Kejora Cinta Di Langit, suka duka seorang pendidik – Sinar Harian


Kejora Cinta Di Langit, suka duka seorang pendidik
MARINA SAHABUDIN
3 Jun 2012

Novelis Anis Ayuni
Karya Anis Ayuni, Kejora Cinta Di Langit.
Novelis kelahiran Bentong, Pahang ini sudah cukup sinonim dengan dunia penulisan novel tempatan. Bahkan, karya-karya yang dihasilkannya sering kali mendapat perhatian penerbit dan pengarah untuk diadaptasi ke layar perak.

Terkenal menerusi novel yang berjudul Gemersik Kalbu, Anis Ayuni atau nama sebenarnya, Latifah Mohd Yusof ini mula menjinakkan diri dalam bidang penulisan sejak menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru.

Ketika itu, wanita ini baru sahaja berusia 26 tahun. Bagaimanapun, bakatnya dalam bidang ini dipendam begitu sahaja sehinggalah Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) diperkenalkan.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam bidang ini, Anis mengakui sebagai seorang Penolong Kanan ( Tadbir dan Akademik), kerjayanya itu banyak membantu dirinya bergiat dalam bidang penulisan dengan lebih serius.

“Memang benar, ketika meneruskan pengajian di maktab, saya sudah mula meminati dunia penulisan. Bagaimanapun, ketika itu saya lebih suka fokus kepada pembelajaran terlebih dahulu.

“Sebab itulah, apabila Komsas diperkenalkan, saya kembali aktif. Ketika bersama Komsas, saya banyak mengkaji novel, menulis cerpen dan puisi bersama pelajar,” katanya yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling.

Menurut Anis, kerana minat yang semakin mendalam, dia akhirnya berjaya menghasilkan sebuah manuskrip novel pada tahun 2001.

“Atas nasihat dan dorongan seorang rakan, saya bersetuju menghantar manuskrip itu kepada penerbit Alaf 21. Jujur saya katanya, saya tidak pernah terfikir hasil tulisan itu akan menjadi sebuah novel,” katanya yang mempertaruhkan novel pertamanya, Suara Hati pada tahun 2002.

Selain Suara Hati, antara novel hasil penulisannya adalah Yang Terindah (2003), Manisnya Cinta (2004), Gemersik Kalbu (2005), Kau Kekasihku (2006), Bayangan Rindu (2007), Seribu Kali Sayang (2008), Sungguh Aku Cinta (2009), Saat Kau Kata Cinta (2010) dan Cinta yang Kurasa (2011).

Pentingkan kualiti

Bercerita mengenai buah tangan terbarunya, Anis yang telah menghasilkan 11 novel termasuk novel terbaru berjudul Kejora Di Langit Cinta, berkata, dia sangat mementingkan kualiti apabila menghasilkan sesebuah karya itu.

“Saya tidak kisah mengambil masa yang panjang untuk menulis sebuah novel. Apa yang pasti, pembaca berpuas hati dengan penulisan saya.

“Tiada apa yang lebih penting daripada mendapat respons positif daripada mereka. Saya yakin, karya yang baik membantu penulis itu untuk menghasilkan lebih banyak karya lagi,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Kejora Di Langit Cinta, Anis menjelaskan, novel terbarunya itu agak istimewa kerana ia berlatar belakangkan kisah pahit manis dan suka duka kehidupan seorang pendidik.

“Menerusi novel ini, pembaca dapat menyelami kehidupan seorang pendidik itu sejak mereka di alam praktikal lagi.

“Bahkan, saya turut berkongsi pengalaman sebagai seorang pendidik yang telah berkecimpung selama 22 tahun dalam dunia pendidikan. Banyak kisah yang boleh dijadikan panduan dan teladan terutama kepada bakal-bakal pendidik dapat diserap menerusi novel ini.

“Misalnya, mereka harus bijak memanfaatkan dan menyesuaikan ilmu yang diperoleh ketika di dalam bilik kuliah dengan suasana sebenar di sekolah,” kata Anis yang mendapat idea menghasilkan novel tersebut apabila dia sering kali mendengar kisah pertemuan dua insan di Kota Suci Makkah dan Madinah.

Selain itu, bagi watak utamanya, Khalish, Anis cuba memberi gambaran kepada pembaca bahawa lelaki harus menjadi pelindung dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin sebagai ketua keluarga.

“Hampir semua novel saya, jarang sekali saya lukis perwatakan lelaki kasar, apatah lagi mendera kaum wanita kerana saya tidak suka perkara negatif ini ditonjolkan meskipun hakikatnya banyak kes penderaan mental dan fi zikal berlaku terhadap wanita,” katanya.

Jelas Anis, bagi menyiapkan novel itu, dia turut mengambil masa selama enam bulan memandangkan proses menghasilkan manuskrip agak lambat. “Saya membuat semakan teliti untuk meminimumkan kesalahan ejaan.

Di samping itu, saya suka memilih dan menyusun perkataan-perkataan untuk menghasilkan bunyi yang berirama dan bernada melankolik. “Bagi saya, olahan dan gaya bahasa yang menarik mampu mengulit hati dan perasaan pembaca,” katanya yang terpaksa menempuh cabaran untuk menyiapkan novel itu dalam masa singkat atas permintaan Editor.

Pada masa sama, dia juga terpaksa berhadapan dengan ruang masa yang terhad kerana perlu memberikan komitmen terhadap kerjanya tetapnya. “Saya perlu bijak menyusun masa agar saya dapat menyiapkannya. Pada masa sama, saya juga perlu menjalankan tanggungjawab kepada keluarga,”katanya.

Menariknya, novel ini mempunyai nilai sentimental kepada diri penulis kerana dia turut mengabadikan nama rakannya yang menunaikan ibadah haji dan umrah bersamanya tahun lalu.

Punya makna tersendiri

Ditanya berkenaan judulnya, menurut Anis, berdasarkan kamus dewan, kejora bererti bintang atau planet yang terbit pada waktu dinihari.

“Ada pendapat mengatakan dalam banyak bintang, kejora merupakan bintang paling terang dan cemerlang kerana cahayanya sangat indah dan bersinar-sinar.

“Bintang kejora merupakan unsur alam yang digunakan untuk menjelaskan dan memberi makna lain tentang cinta. Selain itu, ia juga menguatkan lagi suasana indah dan penuh kasih sayang antara watak utamanya Khalish dan Nur Faradila,” jelasnya yang mendapat watak tersebut dari ilham dan bayangannya sendiri.

Kejora Di Langit Cinta, mula diterbitkan oleh Alaf 21, Grup Buku Kumpulan Karangkraf sejak 15 Mei lalu. Dijual di pasaran pada harga RM23.00, novel ini turut menyelitkan genre cinta, kasih sayang dan kekeluargaan.

Profil Anis Ayuni

Nama: Latifah Mohd Yusof
Nama Pena: Anis Ayuni
Umur: 49 tahun
Tarikh lahir: 1 April 1963
Tempat lahir: Bentong, Pahang
Suami: Mohd Zamberi Hassan
Anak: Daniel Fahmi dan Luqman Hakim
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Kerjaya tetap: Penolong Kanan ( Tadbir dan Akademik), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling.