Guru AS jatuh cinta dengan Terengganu – Utusan


Guru AS jatuh cinta dengan Terengganu

Ahmad Razif Abd. Rahman (tiga dari kanan) bermesra dengan guru Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) sempena pelancaran program dan majlis serahan ETA di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 31 Jan. – Tahun lalu, Amanda Ussak, 24, berkunjung buat kali pertama ke negara ini untuk melawat rakan senegara dan ternyata lawatan singkat itu telah membibitkan rasa rindu kepada Malaysia sehingga dia bertekad mahu ke negara ini lagi.

Justeru, dia selalu mendapatkan maklumat berkaitan program untuk golongan pelajar yang akan membolehkannya untuk ke negara ini lagi, negara yang disifatkannya sebagai sangat unik kerana masyarakatnya hidup aman walau berbeza kaum, agama dan budaya.

Sebaik sahaja mengetahui tentang program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) yang merupakan kerjasama jaringan pendidikan antara Malaysia dengan AS, gadis dari New Jersey itu tidak menunggu lama untuk mendaftarkan diri.

Kata graduan Hubungan Industri dari George Washington University ini, paling mengujakan apabila dia dapat mendalami kehidupan masyarakat Islam, apatah lagi umat Islam merupakan majoriti di negara ini.

“Saya ingin belajar bahasa Melayu dan akan gunakan kesempatan berada di sini untuk mempelajarinya,” katanya yang turut merancang mempelajari cara menyediakan hidangan tempatan.

Dia yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun, Dungun bertekad untuk membantu pihak sekolah merancakkan lagi program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Amanda ialah salah seorang daripada 20 ETA AS yang menyertai program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah premier, sekolah elit dan Imtiaz selama 10 bulan.

Pelancaran program dan majlis serahan ETA berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd.Rahman di sini hari ini.

Seorang lagi ETA, Elaine Glenny, 23, berkata, dia telah mengumpul maklumat tentang sistem pendidikan Malaysia supaya tugasnya nanti berjalan lancar, sekali gus membantu mencapai matlamat program berkenaan.

“Terpilih untuk program ini ialah sesuatu yang mengujakan kerana di universiti kami sangat ramai yang mahu menyertainya dan saya amat bertuah,” kata graduan Biologi dari Cornel University.

Berpengalaman sebagai tutor, dia yang ditempatkan di SMK Tengku Ibrahim, Setiu berjanji akan memberikan yang terbaik, di samping mempelajari lebih banyak perkara tentang negeri ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_21/Guru-AS-jatuh-cinta-dengan-Terengganu#ixzz2JeR7Fdx0
© Utusan Melayu (M) Bhd