbongkar apabila mereka sendiri memberitahu rakan-rakan mengenai kegiatan itu.

Ketua Polis Putrajaya, Supt Abdul Razak Abd Majid berkata, seorang rakan mereka terkejut apabila diberitahu barang-barang rumahnya sendiri juga telah dicuri.

Kanak-kanak itu memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci yang ditinggalkan di luar rumah.

“Kedua-dua kanak-kanak lelaki tersebut bukan sahaja memberitahu malah menunjukkan barang-barang yang mereka telah curi. Berang dengan keadaan itu seorang rakan sekolah mereka memberitahu ayahnya.

“Terkejut mendengar perkara tersebut, ayah berkenaan segera membuat laporan kepada pihak polis dan kedua-dua budak itu ditangkap secara berasingan pada 5.40 petang dan 6.30 petang di rumah masing-masing pada 28 Oktober lalu,” kata Abdul Razak kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Abdul Razak berkata, setelah disoal siasat pihak polis, kedua-dua mereka mengakui telah menjalankan kegiatan mencuri itu sejak enam bulan lalu.

Beliau berkata, dua kanak-kanak itu melakukan perbuatan mencuri dengan mengambil kunci yang diletakkan di luar rumah, biasanya di dalam kasut, apabila tuan rumah keluar bekerja pada waktu pagi. – Bernama