Salam Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah


Salam Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (hari Khamis).

“WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH”
(Tema peringkat kebangsaan)

Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, solawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam yang dengan nikmat utusan ALLAH melalui Baginda, dapat kita nikmati nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

InsyaALLAH, di sini saya cuba ringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.  Saya petik dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.

Mudah-mudah2an bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.

Abdullah dan Aminah

  • ‘Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin ‘Abd manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, ‘Abdullah.
  • Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan.  Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
  • ‘Abd al-Muttalib telah mengutus ‘Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
  • ‘Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di.  Ketika itu, ‘Abdullah berusia 25 tahun.

Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam

  • Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah sebagai anak yatim.
  • Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
  • Peristiwa luar biasa (irhas) yang berlaku ketika dilahirkan:
    • 14 lengkungan gerbang Istana Kisra gugur
    • Api sembahan orang Majusi terpadam
    • Gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh
  • Apabila Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, dia terus ke Ka’bah lalu berdo’a dan bersyukur.  Lantas diberi namaMUHAMMAD, nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
  • Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.

Hidup Dalam Keluarga Bani Sa’ad (sehingga umur 4-5 tahun)

  • Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat, supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
  • ‘Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad untuk dipelihara oleh Bani Sa’ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa’diyyah.
  • Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam oleh Jibril.

Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)

  • Selepas peristiwa pembelahan dada itu, Halimah risau akan keselamatan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
  • Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
  • Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
  • Dalam perjalanan pulan ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
  • Anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam itu terpaksa menjadi anak yatim piatu pada umur 6 tahun.

Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)

  • Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku.  Peristiwa lama iaitu kematian anaknya Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
  • Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
  • Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
  • Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar Muhammad sallAllahu ‘alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.

Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)

  • Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
  • Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
  • Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah:
    • Hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
    • Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira.  Seetlah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.”  Bahira menasihatkan agar budak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya.  Lalu Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
    • Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar.  Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu2 mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
    • Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing.  Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah.  Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam.  Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.
    • Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut.  Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah.  Maklumat ini diperolehi dari Maysarah.  Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Khadijah ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju.  Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
    • Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
    • Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH.  Pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam mula menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar.  Dan Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia…

 

WAllahu Ta’ala A’lam.

Saya sarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci.  Mudah2an rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah2nya.

Sumber: http://muzir.wordpress.com/2010/02/18/ringkasan-kisah-muhammad-sebelum-jadi-nabi/

 

Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin – Sinar Harian


Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin

MOHD AZLIM ZAINURY
12 November 2012
Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin
Abang kepada remaja 16 tahun yang melahirkan bayi perempuan terpaksa menunggu di luar Dewan Bersalin HSNZ sejak pagi sebelum dibenarkan melawat adiknya tengah hari, semalam.

MARANG – Luluh hati seorang abang apabila adik perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan, melahirkan seorang bayi di dalam bilik di rumah keluarga mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, abang kepada remaja perempuan terbabit berkata, tangisan kuat yang didengari datangnya dari arah bilik adiknya itu mengejutkan dia dan seorang lagi adik lelakinya, sebelum kelahiran bayi itu disedari mereka.

Difahamkan, ketika pintu bilik dibuka, gadis berumur 16 tahun itu berada di lantai dalam bilik tidurnya dengan keadaan berlumuran darah manakala bayi tersebut pula berada di sisinya sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu mereka.

Menurut si abang, dia kemudiannya meminta bantuan jiran terdekat untuk membawa adiknya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendakwa melaporkan mengenai kejadian itu di balai polis berdekatan.

“Kami sekeluarga juga tidak mengesyaki dia hamil sebelum ini kerana tubuhnya agak besar berbanding rakan seusianya, malah saiz perutnya juga kelihatan seperti normal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSNZ Kuala Terengganu, semalam.

Abang remaja terbabit berkata, adik perempuannya dan bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan hanya keluarga mereka dibenarkan melawat, namun keadaan adik dan bayi itu sehingga tengah hari semalam dilaporkan stabil.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga memberitahu adiknya juga mengaku pernah dinodai seorang lelaki dikenali keluarga mereka pada Februari lalu, namun merahsiakan perkara itu sehinggalah melahirkan bayi berkenaan dalam bilik tidurnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi tengah hari semalam bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana masih belum menerima laporan terperinci.

JKM Kulim cari ibu bapa tiga kanak-kanak ditinggalkan – Bernama


JKM Kulim cari ibu bapa tiga kanak-kanak ditinggalkan

6 Ogos 2012
KULIM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim ingin menghubungi seorang ibu dan sepasang suami isteri untuk menyelesaikan kes tiga kanak-kanak yang dijaga sementara oleh dua keluarga di sini.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Kulim Munirah Athirah Abdul Aziz berkata Noraini Sarmadi, 47, dikehendaki mengambil kembali dua anak lelakinya, Mustafa Kamal Zainal Abidin, 9, dan Mohd Adam, 7.

Alamat terakhir Noraini adalah B8, Kuarters KTMB, Kampong Boyan, 34000, Taiping, Perak.

Kedua-dua beradik itu diserahkan oleh Noraini kepada keluarga Hadzri Md Yusuf, 47, dan isterinya Zarinah Mohd Idris yang menetap di No. 460, Taman Bestari, Kulim pada Mac tahun lepas.

Dia perlu membuat pengakuan bertulis menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anaknya itu sekiranya enggan mengambil mereka kembali, kata Munirah Athirah.

Munirah Athirah memberitahu pemberita Norani turut menyerahkan surat beranak kedua-dua anaknya serta salinan fotostat kad pengenalannya kepada keluarga Hadzri.

Kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, dekat sini, masing-masing dalam Tahun Tiga dan Satu.

“Sejak mereka ditinggalkan beradik, Noraini ada menelefon sekali untuk mendapatkan maklumat kedua-dua beradik itu bagi tujuan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” kata Zarinah, seorang peniaga di sini.

Zarinah berkata dia dan suaminya berhasrat menjaga kedua-dua beradik itu berikutan bapa tiri mereka yang dikenali sebagai Hasan meninggal dunia tahun lepas.

Munirah Athirah berkata JKM memberi tempoh sehingga 14 Ogos ini kepada Noraini untuk mendapatkan kembali kedua-dua anaknya dan selepas itu kes penjagaan mereka akan diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Dalam satu kes lagi, ibu bapa seorang kanak-kanak perempuan yang diberi nama sementara, Nor Nabilah, 20 bulan, diminta menghubungi JKM di sini berkaitan sijil kelahiran bayi itu yang kini dijaga Mohamad Ali Naina Mohamad, 47, dan isterinya Halimah K. Abdul Azeez, 41.

Mohamad Ali, seorang peniaga dari Simpang Tiga Keladi di sini yang turut hadir di JKM, berkata seorang wanita berusia lingkungan 20-an menyerahkan bayi itu kepadanya pada 9 Sept tahun lepas.

Wanita itu yang dikenali sebagai ‘Nah’ sahaja hanya sekali menelefon bertanyakan anaknya itu dan lepas itu tiada lagi menghubungi kami, katanya.

Ibu bapa kanak-kanak itu dan Noraini diminta datang ke JKM Kulim atau menghubungi Munirah Athirah atau Norizan Hassan melalui talian 04-4907403 atau 04-4914642 bagi membantu menyelesaikan kes anak mereka.- Bernama