Tiga beranak maut depan rumah – Kosmo


Tiga beranak maut depan rumah

MUHD. GHAZALI meratapi kematian isteri dan dua anaknya yang terlibat dalam kemalangan ngeri berhampiran Bukit Naning, Muar semalam.

 

MUAR – Isteri dan dua anak kepada seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di Batu 14, Jalan Muar-Ayer Hitam berhampiran Bukit Naning dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, mangsa Ngaisah Redzuan, 46, yang merupakan seorang guru dan dua anaknya, Mohd. Nurullah Al-Azim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tubuh tiga beranak itu berkecai apabila kereta Proton Persona yang dipandu Ngaisah dihempap tiang dan bahan binaan konkrit setelah sebuah lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan tersebut hilang kawalan lalu terbalik.

Lori berkenaan yang datang dari arah Ayer Hitam menghala ke Muar pada mulanya cuba memintas kereta mangsa yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan rumahnya.

Malangnya, lori terbabit tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan konkrit berkenaan bertaburan dan menghempap kereta mangsa.

Lebih memilukan kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah mangsa ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning yang merupakan tempat Ngaisah mengajar. Dua anaknya juga bersekolah di situ.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2IqRvTibp
Hakcipta terpelihara

Lima korban kemalangan ngeri – Kosmo


Lima korban kemalangan ngeri

 

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

 


BEGINILAH keadaan MPV jenis Hyundai Starex yang remuk hingga mengorbankan lima nyawa di Slim River semalam.

 

SLIM RIVER – Hasrat 11 rakan untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan di Muar, Johor berkecai apabila lima daripadanya maut, empat parah dan dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah Selatan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; budak, Juvien Chin Yu Xuan, 12, serta Poh Hock Huat, 60, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini dan Hong Choon Tee, 33, mati di tempat kejadian.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.

Tiga penumpang, Bu Wei Hong, 50; Heng Ah Lee, 60, dan Lim Tau Hong, 3, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi HSR.

Sementara itu, Chong Soon Choy, 61, patah tangan manakala dua lagi, Ho Seok Yi, 18, dan Goey Wen Ni, 16, cedera ringan. Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Hyundai Starex yang dipandu Soon Choy.

Kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa putus kepala selain hancur anggota badan.

Ia berlaku tujuh hari selepas kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad yang maut dirempuh treler semasa bertugas di lorong kecemasan, lebuh raya sama yang terletak kira-kira 78 kilometer dari sini.

Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Muar bagi memenuhi satu jemputan melakukan persembahan kebudayaan Cina.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi – Utusan


Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.m

NURSAKINAH Norizan yang cedera parah akibat kemalangan jalan raya di Kemaman masih berada di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Okt. – Seorang suami, Norizan Othman yang kehilangan isteri dan tiga anaknya sekali gus dalam kemalangan ngeri di Kemaman, semalam, mengakui tidak sanggup ‘diuji’ lagi untuk kehilangan dua anaknya yang cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Norizan, 49, berharap kedua-dua anaknya, Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, dapat diselamatkan kerana hanya mereka sahaja yang boleh memulihkan semangatnya kembali.

“Saya harap sangat mereka (Nursakinah dan Nursyafura) yang dirawat di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) dapat diselamatkan, mereka sahaja yang saya ada sekarang.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121012/dn_11/Norizan-tidak-sanggup-diuji-lagi#ixzz2940uQeh9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu dan tiga anaknya antara enam maut nahas – Utusan


Ibu dan tiga anaknya antara enam maut nahas

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

KEMAMAN 10 Okt. – Seorang ibu bersama tiga anaknya merupakan antara enam mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Meraga Beris kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

Noran Ali, 39, meninggal dunia bersama anaknya Nurkhairatul Najiha Norizan, 4; Nursyazleen Norizan, 12; dan Nur Syardiena Norizan, 9 setelah mereka cedera parah dan tersepit dalam kereta yang remuk apabila kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas.

Manakala dua lagi anaknya, Nursakinah Norizan, 17 dan Nursyafura Norizan, 13, cederah parah, dan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Turut maut ditempat kejadian ialah pemandu kereta, Khairudi Omar,31 dan seorang lagi penumpang kereta, Wan Aspisar Wan Abd. Kadir, 43, yang difahamkan anggota keluarga angkat kepada lima beradik itu.

Pemandu bas beserta 23 penumpang bas yang lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Abdul Marlik Hakim Johar berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuala Terengganu itu terbabas sebelum

masuk ke laluan bertentangan.

Jelas beliau, akibatnya, kereta itu bertembung dengan bas yang datang

dari arah hadapan yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke

Kuantan. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121010/dn_22/Ibu-dan-tiga-anaknya-antara-enam-maut-nahas#ixzz28xwCCDlm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Padah tak dengar cakap ibu – Metro


Padah tak dengar cakap ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Tindakan seorang remaja enggan mendengar nasihat ibunya agar tidak keluar pada waktu senja mengundang padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Pesisiran Pantai, Kuala Sungai Padang, di sini, kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila motosikal ditunggang mangsa, Mohd Faiz Chenat, 15, merempuh sebuah motosikal lain di hadapan menyebabkan dia terjatuh dan mati akibat cedera parah.
Bapa mangsa, Chenat Jusoh, 51, berkata sebelum kejadian, isterinya, Rohana Mustafa, 44, melarang Mohd Faiz keluar rumah dengan menunggang motosikal tetapi langsung tidak diendahkan.

 

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu keluar kira-kira jam 6 petang mahu bertemu rrakannya sebelum mereka dikatakan bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran.
Katanya, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati isterinya itu ternyata benar selepas anaknya maut dalam kemalangan selang beberapa minit kemudian.
“Ketika kejadian itu, saya baru pulang dari kerja mendapat panggilan telefon mengenai kejadian.

 

 

“Saya terus bergegas ke kawasan kejadian bagi melihat keadaan anak saya. Hancur luluh hati melihat Mohd Faiz sudah tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia sedih melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa dengan kecederaan parah di dada, manakala topi keledar dipakainya hancur.

 

“Meskipun kejadian ini amat mengejutkan, namun kami reda dengan pemergian arwah buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama tiga rakannya yang menunggang motosikal berasingan secara laju dipercayai merempuh sebuah motosikal lain yang membelok ke kanan.
Katanya, mangsa yang gagal mengawal motosikalnya merempuh motosikal di hadapan lalu jatuh tersembam ke atas jalan menyebabkan tulang rusuk kirinya patah.
“Mangsa maut di tempat kejadian sebelum tiga lagi rakannya melarikan diri kerana takut dengan kejadian yang menimpa rakan mereka.
“Motosikal yang dirempuh mangsa ditunggangi seorang remaja berusia 14 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini,” katanya.
Menurutnya, kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 04-9781079 bagi membantu siasatan.