Merajuk ibu tak mampu biaya sekolah – Metro


Merajuk ibu tak mampu biaya sekolah

 7  2 Google +0  0  0

Johor Bahru: Akibat merajuk dengan ibu yang bekerja sebagai tukang cuci kerana tidak mampu membiayai persekolahan, seorang remaja perempuan, Siti Nurul Soleha Jafery, 13, menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Flat Laman Tasik Pandan di sini, sejak 24 Mac lalu.

Lebih membimbangkan, remaja itu dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lelaki baru dikenali yang kononnya menjadi abang angkatnya.
Ibu remaja perempuan itu, Habibah Daing Marakah, 46, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu tidak bersekolah sejak Jun tahun lalu kerana masalah kewangan keluarga.

 

Menurutnya, sejak setahun lalu dia terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga dengan pendapatan RM600 sebulan selepas suaminya, Jafery Atan, 46, hilang upaya akibat kemalangan di tempat kerja.
Katanya, dengan pendapatan bulanan itu, dia perlu membayar pinjaman perumahan bank sebanyak RM230 sebulan selain membeli pelbagai barangan dapur untuk empat ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan.
“Siti Nurul Soleha atau mesra dengan panggilan Leha dan abangnya, Mohamad Solihin, 14, (anak kelima) tidak dapat bersekolah sejak pertengahan tahun lalu kerana saya tidak mampu membiayai tambang bas sekolah berjumlah RM90 sebulan.

 

“Pada masa sama, kami nyaris kehilangan tempat tinggal kerana rumah ini hampir dilelong selepas bayaran tertunggak selama lima bulan.
“Mujurlah Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tampil membayar tunggakan itu bagi membolehkan kami terus tinggal di rumah ini,” katanya. Berikutan itu, sesiapa mempunyai maklumat berkaitan anaknya diminta menghubungi 017-7503075.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08