Bagai mimpi! – Metro


Bagai mimpi!

 2  0 Google +0  0  0

Oleh Akhmarruddin Ahmat

Bintangor: “Dia satu-satunya cucu saya dan kini dia pergi buat selamanya,” kata Lawi Gong, 60, nenek kepada pelajar tingkatan lima yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama rakan baik untuk ke sekolah bertembung sebuah pacuan empat roda di Jalan KJD, Meradong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Lasit Lambai, 17, dan rakannya, Gilbert Abing Mijin, 14, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Nenek Lasit, Lawi terkejut apabila dimaklumkan cucunya terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah beberapa minit selepas kejadian.

“Saya bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan dan sebaik tiba jantung saya seperti terhenti seketika melihat tubuh cucu terbaring kaku.
“Dia cucu tunggal saya dan kini saya kehilangannya buat selama-lamanya. Sukar bagi saya mempercayai kejadian yang menimpa ini kerana semuanya seperti bermimpi,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tangguh pelajaran akibat kemalangan – Sinar Harian


Tangguh pelajaran akibat kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2013
Tangguh pelajaran akibat kemalangan
Zainol Fadzi (kiri) membantu Mohd Faizi menggunakan tongkat yang disampaikan.

LANGKAP – Kemalangan jalan raya yang dialami tahun lalu bukan hanya menyebabkan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini menghadapi kesukaran bergerak tanpa bantuan serta pemantauan, malah dia terpaksa menangguhkan pelajarannya.

Dalam kemalangan berkenaan, Mohd Faizi Abd Razak, 17 mengalami patah tulang pinggul selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah motosikal lain sebelum tercampak ke tengah jalan dan dilanggar sebuah lori.

Ibunya, Rosnah Sarin, 42 memaklumkan, kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu berlaku pada Ogos tahun lalu menyebabkan Mohd Faizi terpaksa tinggal di Hospital Teluk Intan selama beberapa bulan, sebelum dibenarkan pulang baru-baru ini.

“Bagaimanapun anak saya terpaksa dibawa ke Hospital Selayang selepas mengalami masalah di bahagian pundi kencing kerana perlu dibedah semula dan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Kini dia alami kesukaran untuk berjalan tanpa bantuan orang lain dan saya perlu pantau keadaannya dari semasa ke semasa. Kerana itu saya ambil keputusan berhenti kerja, demi menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang turut menghulurkan bantuan tongkat bagi memudahkan remaja itu berjalan.

Dalam pada itu, Rosnah turut berterima kasih kepada Zainol Fadzi atas bantuan yang diberikan.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang mengetahui nasib Mohd Faizi selepas dimaklumkan ketua kampung di sini merasa simpati dan berharap bantuan tongkat berkenaan dapat memudahkan pergerakan remaja berkenaan.

‘Hadiah’ untuk tiga beradik – Sinar Harian


‘Hadiah’ untuk tiga beradik

M JEFFRI RAZALI
4 Januari 2013
'Hadiah' untuk tiga beradik
Yahya membaca surat tawaran asrama bersama (dari kiri) Muhammad Harris, Halimatul Saadiah dan Rabiatul Adawiyah, semalam.

UMBAI – Meskipun rakan mereka sudah memulakan sesi baru persekolahan kelmarin, namun bagi tiga beradik dari Kampung Bukit Tembakau di sini, minat untuk menimba ilmu terpaksa dikorbankan kerana kesempitan hidup.

Ketiga-tiga mereka, Muhammad Harris Yahya, 15, Rabiatul Adawiyah Yahya, 13, dan Halimatul Saadiah, 10, hanya mampu memerhati dengan sayu rakan-rakan lain setelah ayah mereka, Yahya Dol, 47, hilang punca pencarian akibat sejenis penyakit, lebih sebulan lalu.

Tambah memeritkan apabila ibu mereka, Wati @ Syafawati Md Isa, 36, hanya bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah agama dan berpendapatan sekitar RM5 sehari.

Akibat kekangan kewangan yang kian meruncing, ketiga beradik ini tiada pilihan lain kecuali menangguhkan persekolahan mereka meskipun hati mereka melonjak ingin kembali bersama rakan persekolahan.

Menurut Syafawati, dia dan suami tidak mempunyai pilihan melainkan menangguhkan persekolahan anak mereka akibat kekangan kewangan ini.

Menurutnya, kesusa-han mereka bermula apabila suaminya mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu sehingga menyebabkan lima tulang rusuknya patah serta tulang bahu beralih.

Berikutan kemalangan itu, dia yang sebelum itu bekerja sebagai buruh binaan, sudah tidak mampu membuat kerja berat dan terpaksa mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

“Bagaimanapun, segalanya berubah apabila suami mengalami sejenis ketumbuhan di bahagian belakangnya sebulan lalu sehingga terpaksa dibedah. Akibatnya, suami sudah tidak mampu lagi kerja selepas itu.

“Dengan pendapatan kecil saya sebagai pembantu kantin, manalah saya mampu hendak menyekolahkan anak saya.

“Kalau makan, mungkin tidak ada masalah sangat sebab apa yang ada saja boleh dimakan, tapi bukan menyekolahkan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Bagaimanapun, penderitaan keluarga itu tidak berpanjangan apabila mendapat perhatian Pusat Perkhidmatan Pembela Barisan Nasional (Pembela BN).

Hasil bantuan Kerajaan Negeri, ketiga-tiga beradik itu kini bukan sahaja boleh bersekolah kembali, malah Rabiatul Adawiyah turut ditawarkan kemudahan asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam, Ramlan Ali selaku wakil kepada Adun Serkam, Datuk Ghazale Mohamad berkata, selain bantuan kecemasan RM500, bantuan pakaian sekolah untuk Muhammad Harris dan
Rabiatul Adawiyah turut disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

Hadir sama ketika kunjungan semalam, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Abdul Aziz.

Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka – Bernama


Pegawai penjara maut kemalangan di Melaka

25 November 2012

MELAKA – Seorang pegawai penjara dan seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian pertama, pegawai Penjara Sungai Udang, Mohd Hanafiah Abd Wahab, 25, maut selepas kenderaan dipandu sepupunya bertembung sebuah lagi kereta di Lebuh Raya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) pada kira-kira 11 malam.

Beliau berkata kereta Mitsubishi Galant yang dinaiki mangsa dari arah Bertam Ulu menghala Sungai Udang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung Proton Saga BLM.

Katanya, ekoran kemalangan itu, Mohd Hanafiah tersepit di tempat duduk penumpang depan serta cedera di kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.25 malam di Hospital Melaka manakala sepupu mangsa yang berusia 30-an serta penumpang kereta Proton Saga terbabit hanya cedera ringan.

Dalam kejadian kedua, Salehhuddin berkata Nur Afiqah Sarip, 16, yang menaiki motosikal bersama adiknya, Hasyimah, 15, dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menghala Ayer Salak maut ketika dalam perjalanan ke warung milik keluarga mangsa di kawasan berhampiran pada 8.50 malam.

“Mangsa dilanggar lari sebuah kereta yang datang dari arah sama sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta,” katanya sambil menambah Nur Afiqah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik mangsa cedera ringan. – Bernama

Demi ayah – Metro


Demi ayah

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KASIH... Ibrahim  yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham,  Salman dan Siti Hajar.
KASIH… Ibrahim yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham, Salman dan Siti Hajar.

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan nekad meninggalkan bangku persekolahan sejak Jun lalu untuk menjaga bapanya yang sakit kerana terbabit kemalangan jalan raya setahun lalu.

Siti Hajar Ibrahim, 14, berkata, dia terpaksa melupakan impian meneruskan pelajaran kerana perlu menjaga bapanya, Ibrahim Muhd Taib, 84, yang terlantar di rumahnya di Kampung Bukit Tangki Air, Cheras di sini, sejak setahun lalu.
Dia tidak berseorangan menjaga bapanya kerana ditemani abang, Salman, 24, yang masih menganggur. Walaupun mempunyai 11 adik-beradik, namun disebabkan sibuk dengan kerjaya serta memiliki keluarga sendiri membuatkan masing-masing tidak dapat memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bapa mereka.

 

“Saya tak kesal berhenti sekolah awal kerana kasihan dengan keadaan ayah yang sakit manakala ibu tiri pula sudah meninggalkan kami sejak dua bulan. Saya dan abang bergilir-gilir menjaga ayah bagi memastikan ubat dan susu diberikan kepadanya mengikut masa ditetapkan.
“Ayah tak dapat berkomunikasi dengan baik bagi menyatakan apa yang dia mahu. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk membantunya,” katanya.
Siti Hajar berkata, ibunya meninggal dunia sembilan tahun lalu dan bapanya pernah berkahwin dengan wanita dari Indonesia tetapi ibu tirinya itu sudah pulang sejak dua bulan lalu.

 

 

Seorang lagi anak Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, setiap hari dia memandikan bapanya selain meninjau keadaan dua adiknya yang tinggal di rumah berkenaan.
Dia bekerja sebagai pemandu teksi dan turut menjalankan perniagaan di pasar Down Town Cheras pada sebelah malam, sudah berkeluarga dan tinggal di Sungai Besi Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Cheras, Datuk Zurainah Musa yang menziarahi warga emas itu memuji sikap dua beradik berkenaan yang menjaga bapa mereka dengan baik.

 

Bagaimanapun, katanya, dia akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan warga emas itu di pusat perlindungan yang dilengkapi penjagaan kesihatan.
Beliau berharap anak-anak Ibrahim dapat berbincang mengenai tawaran itu selain membantu mendapatkan pelbagai bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit.
Ketua Umno Cawangan Cheras, Rosmani Mahimi pula berkata, pihaknya sering menyampaikan bantuan bersesuaian kepada warga emas itu bagi mengurangkan beban keluarganya Pada masa sama, katanya, dia berharap Siti Hajar dapat meneruskan semula persekolahan manakala abangnya akan mendapat pekerjaan sesuai. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.

Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi – Utusan


Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.m

NURSAKINAH Norizan yang cedera parah akibat kemalangan jalan raya di Kemaman masih berada di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Okt. – Seorang suami, Norizan Othman yang kehilangan isteri dan tiga anaknya sekali gus dalam kemalangan ngeri di Kemaman, semalam, mengakui tidak sanggup ‘diuji’ lagi untuk kehilangan dua anaknya yang cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Norizan, 49, berharap kedua-dua anaknya, Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, dapat diselamatkan kerana hanya mereka sahaja yang boleh memulihkan semangatnya kembali.

“Saya harap sangat mereka (Nursakinah dan Nursyafura) yang dirawat di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) dapat diselamatkan, mereka sahaja yang saya ada sekarang.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121012/dn_11/Norizan-tidak-sanggup-diuji-lagi#ixzz2940uQeh9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Warga emas, remaja maut kemalangan – Utusan


Warga emas, remaja maut kemalangan

KUANTAN 24 Ogos – Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pertama di Kilometer (KM) 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu.

“Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan.

Katanya, mangsa cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan, sementara penunggang pula hanya cedera ringan.

Menurut Mohamed Fauzi, kemalangan kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah. – BERNAMA

‘Sedih lihat gelagat anak’ – Metro


‘Sedih lihat gelagat anak’
Oleh Erdie Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my

SIPITANG: Pilu hati seorang ibu setiap kali menjelang Aidilfitri tatkala melihat gelagat anak perempuan kembarnya yang setia menanti kehadiran bapa mereka di depan pintu rumah seperti apa mereka lihat di kaca televisyen sedangkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya, kira-kira tujuh tahun lalu.

Lebih malang, dua beradik itu, Sri Azzwa Azimi dan Sri Azwin Azimi, 7, tidak sempat merasai kasih sayang bapa mereka yang meninggal dunia ketika mereka baru berusia sembilan bulan dan kemalangan maut itu berlaku di Semenanjung.
Keadaan itu menyebabkan ibu kanak-kanak berkenaan, Sapnah Lampung, 43, tidak dapat menunjukkan pusara suaminya kepada anak-anak kerana dikebumikan di Semenanjung.

“Ibu mana tidak sayu mengenangkan nasib anak tidak sempat bertemu ayah kandung yang meninggal dunia ketika mereka masih bayi lagi.
“Saya hanya mampu mengalirkan air mata melihat gelagat anak kembar saya yang akan menunggu di depan pintu mengharapkan ayah mereka pulang ke rumah dan beraya bersama-sama seperti apa yang sering ditonton di kaca televisyen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tunggul Tinggi, di sini, semalam.
Katanya, setiap tahun ketika Ramadan, pasangan kembar itu sentiasa bertanyakan bapa mereka.

“Saya ada menerangkan bahawa ayah mereka sudah tiada tetapi mereka tidak percaya dan mahu melihat kuburnya.
“Selepas kejadian meragut nyawa itu, jenazah suami terus dikebumikan di Semenanjung kerana kami tidak mempunyai wang untuk membawa jenazahnya pulang ke kampung,” katanya.

Katanya, dia tidak memiliki kenalan atau saudara-mara di Semenanjung dan terus pulang ke kampung selepas suaminya selamat dikebumikan.
Sapnah berkata, setiap kali menziarahi kubur saudara mara lain pada 1 Syawal, anak kembarnya itu pasti akan bertanyakan pusara bapa mereka.
“Paling sedih apabila anak kembar saya sering bertanyakan kenapa mereka tidak mempunyai ayah seperti orang lain dan mahu membeli pakaian raya bersama ayah mereka,” katanya.
Menurutnya, arwah suaminya yang bertugas sebagai penyelia di syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur terbabit kemalangan ketika menjalankan tugas di Langkawi, Kedah.
Katanya, sebelum meninggal dunia, dia sempat menjaga arwah suaminya di hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan kerana koma sebelum pihak hospital menasihatkannya supaya membawa arwah pulang ke rumah.
“Saya sempat menjaganya di rumah selama dua minggu sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kami berkahwin pada 2004 dan pasangan kembar itu adalah cahaya mata pertama kami,” katanya.
Katanya, dia turut sedih kerana tidak mampu menziarahi pusara suaminya setiap kali Aidilfitri selain keadaan kuburnya yang pasti tidak terjaga.
“Saya berazam menunaikan harapan kedua-dua anak kembar saya satu hari nanti dan menunjukkan sendiri pusara bapa mereka di ibu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012

Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah – Bernama


Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah
KUANTAN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Besar Chenor, dekat Maran, pagi Khamis.

Mangsa Lukmanul Hakim Ruslan, 17, pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Chenor akibat parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, mangsa yang membonceng motosikal rakannya dalam perjalanan ke sekolah.

“Dipercayai motosikal yang ditunggang rakannya itu bergesel ketika cuba memotong sebuah motosikal di hadapan mereka.

“Motosikal yang dinaiki mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum sebuah kereta merempuh mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

“Siasatan awal mendapati rakan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan kedua-dua mereka juga tidak memakai topi keledar,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti, ketika mangsa berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaannya di Km151.8 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran pagi Khamis.

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi itu, mangsa P. Thiharajah, 65, dari Banting, Selangor mati di tempat kejadian.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah memberhentikan lorinya di lorong kecemasan.

“Mangsa kemudian turun untuk memeriksa lorinya di bahagian belakang dan dipercayai telah dirempuh sebuah kenderaan. Kita sedang mengesan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Pelajar terlantar selepas nahas – Utusan


Pelajar terlantar selepas nahas

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
pengarang@utusan.com.my
PASIR PUTEH 21 Jun – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman di sini, Sharif Ihkwan Md. Rosli, 15, yang terlantar selepas kemalangan jalan raya pada Februari lalu tidak pernah mendapat atau diberi perhatian oleh mana-mana pihak.

Lebih memeritkan, keluarga Sharif Ikhwan terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi di samping terpaksa berulang-alik ke hospital dengan kerap untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibunya, Asiah Muhamad, 42, merasa rasa sedih setiap kali mengenang nasib anaknya apatah lagi ketika kejadian, pelajar tersebut dalam perjalanan ke sekolah dan lengkap berpakaian seragam.

“Akibat kemalangan itu, anak saya patah betis kiri, peha kanan, pergelangan tangan kanan selain dipercayai mengalami pendarahan otak, Sharif disahkan mengalami kecacatan kekal.