Murid berdepan risiko lalu lintas – Sinar Harian


Murid berdepan risiko lalu lintas

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI & AZLINA OTHMAN
27 Jun 2013
Murid berdepan risiko lalu lintas
Jimmy dan penduduk setempat menggesa penyelesaian segera diambil agar lalu lintas di hadapan Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Batu lebih terkawal dan selamat.
Murid berdepan risiko lalu lintas
Seorang pengawal lalu lintas membantu murid melintas ke seberang jalan selepas tamat sesi persekolahan, kelmarin.

KULAIJAYA – Kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Batu, di sini, didakwa berdepan risiko kemalangan berikutan jalan besar di hadapan sekolah sentiasa digunakan pelbagai kenderaan berat untuk ke kawasan sekitar.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zaidi Rahmat berkata, PIBG dan penduduk setempat sudah beberapa kali menyuarakan masalah itu kepada wakil pemimpin sejak 10 tahun lalu, namun tiada tindakan diambil.

Menurutnya, sejak tahun 2008, pernah berlaku dua kemalangan membabitkan murid sekolah sehingga menyebabkan kematian akibat keadaan lalu lintas tidak terkawal berikutan kenderaan sering dipandu laju di lokasi berkenaan.

“Jalan ini sering digunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori muatan 40 tan yang membawa batu dan kelapa sawit berulang-alik ke Pontian atau Nusajaya serta kawasan berhampiran.

“Sebelum ini telah berlaku dua kematian membabitkan murid sekolah dan baru-baru ini seorang bapa mengalami patah kaki setelah dilanggar ketika mengambil anaknya pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Justeru, Zaidi menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan segera membina bonggol jalan di kawasan berkenaan bagi mengawal had laju kenderaan yang menggunakan laluan itu.

Dalam pada itu, Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya akan merujuk masalah berkenaan kepada pihak berwajib agar tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan murid sekolah dan penduduk terjamin.

“Sebelum ini saya pernah rujuk masalah ini kepada pihak berwajib dan saya akan ambil tindakan susulan untuk pastikan jalan penyelesaian segera diambil.

“Saya sarankan agar bonggol jalan atau lampu isyarat di pasang di kawasan itu supaya lalu-lintas lebih terkawal dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Johor mengesahkan tidak menerima aduan berkaitan permasalahan berkenaan.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani menasihatkan pihak sekolah mengingatkan murid agar menjaga keselamatan diri bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini di luar kawasan sekolah.

Ingatan itu juga perlu disampaikan kepada ibu bapa murid yang berperanan mengawasi pergerakan anak mereka dan tidak memandu terlalu laju ketika berada di kawasan sekitar persekolahan.

“Buat masa ini, pihak kami tidak menerima aduan berhubung perkara berkenaan. Keadaan ini melibatkan di luar sekolah yang mana ia di luar kawalan kita . Tetapi, kita boleh panjangkan maklumat ini kepada pihak yang berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Menjaga lalu lintas juga diluar kuasa pihak jabatan. Tetapi, saya nasihatkan supaya pihak sekolah mengingatkan murid-murid supaya lebih berhati-hati dan mementingkan keselamatan dan orang ramai hendaklah memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan persekolahan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

‘Super Syafiq’ – Metro


‘Super Syafiq’

 91  6 Google +2  0  1

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mendapat julukan ‘budak Superman’ berikutan masih hidup dan mampu berjalan walaupun selepas buah pinggang, limpa, tulang rusuk dan paru-parunya cedera teruk akibat dilenyek traktor mengangkut buah kelapa sawit.

Muhd Syafiq Abdul Hamid, 10, digilis traktor mengangkut buah sawit seberat lebih tiga tan ketika dalam perjalanan menuju pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini, jam 2.30 petang, 29 Januari lalu.

Pemeriksaan doktor mendapati Muhd Syafiq mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk menyebabkan dia ditahan untuk menerima rawatan di hospital selama 26 hari termasuk 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Bagaimanapun, bapanya, Abdul Hamid Dahaman, 48, berkata, keanehan berlaku kerana anak bongsunya itu bukan saja tidak menunjukkan kesan kecederaan fizikal teruk sejurus kejadian, malah kini mampu berjalan.

FotoABDUL Hamid menunjukkan kesan timbul tulang bahu kanan anaknya, Muhd Syafiq yang patah manakala isterinya menunjukkan surat pengesahan dari Hospital Taiping.

“Doktor turut menganggap apa yang berlaku ke atas Muhd Syafiq satu keajaiban daripada Tuhan kerana dia masih hidup biarpun banyak organ dalamannya cedera teruk,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/articles/2013022707051120130227070511//Article#sthash.x5yFpBsR.dpuf

Kanak-kanak 12 tahun dirogol selama 2 bulan – Sinar Harian


Kanak-kanak 12 tahun dirogol selama 2 bulan

ROSDALILAH ZAHARI
8 Februari 2013
Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif
Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif

BATU GAJAH – Selepas dua bulan menyimpan rahsia menjadi mangsa nafsu serakah kerakusan seks bapa saudara sendiri, akhirnya kanak- kanak perempuan berusia 12 tahun membuka rahsia kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, perbuatan keji suspek terbongkar apabila ibu mangsa yang kini dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) akibat barah usus menceritakan perkara tersebut kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selepas mendengar cerita tersebut, Pegawai JKM terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Tronoh mengenai kejadian itu.

“Kanak-kanak malang itu tinggal bersama ibunya dan lima adik-beradik lain serta suspek di Rumah Murah, Tronoh, di sini.

“Suspek berusia 52 tahun itu tinggal di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai pengait kelapa sawit bagi menampung kehidupan mereka.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi, Januari lalu ketika mangsa mengadu sakit perut dan suspek tidak membenarkannya ke sekolah.

Menurutnya, suspek kemudiannya membeli makanan untuk mangsa, namun mangsa tiba-tiba pening serta tidak sedarkan diri selepas menjamahnya.

“Apabila mangsa sedar, dia melihat suspek sedang memakai seluar dalam, manakala bajunya terangkat sehingga ke dada dan seluarnya pula diturunkan sehingga paras lutut.

“Mangsa berasa sakit pada bahagian alat sulitnya dan menceritakan insiden tersebut kepada ibunya. Ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kakak sulung mangsa bertengkar dengan suspek berkaitan kejadian rogol itu semalam (kelmarin),” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa dirogol lebih kurang tiga kali sejak dua bulan lalu dan berikutan itu, percakapan saksi dirakam, manakala suspek ditahan pada jam 5 petang kelmarin di rumah sama.

“Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta sebatan,” katanya.

Kanak-kanak 12 tahun dirogol bapa saudara – Sinar Harian


Kanak-kanak 12 tahun dirogol bapa saudara

ROSDALILAH ZAHARI
7 Februari 2013

BATU GAJAH – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa kerakusan bapa saudaranya sendiri apabila dirogol di rumahnya di Tronoh dekat sini, sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kanak-kanak itu tinggal bersama ibunya, yang menghidap barah usus dan lima adik-beradik yang lain, di rumah berkenaan.

Menurutnya, bapa saudara mangsa yang berusia 52 tahun itu juga tinggal bersama keluarga terbabit di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai pengait kelapa sawit bagi menampung kehidupan mereka.

Kanak-kanak lelaki trauma dikejar anjing – Sinar Harian


Kanak-kanak lelaki trauma dikejar anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Januari 2013
Kanak-kanak lelaki trauma dikejar anjing
Ismail menunjukkan luka yang dialami Adam Danial terutamanya di kepala setelah terjatuh dikejar anjing.

BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Parit Sempadan, Parit Raja, di sini, trauma sehingga takut ke sekolah dan pergi mengaji.

Situasi itu berlaku selepas dia, Adam Danial Zambri, terjatuh hingga menyebabkannya cedera di leher dan muka kerana mahu menyelamatkan diri daripada dikejar anjing, minggu lalu.

Bapa saudara mangsa, Ismail Samuri, 47, berkata, mangsa membonceng  motosikal yang ditungganginya bersama anaknya Mohd Nur Al-Iman Ismail, 11,  dalam kejadian jam 9.30 malam itu.

Menurutnya, semasa kejadian, dia yang cemas melihat kelibat anjing berkenaan memecut motosikalnya pulang ke rumah bagi mengelakkan haiwan liar berkenaan menerkam mereka.

“Saya semakin bimbang kerana anjing itu bertindak agresif dengan mengejar kami kira-kira 100 meter sehingga saya gagal mengawal motosikal dan terbabas. Dalam keadaan cedera, saya dapat melihat anjing yang berada pada jarak lima meter itu masih menunggu kami.

“Saya percaya anjing liar itu digunakan untuk menjaga ladang kelapa sawit yang terletak di kampung ini dan saya harapkan haiwan berkenaan tidak perlu ada di sini yang penduduknya 100 peratus Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ismail berkata, dia nekad dan segera bangun bagi melindungi Adam Danial yang pada ketika itu sangat hampir dengan anjing berkenaan yang bertambah agresif mahu menyerang mereka.

Tambahnya, nasib mereka baik kerana haiwan liar itu lari ke arah ladang sawit berhampiran setelah dihalau dengan membaling batu beberapa kali.

Murid Tahun Enam antara 30 disaman – Berita Harian


Murid Tahun Enam antara 30 disaman
Oleh Junita Mat Rasid

2012/01/29

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA: Tindakan dua murid Tahun Enam menunggang motosikal sejauh 40 kilometer, dari Pontian ke Pekan Kelapa Sawit, di sini kononnya untuk membeli alat ganti, menerima padah apabila masing-masing disaman, manakala kenderaan mereka disita polis trafik, pagi semalam.

Dua kanak-kanak terbabit adalah antara 30 penunggang motosikal yang disaman manakala kenderaan mereka disita dalam operasi Polis Trafik Kulaijaya, bermula jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi selama tiga jam itu, dua murid terbabit, bersama seorang pelajar Tingkatan Satu yang membonceng, turut tidak memakai topi keledar sepanjang perjalanan, selain menunggang laju.

Operasi diketuai Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kulaijaya, Asisten Superintendan Gurbindir Singh, bersama 26 anggota itu dijalankan selepas kempen keselamatan jalan raya dan agihan topi keledar percuma dijalankan, selain pemerhatian mendapati ramai remaja bawah umur di kawasan itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid terbabit.

“Mereka mendakwa membeli alat ganti motosikal berupa fairing dan lampu daripada seorang rakan di sebuah kedai tetapi tiada resit rasmi dikeluarkan, kita bimbang kemungkinan itu barangan curi,” katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lagi murid Tahun Enam yang menunggang motosikal dengan alasan membeli barang di kedai berhampiran rumahnya di pekan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan murid sekolah dan remaja bawah umur menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka dan seolah-olah mengambil mudah peraturan jalan raya hingga mengabaikan keselamatan diri sendiri, serta pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang itu dibawa ke IPD Kulaijaya untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan ujian air kencing, manakala ibu bapa penunggang motosikal bawah umur turut dipanggil kerana kesalahan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan dikenakan saman.

‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar – Metro


‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Hari ini ‘Ah Jib Gor’ nak beri angpau besar,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa, Jalan Gombak, di sini, semalam.

Najib berkata, peruntukan itu yang juga sebahagian daripada peruntukan Bajet 2012 bagi SMJK Cina untuk pembinaan bangunan baru sekolah yang sudah berusia 53 tahun itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang Perdana Menteri ke Kuala Lumpur semalam.

 

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Chong Hwa, Datuk Lim King Hoo.
‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ adalah laman sosial Facebook Perdana Menteri dalam bahasa Cina yang dilancarkan tiga hari lalu dan menarik 3,000 pengikut serta dijangka akan bertambah selepas ini.
Najib berkata, sumbangan diberikan kepada sekolah berkenaan akan turut mendapat pelepasan cukai.

 

 

Terdahulu, dalam ucapannya Najib berkata, sekiranya ekonomi negara berkembang hingga enam peratus setiap tahun, negara mampu mencapai status negara maju dalam tempoh kurang daripada lapan tahun. “Apabila ia dicapai, semua rakyat secara langsung atau tidak langsung akan mendapat faedah dan nikmat daripada pembangunan serta perubahan besar yang berlaku pada negara.
“Antaranya penjawat awam boleh mendapat kenaikan gaji manakala pekebun kecil boleh menikmati harga tinggi hasil jualan kelapa sawit dan getah,” katanya.

 

Dalam program berkenaan, Najib turut mengadakan lawatan ke pasar basah Teratai Mewah, Danau Kota, di sini, dan Kampung Puah Lembah, dekat Jalan Gombak.