Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan – Bernama


Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan

7 Julai 2012
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menyarankan Kementerian Pelajaran agar program Kelab Doktor Muda dilaksanakan sebagai program pendidikan kesihatan berterusan dan secara automatik di semua sekolah rendah di negara ini.

Liow berkata langkah itu penting kerana sehingga Jun lepas, hanya 1,500 sekolah menjayakan program itu dengan penglibatan 36,000 pelajar, berbanding 2,860,340 murid sekolah rendah daripada 7,714 sekolah di seluruh negara.

“Bilangan ini hanya 19 peratus daripada jumlah sekolah rendah di seluruh negara. Ia satu bilangan yang masih kecil,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Sihat Putrajaya 2012, di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kawalan Penyakit Dr Chong Chee Kheong. Turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Muhamat Roli Hasan yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bermatlamat melahirkan murid yang mementingkan dan mengutamakan kesihatan, Kelab Doktor Muda merupakan program bagi murid sekolah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai pembimbing rakan sebaya yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya kewujudan kelab itu dilihat sebagai rasional memandangkan murid-murid kini berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan yang serius antaranya obesiti, keracunan makanan, demam denggi, penyakit kulit dan masalah kutu.

“Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Pendidikan Kesihatan akan mengambil inisiatif melatih lebih ramai guru dan anggota kesihatan agar kerkemahiran dan terlatih dalam melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kementerian pelajaran yang mewartakan Minggu Sihat Doktor Muda dari 1 hingga 7 Julai setiap tahun dalam kalendar pendidikan negara. – Bernama