Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma – Utusan


Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma

KUALA LUMPUR 24 Mac – Pelajar yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran secara percuma melalui Kursus Diploma Kemahiran Malaysia.

Inisiatif Pertubuhan Kebajikan Sri Gading Malaysia dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu menyasarkan pelajar dan belia berumur antara 16 hingga 26 tahun bagi mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan di 10 kolej kemahiran terlibat.

Pengerusi penganjur program, P. Sri Ganesh berkata, program yang diperkenalkan sejak 2009 itu memberi peluang kepada sebanyak 300 peserta mengikuti pengajian dalam program latihan peringkat sijil dan diploma setiap tahun.

“Pelajar akan mengikuti latihan selama enam bulan hingga dua tahun setengah mengikut program yang ditawarkan serta dijamin memperoleh tempat dalam industri selepas menamatkan pengajian masing-masing.

“Lebih menarik, mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, malah menerima elaun sara hidup sebanyak RM300 setiap bulan,” katanya kepada pemberita dalam program Seminar Latihan Kemahiran Secara Percuma Kepada Lepasan PRM dan SPM di sini hari ini.

Program itu dijalankan di sebanyak 16 lokasi seluruh negara termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah, selain akan turut diadakan di Kelantan dan Terengganu pada masa depan.

Tambah Sri Ganesh, pelajar atau belia yang berminat menyertai program itu hanya perlu mempunyai kemahiran membaca dan menulis sebagai kelayakan minimum dan terbuka kepada semua kaum.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung program itu boleh menghubungi talian 012-5247323 dan 012-2602524 atau melayari laman web http://www.MYSKILLS.com.my. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_42/Pelajar-kurang-cemerlang-berpeluang-ikuti-kursus-kemahiran-percuma#ixzz2OT00ZmAT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan – Sinar Harian


Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

Azman menunjukkan cara yang mudah dan berkesan bagi membantu murid Linus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira
MACHANG – Dalam usaha membantu murid tahun dua dan tiga menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong menganjurkan Program Permata Hatiku, di sini, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Abdul Rahman Hussin berkata, bagi menangani masalah itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan Program Literasi dan Numerasi (Linus).

Katanya, kerjasama dan kesungguhan guru mampu menjayakan program ini dan seterusnya melahirkan murid sifar Linus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terlibat menjayakan Program Linus ini. Semoga usaha murni ini membuahkan hasil terbaik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program, Noriah Che Soh berkata, program itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada murid pemulihan Linus tentang teknik pembelajaran menarik dan berkesan.

Katanya, pendedahan berterusan mampu meningkatkan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira.

“Unit Kurikulum SK Pulai Chondong menyedari bahawa isu asas Literasi dan Numerasi masih belum diatasi sepenuhnya walaupun telah dilaksanakan pelbagai program kesinambungan daripada program sedia ada.

“KPM menyasarkan semua murid tiada masalah pembelajaran berkeupayaan mengatasi asas Literasi dan Numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap satu.

“Sehubungan itu, program ini dirancang untuk dilaksanakan bagi menyahut cabaran KPM tersebut,” katanya.

Noriah yang juga Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Pulai Chondong berkata, program itu melibatkan 20 murid dari kelompok literasi dan numerasi.

Katanya, program itu dikendalikan Guru Cemerlang Pemulihan, Mohd Azman Mohd Yusoff selain guru pemulihan dan guru Linus.

“Program ini juga adalah bagi memenuhi keperluan program, kelayakan profesional pendidikan kebangsaan (NPQEL) kohort 1/2012 anjuran Institut Aminuddin Baki, KPM,” katanya.

UMNO Besut bantu tingkat pembelajaran murid – Bernama


UMNO Besut bantu tingkat pembelajaran murid

17/02/2012 2:56pm

BESUT 17 Feb. – UMNO Bahagian Besut akan membantu dan menyokong Kementerian Pelajaran dalam memastikan murid-murid sekolah rendah di daerah itu mencapai kemahiran asas pembelajaran melalui Program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas di seluruh negara.

Program itu diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran bagi mencapai tahap celik huruf dan kebolehan mengira 100 peratus bagi semua kanak-kanak sekolah tanpa mengalami kesukaran pembelajaran apabila mereka sampai ke Tahun Tiga dalam menekankan kemahiran membaca, mengira dan menulis.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kepimpinan UMNO Besut akan berganding bahu dengan ibu bapa untuk merealisasikan sasaran Pejabat Pelajaran Daerah Besut kepada sifar peratus ke atas murid-murid sekolah daerah ini mulai tahun ini.

Setakat ini terdapat 3,067 murid Tahun Tiga daripada 53 buah sekolah rendah di daerah itu sedang mengikuti Program Linus.

“Daripada jumlah itu tiga orang didapati masih tegar dan 46 yang lain dalam kelompok sederhana untuk Literasi manakala bagi Numerasi pula terdapat tiga murid tegar dan 29 pada tahap serdahana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. — BERNAMA