Syarat jadi guru: Perlu aktif ko-kurikulum – Bernama


Syarat jadi guru: Perlu aktif ko-kurikulum

11 Julai 2013

KUALA LUMPUR – Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar selain syarat baru  kelulusan akademik bermula tahun ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian kepada kegiatan kokurikulum selain kecemerlangan akademik.

“Kita tidak mahu melihat dari segi intelek sahaja, kokurikulum juga satu aspek yang perlu diberi penekanan, guru-guru ini juga sekiranya mereka ditempatkan opsyen Matematik, maka Matematiknya juga mesti A di dalam SPM,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Bagaimanapun, kelonggaran minimum 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, syarat asas ialah mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Mohamed Sabri berkata kementerian juga perlu menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.

“Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada, pulau pun ada, ia tidak sama dengan doktor, sebab itu ada elaun pedalaman, mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan juga,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar para pelajar yang mendapat 7A atau 5A diberi surat tawaran sama ada bersetuju atau tidak untuk menjadi guru tanpa perlu memohon.

“Saya cadangkan kepada kementerian, mereka ini tidak perlu memohon, kementerian jelaskan sama ada mereka ingin menjadi guru atau tidak dan ceritakan manfaat yang bakal dinikmati, kalau mereka setuju boleh ditemu duga, swasta banyak yang buat macam ini,” katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata langkah itu sangat dialu-alukan kerana di negara maju, guru yang diperlukan adalah dari kalangan yang terbaik dari segi kelulusan, kelayakan akademik, keperibadian dan tingkah laku.

“Ini kerana mereka nak mengajar, sudah tentu harus mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak, syarat minimum 5A bagi Sabah dan Sarawak pula adalah tepat kerana kita perlukan ramai guru yang datang dari sana,” katanya.

Bekas ketua pengarah pelajaran itu berkata sudah sampai masanya untuk meningkatkan kelayakan kepada lepasan SPM yang ingin menjadi guru kerana ia sekaligus dapat meningkatkan taraf pendidikan di negara ini. – Bernama

YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini – Bernama


YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini

22 Oktober 2012

BANTING – Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berpeluang memohon program biasiswa Peneraju Tunas Geliga (Tunas Geliga) untuk ditempatkan di sekolah berprestasi tinggi yang dilancarkan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) hari ini.

Ketua Eksekutifnya Raja Azura Raja Mahayuddin berkata kriteria permohonan terbuka kepada calon-calon UPSR bumiputera yang mendapat keputusan ‘sederhana baik’ iaitu tiga A dan dua B ke atas, dan daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Pemohon juga perlu aktif dalam sukan atau kegiatan kokurikulum, dan mempunyai bakat dalam kepimpinan.

“Selain latar belakang daripada keluarga yang mencabar seperti ibu tunggal, anak-anak yatim dan daripada etnik minoriti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif terbaharu yayasan itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang di sini.

Permohonan program biasiswa dibuka pada 29 Oktober ini dan pemohon boleh menggunakan keputusan percubaan sementara menunggu keputusan sebenar UPSR menerusi laman webnya http://www.peneraju.edu.my. Tarikh tutup dua minggu selepas keputusan UPSR dikeluarkan.

Beliau berkata RM20 juta diperuntukkan bagi biasiswa Tunas Geliga untuk menampung kos yuran pembelajaran termasuk asrama serta wang saku.

“Di bawah program ini para pelajar yang terpilih akan digilap menjadi pelajar cemerlang dengan sasaran sekurang-kurangnya mendapat sembilan A apabila mereka menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.

Para pelajar terpilih akan ditempatkan di 10 sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara untuk sesi persekolahan 2013, dan akan menyertai program peralihan selama sebulan sebelum dihantar ke sekolah-sekolah berkenaan, katanya.

Yayasan itu yang ditubuhkan pada November tahun lepas setakat ini telah mempunyai dana hampir RM150 juta hasil sumbangan warga korporat dan individu bagi membiayai empat projek pembiayaan akademik dan latihan kemahiran, iaitu Peneraju Tunas Potensi, Peneraju Profesional, Peneraju Skil dan Tunas Geliga, katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata beliau yakin program Tunas Geliga akan berjaya mewujudkan pelajar yang berpotensi untuk menjadi tenaga kerja mahir dan berkualiti tinggi negara.

Ini adalah berdasarkan kepada perkembangan yang memberangsangkan dalam kalangan 210 peserta program peneraju Tunas Potensi daripada lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang kini sedang mengikuti program A-Levels dan ijazah sarjana muda, katanya. – Bernama