Pelajar 9A+ hadiah kejayaan untuk ibu – Berita Harian


Pelajar 9A+ hadiah kejayaan untuk ibu

2013/03/21 – 14:30:59 PMCetakEmel Kawan
CYBERJAYA: “Saya hadiahkan keputusan cemerlang ini istimewa untuk ibu saya.” Itulah kata-kata pertama yang keluar daripada calon SPM, Asma Amirah Baharudin yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+.

Beliau yang berasal dari Nilai itu berkata, kejayaan yang diraihnya adalah berkat doa serta dorongan berterusan dari ibunya yang tidak pernah serik untuk membesarkan beliau dalam keluarga yang serba kekurangan.

Ibunya, Zuraidah Bahri, berkata walaupun bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat swasta, masa dan wang ringgit yang diperolehi banyak dihabiskan untuk masa depan anak-anak.

“Dengan anak jangan sesekali berkira. Biar kita kurang serba serbi tetapi ilmu untuk anak-anak itulah yang paling penting,” katanya ketika ditemui BH Online pada Majlis Pengumuman, Penyampaian Keputusan dan Tinjauan SPM 2012 di Sekolah Seri Puteri di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, calon cemerlang SPM, Fathin Kamaruzzaman, 18, berkata untuk memperoleh keputusan cemerlang, jangan sesekali mengulang kaji pada saat akhir dan melawan kata-kata guru.

“Selain itu, kita juga jangan terputus hubungan dengan Allah SWT kerana dengan izinNya, apa yang kita hajati, InsyaAllah akan dimakbulkan,” katanya yang turut memperoleh 9A+.

LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris – Berita Harian


LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris

2012/11/24 – 08:07:37 AMCetakEmel Kawan
Putrajaya: Program peningkatan pencapaian murid dalam penguasaan literasi dan numerasi (LINUS) membabitkan penguasaan menulis serta membaca dalam bahasa Melayu akan diperluaskan kepada bahasa Inggeris, yang dikenali sebagai LINUS 2.0.

Ini berikutan pencapaian memberangsangkan program LINUS sejak diperkenalkan pada 2010 dengan 99.84 peratus pelajar Tahun Tiga yang mengikuti program itu sejak 2010 berjaya menguasai literasi (menulis dan membaca) manakala 99.92 peratus pelajar berjaya menguasai asas numerasi (mengira).

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Shamsuri Sujak, berkata daripada jumlah itu hanya 0.15 peratus atau 692 adalah pelajar yang perlu mengikuti pemulihan literasi manakala 0.08 peratus atau 346 lagi memerlukan pemulihan numerasi.

Mulai sesi 2013 

Bagaimanapun, katanya, jumlah terbabit dalam pemulihan itu adalah mereka yang dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas merangkumi pelajar kurang upaya, menghadapi kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan pendengaran.

“Berdasarkan kejayaan ini, program LINUS akan diteruskan dalam bahasa Inggeris bermula sesi persekolahan 2013 bagi memastikan penguasaan murid dalam literasi bahasa Inggeris.

“Melalui program ini, murid yang menghadapi masalah literasi bahasa Inggeris akan menerima bantuan dan sokongan tambahan melalui LINUS 2.0 bagi membolehkan mereka setara dengan rakan lain dalam arus perdana,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.
Shamsuri menjelaskan, saringan asas akan dilaksana di kalangan pelajar Tahun Satu pada Jun 2013 bagi menentukan tahap literasi murid dalam bahasa Inggeris supaya murid yang memerlukan perhatian khusus dikenal pasti.

Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A – Bernama


Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A

19 November 2012

PEKAN – Siapa sangka seorang murid yang mengidap sindrom autisme mampu melakar kejayaan dengan memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Murid istimewa itu, Muhammad Fikri Sabri, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, dekat sini menjadikan kata-kata semangat ibu bapnya sebagai azimat untuknya mengejar kejayaan.

“Mak saya kata, kalau pergi sekolah, ada telinga dengar, ada mata pandang ada mulut diam. Ini rahsia besar tau. Tumpu perhatian masa guru tengah mengajar. Itu perkara biasa bagi murid. Lepas tu sentiasa ulang kaji,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa Muhammad Fikri, Sabri Abdullah, 50, pula berkata kejayaan anak bongsu daripada empat beradik itu adalah hadiah terbesar dalam hidup mereka sekeluarga.

Katanya kejayaan yang diraih anaknya hari ini membuktikan kanak-kanak autisme juga boleh berjaya walaupun dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

“Memang dari dulu saya dah cakap kat dia, kalau minat belajar saya nak dia naikkan nama sekolah ini. Alhamdulillah semua cita-cita dan doa saya Allah kabulkan,” katanya.

Katanya selain tunjuk ajar daripada guru, beliau sendiri turut menerapkan elemen keagamaan dalam diri anaknya itu dengan mengajarnya berzikir sejak kecil lagi.

Seorang lagi murid cemerlang, Nik Fahimah Nik Mohamad dari SK Permatang Badak dekat Kuantan yang kematian ayahnya sejak kecil membuktikan kesusahan hidup yang dialami keluarganya tidak menghalang dia mendapat keputusan 5A.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata tanpa usaha, pengorbanan dan dorongan daripada anggota keluarga termasuk ibu tersayang kejayaan yang dikecapi hari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

“Selain memberi tumpuan di dalam kelas, saya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti kelas tambahan di sekolah dan menjelang UPSR saya juga tidak lagi menonton televisyen agar lebih fokus mengulang kaji pelajaran di rumah,” katanya menceritakan resepi kejayaannya.

Dalam pada itu, ibunya Che Som Hasan, 43, yang bekerja sebagai tukang masak nasi Arab bersyukur dengan kejayaan anak bongsunya itu kerana berjaya mengikut jejak langkah tiga lagi adik-beradiknya yang turut mendapat 5A dalam UPSR sebelum ini.

“Alhamdulillah..Allah telah memakbulkan doa saya.. ketika saya menunaikan umrah baru-baru ini saya turut mendoakan agar Nik Fahimah berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan saya harap dengan kejayaan ini cita-citanya mahu menjadi seorang doktor kelak akan jadi kenyataan,” katanya dengan nada gembira. – Bernama