Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah – Bernama


Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah

2012/05/04

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan semalam bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.

Sham Moodliar, 41, berkata beliau dan keluarganya bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anaknya Nayati, 12.

“Saya dan keluarga saya akan bercuti di Eropah.” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir di majlis berkenaan ialah isterinya Janice Smith, 40.

Kanak-kanak lelaki itu tidak hadir bersama kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.

Nayati ditemui semula di kawasan rehat dan rekreasi Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan selepas diculik oleh dua lelaki berhampiran kawasan sekolahnya.

Polis Kuala Lumpur telah membentuk pasukan petugas khas untuk memburu penculik selepas keluarga kanak-kanak tersebut dilapor telah membayar wang tebusan sehari sebelum dia dibebaskan.
Moodliar mengalirkan air mata apabila ditanya bagaimana anaknya menghadapi kes penculikan berkenaan.

“Dia tabah dan saya gembira dia segera boleh menjalani rutin hariannya,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada polis kerana berjaya menangani kes berkenaan dan memastikan keselamatan anaknya.

Janice pula berkata anaknya tidur nyenyak malam tadi dan gembira anaknya segera pulih selepas kejadian berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang memburu suspek yang terbabit.

“Saya tidak boleh beri keterangan lanjut kerana kes masih berjalan dan polis akan mengeluarkan kenyataan apabila suspek ditahan,” katanya sambil menasihati media tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan polis. – BERNAMA