Tubuh sepasang kekasih hancur digilis treler 28 tayar – Utusan


Tubuh sepasang kekasih hancur digilis treler 28 tayar

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 

PIHAK polis mengangkat bungkusan berisi cebisan mayat selepas kejadian kemalangan ngeri yang meragut nyawa sepasang kekasih di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad, Muar malam tadi. – UTUSAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 17 Sept. – Sepasang kekasih yang merancang untuk bertunang hujung tahun ini maut dalam satu kemalangan ngeri apabila digilis treler 28 tayar di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.05 malam itu, tubuh mangsa, Mohd. Azamudin Ahmad, 18, dari Parit Limbung dan teman wanitanya, Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Parit Bakar, berkecai dan tempurung kepala pecah diseret sejauh kira-kira 40 meter. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130917/je_06/Tubuh-sepasang-kekasih-hancur-digilis-treler-28-tayar#ixzz2fA0QmlG1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kematian ibu bapa bukan halangan – Utusan


Kematian ibu bapa bukan halangan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Aiman Nashriq Rozlan menunjukkan slip keputusan 8A Penilaian Menengah Rendah di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU 19 Dis. – Seorang pelajar, Aiman Nashriq Rozlan, 15, yang kematian ibu bapa serta kakak dan adik perempuan akibat kemalangan ngeri tujuh tahun lalu, berjaya mencatat kejayaan cemerlang 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra tersebut memperoleh A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Teknikal dan Pendidikan Islam.

Peristiwa menyayat hati pada 22 Mei 2005 itu yang mendapat liputan meluas akhbar telah menyebabkan Aiman Nashriq dan dua adik lelakinya, Aiman Najmi, 14, dan Muhamad Aiman Firdaus, 11, bergelar yatim piatu pada usia yang amat memerlukan belaian ibu bapa mereka.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_05/Kematian-ibu-bapa-bukan-halangan#ixzz2FYzRM6Bf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Suka jadi duka – Kosmo


Suka jadi duka

 

Oleh MAZLINDA MURTADZA
berita@kosmo.com.my

 


AZMI (kiri) melihat motosikal Suzuki RG Sport ditunggang Muhd. Ibnor Qayyum di sebelah kiri manakala motosikal Yamaha LC 135 ditunggang Hasnizahrin (kanan) yang terlibat dalam kemalangan di Kuala Pilah semalam.

 

KUALA PILAH – Kegembiraan seorang remaja yang pertama kali mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini tidak bertahan lama apabila dia maut dalam kemalangan ngeri yang melibatkan tiga buah motosikal di Kilometer 7, Batu Kikir-Kuala Pilah dekat sini semalam.

Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Muhd. Ibnor Qayyum Abu Hanafiah, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Turut maut dalam kejadian itu ialah Hasnizahrin Assar, 29.

Dua lagi rakan Muhd. Ibnor Qayyum, Muhamad Shafiz Muhd. Azman, 16, dan Mohd. Amirul Ikhmal Che Mat, 16, pula cedera parah.

Tiga sahabat itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Teknik Juasseh manakala Hasnizahrin bertugas di Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta di Seremban.

Difahamkan, tiga remaja itu dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke sekolah mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal percaya kejadian berpunca apabila Hasnizahrin yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari Kuala Pilah ke Seremban gagal memotong sebuah kereta di hadapannya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

‘Ma mana?’ – Metro


‘Ma mana?’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Ma mana?” itu soalan pertama Nursyafura Narizan, 13, mangsa yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan enam nyawa awal pagi Rabu lalu.

Nursyafura antara dua mangsa terselamat dalam kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 129.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Sekolah Kebangsaan Mempaga Beris, Kemaman, Terengganu itu.
Dalam kejadian itu, Nursyafura kehilangan ibunya, Noran Ali, 39, dan tiga adiknya iaitu Nursyazleen Narizan, 12, Nur Syardiena Narizan, sembilan tahun dan Nurkhairatul Najiha Narizan, empat tahun.

 

Dua lagi yang maut ialah pemandu kereta, Khairudi Omar, 31, dan seorang lagi penumpang, Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43.
Kakak tiri mangsa, Nursyamira Abdullah, 21, berkata adiknya itu sudah dipindahkan ke wad biasa sejak sedarkan diri Sabtu lalu selepas tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Katanya, seorang lagi adiknya, Nursakinah Narizan, 17, masih dirawat di ICU dan diberikan ubat tidur oleh doktor bagi menstabilkannya.

 

 

“Syafura ada bertanyakan mengenai keadaan ibu dan adik lain. Saya hanya mengatakan mereka semua di Hospital Kemaman (Terengganu).
“Bukan niat kami untuk menyembunyikan berita menimpa ibu dan adik, namun tidak mahu emosinya terganggu lebih-lebih lagi dia baru sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16

Rempuh lori melintang – Metro


Rempuh lori melintang
Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Saleh
am@hmetro.com.my

ROSAK…anggota polis trafik memeriksa motosikal Mohamad Fakhrulrazi yang terbabit kemalangan, semalam.
MELAKA: Seorang guru yang juga jurulatih hoki di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, dalam perjalanan pulang ke SSBP selepas menyambut hari raya bersama isteri dan mentuanya di Cheras, Kuala Lumpur.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang parah di kepala, manakala pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, patah kaki kanan kerana tersepit dalam kenderaannya, sementara empat sekeluarga yang menaiki Proton Iswara cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Rosli merempuh bahagian belakang sebuah treler sebelum lori berkenaan dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Farid.

“Dia bukan ayah saya” – Sinar Harian


“Dia bukan ayah saya”

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2012
Mohd Saiful
Mohd Saiful yang tidak dapat menahan sebak sebaik menatap mayat arwah bapanya ditenteramkan ahli keluarga.
Anggota bomba
Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat Zakaria setelah dua jam tersepit dalam kepala lori yang tertimbus dengan muatan batu selepas lori dipandu terbabas ke dal

DUNGUN – “Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati, baru pagi tadi kamu sahur bersama,” kata Mohd Saiful Zakaria, 14, yang tidak dapat menerima berita kematian bapanya, Zakaria Shapiee, 41, mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 3.30 petang di tapak kuari dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori baru mengambil batu kelikir dari kuari Sunway, Tebing Tembah, Paka untuk dibawa ke satu kawasan pembinaan di Sri Bandi, Kemaman.

Bagaimanapun, selepas memulakan perjalanan kira-kira 300 meter dari kuari terbabit, lori dipandu arwah dikatakan mengalami masalah enjin pada kotak gear lalu gagal membrek menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

Muatan batu dalam lori terbabit menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa tertimbus lalu tersepit.

Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa arwah, Saiful berkata, dia sempat bersahur bersama sebelum bapanya itu keluar dari rumahnya di Sungai Udang seawal jam 4.30 pagi.

Katanya, arwah bapanya  berjanji dengan ibunya, Suriani Mohd Adi,37, untuk berbuka puasa bersama selepas pulang dari kerja.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun itu berkata, dia menerima berita buruk itu daripada seorang jiran yang secara kebetulan bekerja di tempat sama dengan arwah bapanya.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus datang ke sini (tempat kejadian), tapi bila tengok polis bawa turun mayat dari Land Rover, saya tak percaya bahawa dia ayah saya.

“Mustahil itu adalah mayatnya kerana baru pagi tadi kami bersama, lagipun dia janji nak buka puasa bersama,” kata Saiful yang masih trauma.

Bagaimanapun suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Forensik Hospital Dungun setelah Saiful dibawa masuk untuk mengecam mayat bapanya itu.

Sebaik Saiful membuka kain putih penutup mayat, pelajar tingkatan dua itu tidak dapat menahan sebak apabila mendapati mayat yang terbujur kaku itu sebenarnya adalah insan tersayang yang kali terakhir ditemui waktu sahur sebelumnya.

Saiful yang berlari keluar dari bilik mayat dalam keadaan hiba kemudiannya ditenteramkan ahli keluarga terdekat.

Pasukan penyelamat dengan bantuan kren terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang kemudiannya berjaya dikeluarkan didapati sudah meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

Tiga naik satu motor mati dilanggar – Metro


Tiga naik satu motor mati dilanggar
LANGKAWI: “Anak saya sempat menelefon ibunya sebelum kemalangan ngeri itu, namun panggilannya terputus selepas dirempuh van berkenaan.”

Begitu kata Ridzuan Abdul Rahman, 41, bapa Nur Afipah Ainaa, 16, seorang daripada tiga pelajar yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong dalam kemalangan di simpang lampu isyarat di Kampung Padang Gaung, Langkawi, semalam.
Kejadian berlaku jam 12 tengah malam menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas van terbabit gagal mengelak motosikal dinaiki mereka yang cuba melakukan pusingan U.

Ridzuan berkata, Nur Afipah bersama rakannya, Nor Hazwani Mansor, 16, membonceng motosikal ditunggangi Yasmin Johari, 17, menghubungi isterinya, Rohana Abdul Hamid, 38, beberapa saat sebelum kejadian. “Selepas panggilan terputus, isteri saya cuba menghubunginya, namun gagal menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya.
Menurutnya, perasaan itu ternyata benar selepas dimaklumkan abang kembar Nur Afipah, Mohd Afiq Akmal, 16, bahawa adiknya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.
Ridzuan berkata, lebih memilukan apabila dia mengetahui kejadian menimpa Nur Afipah daripada Mohd Afiq Akmal sedangkan lokasi kemalangan berkenaan hanya 100 meter daripada rumah mereka di Taman Medan Berjaya di Langkawi.

Katanya, apabila mendapat tahu anaknya maut dalam kemalangan itu, dia mengalirkan air mata sejurus mengenangkan hasrat arwah mahu menghadiahkan rumah kepada mereka beberapa jam sebelum kejadian.
“Anak saya seorang periang dan terlalu rapat dengan kami termasuk kembar lelakinya yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur.

“Saya mempunyai dua anak dan selepas ketiadaannya, hanya tinggal anak lelaki yang sentiasa mengingatkan saya kepada arwah,” katanya.
Jenazah Nur Afipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kuah, manakala dua rakannya masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penghulu dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelibang, Langkawi.

Remaja maut dirempuh kereta – Metro


Remaja maut dirempuh kereta

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

KELUARGA Mohd. Faris Poh ditenangkan oleh orang ramai selepas remaja itu maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Temu, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggangi anaknya itu dirempuh sebuah kereta dan bas di Jalan Padang Temu, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Faris Poh Muhammad Fauzi Poh, 15, (gambar) ketika itu baru keluar dari sebuah kedai makan di kiri jalan tersebut.

Jurucakap polis memberitahu, sebaik sahaja mangsa keluar ke jalan raya dari arah lampu isyarat Alai menghala ke arah lampu isyarat Padang Temu, tiba-tiba dia dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

“Ekoran kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala,” kata jurucakap polis itu.

Pelajar maut digilis jentera pembajak – Metro


Pelajar maut digilis jentera pembajak

NURUL FATIHAH SULAINI
6 Mei 2012
Pelajar maut digilis jentera pembajak
Jentera pembajak . Gambar kecil: Muhammad Fariz Najmi Nurizan.

KUALA NERANG – Kemalangan tragis jentera pembajak berulang kembali dalam tempoh sembilan hari. Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menaiki jentera pembajak berakhir dengan tragedi maut setelah kepalanya digilis bilah pembajak di Kampung Kubang Palas, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Muhammad Fariz Najmi Nurizan beria-ia mahu mengikuti bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, membajak tanah sawah dengan duduk di bahagian tepi jentera kira-kira jam 10 pagi.

Ketika kejadian, Habibullah yang memandu jentera jenis Ford 6600 tidak menyedari Muhammad Fariz terjatuh dan mangsa cedera parah di kepala akibat digilis bilah pembajak.

Bagaimanapun, Habibullah hanya mengetahui kemalangan itu selepas menyedari anak saudaranya tiada di bahagian tepi sebelah kiri jentera iaitu setelah memandu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Yusof Awang, 53, memberitahu, kejadian yang berlaku amat mengejutkan seluruh keluarganya kerana mangsa maut dalam keadaan mengerikan.

“Kepalanya cedera teruk kerana dikisar bilah jentera dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas, di sini,hari ini.

Yusof berkata, kedua ibu bapa mangsa, Nurizan Halim, 46, dan Razamah Abdullah, 46, serta bapa saudara, Habibullah masih trauma dan enggan bercakap mengenai kejadian itu.

“Arwah seorang yang peramah dan kehilangannya dalam kemalangan ngeri itu memberi kesan mendalam kepada seluruh keluarga,” katanya.

Menurutnya, arwah sering mengikuti bapa saudaranya membajak tanah di sawah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dan sudah biasa menaiki jentera pembajak itu.

“Bagaimanapun, pada hari itu, mangsa dipercayai terjatuh ketika jentera baru sahaja turun dari jalan kampung ke sawah sebelum bapa saudara menyedari kemalangan berkenaan.

“Fariz yang ditemui berlumuran darah kemudian diangkat oleh bapa saudaranya ke jalan kampung sebelum mayat dibawa polis trafik ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat,”  katanya.

Menurutnya, dia diberitahu mengenai kemalangan terus ke tempat kejadian.

Bagaimanapun kedua ibu bapa mangsa tidak dibenarkan ke lokasi kerana dikhuatiri tidak sanggup melihat keadaan mangsa.

“Mangsa menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi pendiam kira-kira seminggu sebelum kejadian,” katanya.

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersekolah di Sekolah Rendah Kubang Palas, di sini dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kubang Palas, pada petang hari kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ku Yaacob Ku Hamad memberitahu, polis mengambil keterangan pemandu jentera pembajak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 26 April lalu, seorang peniaga pasar malam, Mohd Hishamudin Yusof, 22, meninggal dunia sewaktu membantu bapanya mengeluarkan jentera pembajak dari bawah rumah, maut setelah badan tersepit antara mesin berkenaan dengan lantai rumah neneknya di Batu Lapan, Simpang Empat, Alor Setar.

Arwah anak mahu beli alat sekolah – Metro


Arwah anak mahu beli alat sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: Hasrat seorang pelajar mahu membeli krim pencuci muka tidak kesampaian apabila mangsa, Ahmad Faizal Ahmad Termizi, 16, turut maut dalam kemalangan ngeri itu.

Ibu mangsa, Siti Khatijah Abd Kader, 47, berkata, anaknya yang menuntut dalam tingkatan tiga ada menyatakan keinginan mahu membeli krim pencuci muka selain peralatan sekolah bagi menyambut sesi baru persekolahan Rabu ini.
Menurutnya, anaknya itu meminta kebenaran untuk ke bandar Manjung bagi membeli perkakas sekolah kira-kira jam 2 petang kelmarin bersama kumpulan rakan karibnya itu.

 

Dia tidak menyangka sesuatu buruk berlaku hanya sempat memberikan wang sambil meminta anaknya itu pulang awal ke rumah.
“Namun, saya hanya mengetahui kejadian nahas kira-kira jam 11 malam apabila dimaklumkan jiran tetangga ketika ingin tidur.
“Jantung saya hampir gugur apabila dimaklumkan anak saya mati akibat kemalangan ngeri itu,” katanya sambil menitiskan air mata.

 

 

Sementara itu, saksi kejadian yang juga pemandu kereta Honda Civic di belakang kenderaan dinaiki semua mangsa mendakwa tergamam apabila melihat mangsa melayang tercampak di depan matanya.
Saksi itu yang mahu dikenali sebagai Osman, 39, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Lekir selepas menghadiri jamuan di Teluk Senangin, di sini.

 

“Sebaik kemalangan berlaku membabitkan MPV di depan mata, saya sempat melihat seorang mangsa melayang jatuh di atas kereta saya,” katanya.