Agenda transformasi letakkan Malaysia sebagai negara kedua paling bahagia – Bernama


Agenda transformasi letakkan Malaysia sebagai negara kedua paling bahagia

13 September 2012

KUALA LUMPUR – Matlamat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, merupakan agenda perubahan inklusif, yang bukan hanya berkisar kepada pertumbuhan ekonomi, malah mengambil kira ranking kebahagiaan Malaysia.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Perdana Menteri sangat serius dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi meningkatkan pendapatan per kapita semua rakyat Malaysia, dan pada masa yang sama, menyediakan bantuan infrastruktur dan kewangan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebahagiaan.

“Kerajaan sedia ada mahukan pertumbuhan inklusif. Ia bukan sahaja berpendapatan tinggi, keluaran dalam negara kasar yang lebih tinggi, malah indeks kebahagiaan juga tinggi.

“Kita mahu merapatkan lagi jurang, supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati limpahan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran awal Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Dalam Laporan Kebahagiaan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini, Malaysia diletakan sebagai negara kedua paling bahagia di Asia Tenggara, selepas Singapura.

Laporan itu yang mengumpul respons kajian yang diterima dari tahun 2005 hingga pertengahan tahun 2011, mengukur tahap kebahagiaan 156 negara, dengan Malaysia menduduki tempat ke-51.

Negara-negara kaya Scandinavia seperti Denmark, Finland dan Norway menduduki tiga tangga teratas, manakala negara di Afrika Barat, Togo, merupakan negara paling tidak bahagia.

Mengenai UTC, Ahmad Husni berkata pusat baharu berharga RM15 juta itu yang terletak di Pudu Sentral (dahulunya Stesen Bas Puduraya), akan memberi perkhidmatan kepada 1.6 juta penduduk ibu kota.

“Ia adalah UTC kedua di Malaysia selepas Melaka. Kami mahu membuka UTC di setiap ibu negeri.

“UTC akan merapatkan jurang antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik pada rakyat secara lebih cekap.

UTC Kuala Lumpur akan dilancarkan secara rasmi oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan, pada 22 Sept, 2012. – Bernama

Peruntukan hampir semua kementerian dinaikkan dalam Bajet 2013: Ahmad Husni – Bernama


Peruntukan hampir semua kementerian dinaikkan dalam Bajet 2013: Ahmad Husni

08/09/2012 – 17:22:48 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Secara keseluruhannya, peruntukan kepada hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen, 28 September ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, Kabinet meluluskan draf Bajet 2013 yang dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuaratnya Rabu lalu dan pihaknya sudah meneliti satu persatu perbelanjaan kesemua kementerian.

“Kita sudah meminta bantuan Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik… kita telah meneliti perbelanjaan (kementerian) satu persatu.

“Jadi, asasnya, kesemua kementerian akan mendapat peruntukan dan hanya satu atau dua akan berkurangan berikutan inisiatif rasionalisasi,” katanya ketika menghadiri jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pasar raya borong Mydin di Gugusan Manjoi di sini, hari ini.

Berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan sejak tahun lalu, antaranya mengenai cukai, cukai pendapatan dan cukai korporat, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara itu.

“Tetapi, kita tidak berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu oleh peningkatan jumlah hasil kerajaan.
“Seperti yang saya kata, di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kami sudah melakukan kajian indeks perolehan, khususnya mengenai cukai pendapatan di mana kita mengkaji kelemahan dan kita percaya, ia akan terus menyumbang kepada pendapatan tinggi bagi negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga parameter asas kepada bajet itu pertamanya kerajaan perlu memastikan adanya lebihan kos operasi yang bermakna hasil perlu melebihi perbelanjaan, keduanya pertimbangan terhadap dasar fiskal iaitu pengurangan defisit dan ketiga nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan terus menyasarkan pengurangan defisit dalam Bajet 2013 berbanding tahun sebelum ini.

“Mengenai nisbah hutang berbanding KDNK, 55 peratus adalah paras berhemah tetapi kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayar balik hutang berkenaan,” katanya.

Defisit fiskal negara bagi 2011 menurun kepada 5.0 peratus daripada KDNK, berbanding jangkaan 5.4 peratus ketika pembentangan bajet itu.

Defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK. – BERNAMA