4 hari ditawan kekasih jahanam – Metro


4 hari ditawan kekasih jahanam

 1378  52 Google +3  1  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mereka baru kenal, tetapi kerana terlalu mengikut rasa hati, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akhirnya melalui hari gelap dalam hidupnya apabila menjadi hamba seks kekasih dan dua lagi lelaki ketika dikurung selama empat hari.

Dalam kejadian 28 Mei lalu, remaja berkenaan diajak teman lelaki baru dikenali berusia 20-an itu keluar bersiar-siar di ibu negara. Lelaki itu beriya-iya memujuk teman wanitanya itu bersiar-siar dan berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah di Cheras selepas itu.
Bagaimanapun, menurut sumber, selepas menjemput mangsa pada jam 5 petang, lelaki terbabit mula mencari helah kononnya mahu berehat dan membawa remaja itu ke rumah sewanya di Pantai Dalam, di sini. Katanya, mangsa tidak mengesyaki akan berlaku perkara buruk kerana dua rakan lelaki terbabit ada bersama dalam rumah berkenaan.

 

“Sebaik duduk di ruang tamu, mangsa diajak lelaki itu melakukan hubungan seks dalam bilik. Namun, mangsa menolak pelawaan berkenaan menyebabkan lelaki terbabit tidak puas hati lalu menarik mangsa masuk ke dalam biliknya.
“Mangsa mendakwa diperkosa lelaki itu sebelum dia dikurung dalam bilik berkenaan,” katanya yang memberitahu mangsa kini trauma dengan tragedi hitam itu.
Sumber berkata, lebih malang apabila mangsa turut diperkosa dua rakan serumah lelaki itu secara bergilir-gilir.

 

Menurutnya, tidak tahan dijadikan mangsa pemuas nafsu, mangsa berikhtiar pelbagai cara untuk lolos dan akhirnya berjaya melarikan diri selepas empat hari dikurung teman lelakinya itu.
Difahamkan, mangsa melarikan diri sebelum menaiki teksi untuk pulang ke rumahnya dalam keadaan trauma, namun takut menceritakan apa yang berlaku kepada keluarganya.

 

Sumber memberitahu, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kelmarin selepas dipujuk keluarga yang menyedari perubahan sikapnya dan dia kemudian dibawa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Remaja bakar kekasih diburu – Utusan


Remaja bakar kekasih diburu

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Polis sedang giat memburu seorang remaja lelaki yang disyaki membakar teman wanitanya, Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, sehingga menyebabkan mangsa koma di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju di sini awal pagi 13 Ogos lalu.

Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan suspek, Mohd. Amir Mohd. Anuar, 18, dari Taman Keramat di sini, tetapi masih gagal.

Siasatan awal polis mendapati suspek yang merupakan teman lelaki mangsa telah menyimbah petrol ke tubuh gadis itu sebelum membakarnya di kawasan semak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, polis sedang meningkatkan usaha memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian.

“Suspek tidak pulang ke rumah keluarganya sejak hari kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan dan perasaan cemburu menjadi puncanya.

Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah – Metro


Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

 

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

 

NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam.

 

KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.

Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.

Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.

Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.

“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.

“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.

“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya.