PUTRAJAYA: “Selepas berpenat lelah dan menghadapi pelbagai tekanan, akhirnya kejayaan menjadi milik saya. Bukan mudah untuk saya mengekalkan kejuaraan ini,” kata pelajar Sekolah Cempaka, Edwin See Jun Hong, 16, yang memenangi tempat kelima dalam Pertandingan Matematik Sedunia yang berlangsung pada 3 hingga 5 Mac lalu.
Pertandingan anjuran syarikat di Australia, 3P Learning Pty Ltd (3P Learning) itu dilaksanakan secara dalam talian dan ia mendapat kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Edwin berkata, dia mendapat persaingan hebat terutama pelajar dari Pakistan, Australia dan Turki, bagaimanapun dia berjaya menempuhi cabaran diberikan.
“Walaupun hanya mendapat tempat kelima, tetapi ia amat bermakna kerana saya menewaskan ribuan peserta dari luar negara. Saya amat gembira dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima Piala Dunia dan pingat daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kementerian Pelajaran di sini, semalam. Pertandingan itu memerlukan peserta menjawab soalan matematik dengan pantas dan tepat dengan tempoh diberikan satu minit. Sebanyak 22,785 sekolah dari 212 negara menyertai pertandingan itu dan 20 pelajar dari Sekolah Cempaka terbabit pertandingan berkenaan.