Kerajaan rugi RM3.2 juta akibat banjir landa sekolah pantai timur – Bernama


Kerajaan rugi RM3.2 juta akibat banjir landa sekolah pantai timur

3 Januari 2013
Dr Mohd Puad Zarkashi
$entry.content.caption.value

HULU TERENGGANU – Kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM2.63 juta akibat bencana banjir yang melanda beberapa sekolah di pantai timur, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata Terengganu mencatat kerugian tertinggi iaitu RM1.9 juta membabitkan 39 sekolah, diikuti Kelantan (RM424,900 dengan 34 sekolah) dan Pahang (RM309,650 membabitkan sebuah sekolah).

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di sini, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2013 hari ini. Kelewatan itu disebabkan sekolah berkenaan terbabit banjir.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata kerugian disebabkan kerosakan peralatan sekolah  seperti kerusi, meja dan komputer yang sebahagiannya ditenggelami air walaupun sudah diletak di tempat tinggi.

“Selain itu, kerugian juga disebabkan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jeneris di sini dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) di Kuantan, Pahang yang berlaku pada 31 Disember lalu.

“Di SMK Kuala Jeneris kita melihat aliran air masih berlaku dan runtuhan itu telah menimpa bangunan asrama… walaupun penghuni belum masuk ke asrama, kita dah buat arahan kepada pihak konsultan untuk ambil tindakan untuk membaiki keadaan cerun tersebut,” katanya.

Bagi SBPI Kuantan itu, Jabatan Kerja Raya mengesahkan tiga blok yang menempatkan asrama puteri, dewan makan dan rumah pengetua sebagai tidak selamat, katanya.

Sehubungan itu, kementerian menangguhkan pendaftaran pelajar tingkatan dua, tiga dan empat kepada 6 Jan, manakala pelajar tingkatan satu pula akan mendaftar pada 13 Januari dan pelajar tingkatan empat  akan mendaftar pada 29 Januari, katanya.

Mohd Puad berkata kementerian juga telah memutuskan untuk memindahkan 271 pelajar yang menghuni asrama puteri itu ke bangunan rumah kedai yang disewa untuk tempoh tiga bulan bagi membolehkan runtuhan di bangunan terbabit dibaiki.

“Kita jangka proses membaiki runtuhan itu akan mengambil tempoh tiga bulan jadi kita akan sewa rumah kedai sejauh 1.5 kilometer untuk sementara waktu.

“Kita juga telah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang menyediakan pengangkutan iaitu bas JPN dan sekolah lain utk mengangkut pelajar ini ke sekolah,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan kementerian dalam menangani masalah banjir yang sering berlaku di beberapa sekolah di Hulu Terengganu, Mohd Puad berkata pihaknya memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melihat beberapa aspek, terutama perparitan di kawasan berkenaan.

“Oleh kerana Hulu Terengganu ini kawasan rendah, ia membabitkan juga pihak-pihak yang lain…kita tahu bahawa kos untuk kita buat sistem saliran yang komprehensif itu melibatkan kos yang agak tinggi.

“Sebab itu dalam menghadapi banjir ini, kita ada prosedur ‘payung’ iaitu peralatan dan dokumen penting perlu diletakkan di tempat atas, namun mungkin banjir melanda ketika musim cuti sekolah, jadi perkara ini tidak dapat dielakkan dan berlaku kerosakan yang mengakibatkan kerugian,” katanya.  – Bernama

‘Anak tertimbus, tersepit sekelip mata’ – Utusan


‘Anak tertimbus, tersepit sekelip mata’

2012/03/09

TANAH MERAH: “Ketika hujan lebat terdengar dentuman kuat dan dalam sekelip mata separuh badan anak saya tertimbus serta tersepit di pintu belakang rumah,” kata Raja Azlan Raja Hussin, 45, bapa kepada Raja Mohd Irfan, 13, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di kuarters polis Jalan Belfields, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, Raja Azlan yang bekerja sebagai kakitangan awam di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, berkata ketika hujan semakin lebat beliau mendapati sedikit lumpur sudah memasuki bahagian dapur belakang rumahnya.

Berikutan itu beliau meminta anak ketiga daripada lima beradik itu membantu mengemas barangan di dapur dan mengambil pakaian di jemuran.

“Ketika itu, tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran dan benteng di belakang rumah runtuh, tapi saya sempat mengelak bagaimanapun anak saya tertimbus walaupun jarak antara kami kurang satu meter.

“Saya menarik tangan Raja Mohd Irfan daripada runtuhan yang ketika itu sudah tertimbus paras dada hingga kepala tetapi tidak berjaya kerana bahu dan kepalanya tersepit di pintu dapur,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya di Kampung Bukit Merah di sini, semalam.

Anak tertimbus – Metro


Anak tertimbus

Oleh Gaddafi Musli, Shahrul Redzuan dan Kalidevi Mogan Kumarappa
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RUNTUH...kawasan runtuhan di Jalan Belfield
RUNTUH…kawasan runtuhan di Jalan Belfield

KUALA LUMPUR: “Tolong, tolong! Anak saya tertimbus!,” jerit seorang lelaki yang panik apabila melihat anak lelakinya tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kuarters Kerani Polis, Jalan Belfield off Jalan Maharajalela di sini, malam tadi.

Akibat kejadian itu, Raja Mohd Irfan Raja Mohd Azlan, 13, yang tertimbus separuh badan termasuk bahagian kepala selama lebih 10 minit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur beberapa jam selepas dikeluarkan dari kawasan runtuhan.
Menceritakan kejadian, seorang jiran, Zaharah Hashim, 54, berkata pada mulanya dia menyangka bunyi bising yang didengari dari belakang rumah kerana dipecah masuk pencuri tetapi selepas terdengar jeritan meminta tolong, dia keluar melihat apa yang berlaku.

 

sebelum   selepas

  • FotoMUSNAH…sebahagian rumah yang terkena runtuhan
  • FotoMUSNAH…sebahagian rumah yang terkena runtuhan

“Pagar dan sebahagian atap rumah mangsa roboh ditimpa tanah, kami dengan segera membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” katanya.
Dia berkata mereka menggunakan pintu dan serpihan kayu untuk menahan tanah yang masih bergerak manakala jiran lain segera menelefon bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata anggota bomba yang berkejar ke lokasi mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup ketika dikeluarkan.

 

 

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius kira-kira jam 11.50 malam ketika menerima rawatan di HKL,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Hilang ibu, bapa, adik – Harian Metro


Hilang ibu, bapa, adik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.
SEDIH…Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.

CAMERON HIGHLANDS: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi memberi sebarang erti buat seorang remaja apabila tiga ahli keluarganya termasuk ayah, ibu dan adik bongsunya maut dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan kediamannya di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, petang kelmarin.

Sukainai Jaafar, 18, tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya apabila ibunya, Normah Gunung, 51, bapanya, Jaafar Balad, 49, dan adik bongsunya, Mohd Ikbal, 15, ditemui maut dalam sisa runtuhan rumah dan timbunan tanah dalam kejadian menyayat hati itu.
Sukainai yang ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini, semalam berkata, dia sedih dengan kejadian menimpa keluarganya.

Dia juga tidak sempat berbuka puasa dengan keluarganya sepanjang Ramadan tahun ini kerana tiada di kampung disebabkan menyambung pengajian di Institut As-Shifa di Taiping dalam kursus Sains Persekitaran.
“Saya hanya sempat sahur pada Ramadan pertama dengan semua ahli keluarga saya termasuk dengan ketiga-tiga arwah.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan terpaksa tabahkan hati menerima kehilangan mereka,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa yang maut menganut Islam sejak tiga tahun lalu dan ini sambutan Ramadan ketiga buat mereka.
“Kejadian itu bukan saja mengorbankan ayah, ibu dan adik saya malah turut mengorbankan kakak ipar saya, Yusnizan Yusof, 22.

“Dua abang saya Mohd Riduan, 30, dan Azhar, 26, mungkin akan terus menetap di kampung ini,” katanya.
Jenayah keluarga Jaafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Mohd Ali, 27, anak kepada seorang mangsa yang maut, Ali Hassan, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi semalam.
Katanya, dia difahamkan, ayahnya sedang tidur ketika kejadian.
“Kali terakhir saya bertemu ayah pada Oktober tahun lalu. Saya kini bekerja sebagai buruh estet di Kampung Puh, Bidor dan jarang bertemu ayah,” katanya.
“Ketika menemuinya Oktober lalu, ayah sempat berpesan meminta saya pulang berhari raya nanti.

Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa


Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa

08/08/2011 5:21pm

CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sini semalam berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas selepas hujan lebat tanpa henti selama satu jam.

Munjut a/p Kelet, 69, ibu kepada Jaafar Balad, 48, berkata, semasa kejadian beliau terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom di bahagian tepi rumahnya ketika tinggal berseorangan di dalam rumah itu.

“Saya bergegas keluar dan ternampak rumah Jaafar sudah tenggelam ditimbus tanah,” katanya kepada pemberita semasa menunggu giliran proses pengecaman mayat di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika tragedi itu, Jaafar bersama isterinya Norma Gunung, 51, dan anak mereka Mohd Ikbal Jaafar, 15, sedang menyiapkan juadah untuk berbuka puasa, manakala saudaranya yang lain berada di dalam rumah menunggu waktu berbuka.

Anak lelaki Jaafar iaitu Zulkarnain, 18, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata, beliau mendapat berita tentang kejadian berkenaan pada 5 petang semalam.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada saudara di kampung mengatakan rumah ditimbus tanah runtuh,” katanya, yang merupakan penuntut tahun satu jurusan Diploma Sains Kesihatan di Institut As-Shifa, Taiping. – Bernama