Kejahilan dorong sesetengah bantah pemansuhan PPSMI – Bernama


Kejahilan dorong sesetengah bantah pemansuhan PPSMI

02/11/2011 8:30pm

 

MELAKA 2 Nov. – Tindakan sesetengah golongan Melayu yang masih membantah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seolah-olah tidak menggambarkan semangat jati diri sebagai bangsa Melayu.

Tokoh bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, tindakan golongan itu didorong sifat kejahilan kerana tidak mengetahui sejarah kegemilangan bahasa Melayu sehingga mengagungkan bahasa lain.

“Saya selalu merungut dan sedih apabila orang Melayu sendiri menolak bahasa kebangsaan dan memilih untuk memuja bahasa Inggeris seperti yang berlaku sekarang iaitu berkenaan dasar PPSMI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini. – Bernama