Tusukan ‘handle’ bawa maut – Sinar Harian


Tusukan ‘handle’ bawa maut

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
8 Julai 2013
Tusukan 'handle' bawa maut
Keluarga Linkeswar meratapi pemergian mendiang setelah maut dalam kemalangan di Jalan Sekolah, Parit Buntar kelmarin

PARIT BUNTAR – Tusukan ‘handle’ motosikal ke dada menamatkan impian seorang pelajar untuk menjadi atlet karate-do apabila dia maut dalam satu kemalangan di Jalan Sekolah, di sini petang kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 4.45 petang dan ketika kejadian, mangsa, V Linkeswar, 17 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kerian Permai menaiki motosikal milik ayahnya.

Mangsa yang baru pulang dari rumah kawannya ketika itu terbabas ketika melalui satu selekoh di lokasi kemalangan dan terjatuh dari motosikal berkenaan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman memaklumkan, dia menyedari seorang remaja (mangsa) ditimpa motosikal ketika melalui lokasi kejadian.

Menurutnya, dia bersama beberapa orang awam segera mendekati kawasan berkenaan untuk melihat keadaan remaja terbabit dan mendapati mangsa cedera parah kerana dadanya tertusuk ‘handle’ motosikal berkenaan.

“Selain cedera parah di dada, mangsa juga mengalami kecederaan pada kaki. Kami bawa dia ke Hospital Parit Buntar dengan segera selepas menyedari keadaan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Sementara itu, bapa mangsa, P Vellayutham, 50, memberitahu, anaknya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Kerian disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 petang.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan teruk pada dada serta kaki dan gagal diselamatkan oleh pihak hospital.

“Doktor sahkan punca kematiannya adalah kerana kehilangan banyak darah akibat kecederaan parah pada dada. Kematiannya memang dirasai kami sekeluarga kerana Linkeswar adalah anak yang baik.

“Dia seorang yang suka berdikari serta sanggup kerja separuh masa di sebuah pasar raya untuk membantu kami sekeluarga. Lebih memilukan, Linkeswar pernah luahkan impiannya mahu jadi atlet karate-do suatu hari nanti,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

Tahap keselamatan pelajar terjamin – Sinar Harian


Tahap keselamatan pelajar terjamin

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN DAN NURUL ZAILA MOHD TAHIR
13 Januari 2013
Tahap keselamatan pelajar terjamin
Pemandu perlu memandu perlahan jika terdapat pelajar sedang melintas jalan.

KUANTAN – Kebimbangan sesetengah pihak berhubung aspek keselamatan  pelajar  ketika berulang alik ke sekolah di sini dilihat bukan satu isu yang perlu diperbesarkan kerana situasinya masih selamat dan sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa.

Keyakinan itu berdasarkan  situasi semasa yang terkawal dan tiada laporan berhubung kejadian yang boleh dikaitkan dengan isu tersebut kecuali kes-kes terpencil yang tidak begitu serius.

Bagaimana pun, isu itu perlu diberi perhatian kerana pengabaian aspek keselamatan  boleh mengundang pelbagai risiko termasuk kemalangan, jenayah dan sebagainya.

Kesedaran berhubung aspek keselamatan ini perlu diterapkan  kepada murid atau pelajar secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat  khususnya semasa  dalam perjalanan pergi balik  sekolah.

Usaha itu perlu digembleng bersama oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat secara amnya.

Adun Teruntum,  Datuk Chang Hong Seong ketika ditanya berhubung isu itu,  beliau jarang menerima aduan atau laporan berhubung  kebimbangan ibu bapa atau pihak sekolah berhubung tahap keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah.

Menurutnya, sebagai ibu bapa, mereka memang mengambil berat aspek ini dan tidak akan sesekali mengabaikan keselamatan anak-anak.

“Bagaimana pun dalam sesetengah kes yang berlaku terutama kejadian kemalangan melibatkan pelajar, ibu bapa mungkin terlepas pandang beberapa aspek yang akhirnya membawa musibah kepada anak-anak mereka.

“Pada saya, ibu bapa perlu mengutamakan aspek keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah sama ada  yang menggunakan  perkhidmatan bas atau van sekolah, kenderaan sendiri, bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki,” katanya.

Menurutnya, paling baik, ibu bapa menghantar sendiri anak-anak ke sekolah atau menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah berdaftar.

“Secara peribadinya saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal atau berbasikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal.

“Selain melibatkan isu keselamatan, ia juga satu bentuk pelanggaran peraturan jalan raya jika anak-anak yang dibenarkan menunggang itu tiada lesen memandu yang sah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimana pun ibu bapa mungkin ada jawapan tersendiri namun pada masa yang sama mereka perlu memantau supaya anak-anak mereka tidak menyalah guna kemudahan yang diberikan.

Pemandu langgar motor dipukul, van dibakar – Metro


Pemandu langgar motor dipukul, van dibakar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Seorang pemandu cedera dibelasah manakala van miliknya dibakar penduduk yang menyerangnya selepas berlaku kemalangan di antara van yang dipandunya dengan sebuah motosikal dinaiki dua remaja di Jalan Pekaka, di Kota Damansara, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, seorang remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal berkenaan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, manakala seorang lagi berusia 15 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pemandu van berusia 21 tahun terbabit diserang lebih 10 penduduk yang salah faham dengan menyalahkan mangsa kerana dikatakan mengakibatkan kemalangan berkenaan.

 

“Hasil siasatan polis mendapati, ketiga-tiga individu terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan itu bersifat biasa. “Tindakan penduduk menyerang serta membakar van mangsa keterlaluan dan menyalahi undang-undang,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08

Kanak-kanak maut dalam kemalangan di Ipoh – Bernama


Kanak-kanak maut dalam kemalangan di Ipoh

2012/02/14

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh selepas kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Chemor dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mangsa, R Valermarthy, berasal dari Kampung Benggali, Chemor, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku jam 12 tengah malam ketika kedua-duanya dalam perjalanan dari bandaraya ini menuju rumah bertembung dengan sebuah kereta lain, katanya ketika di hubungi, hari ini.

Azisman berkata, mangsa duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang ketika kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala bapanya dan pemandu kereta lain hanya cedera ringan. – BERNAMA

Remaja terbunuh motosikal bertembung dengan guru – Utusan


Remaja terbunuh motosikal bertembung dengan guru

SAMARAHAN 7 Feb. – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang seorang guru di Kampung Jemukan Ulu dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Hamizi Ba’iee, 19, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala guru berkenaan, Khanafi Khamis cedera ringan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd. Hamizi dalam perjalanan ke sekolahnya yang terletak di kawasan berdekatan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad, setibanya di lokasi, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Khanafi.

“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong, Simunjan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

3 remaja maut libatkan kemalangan 5 motosikal – Bernama


3 remaja maut libatkan kemalangan 5 motosikal

5 Februari 2012

JASIN – Tiga remaja maut dalam kemalangan melibatkan lima motosikal di Kilmeter 32 Jalan Kesang di sini, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia termasuk seorang pelajar sekolah menengah, Zafran Zainudin, 17, dari Kampung Air Baruk Jasin, manakala dua lagi Muhammad Nazri Musa, 18, dari tempat yang sama dan Muhammad Firdaus Ibrahim, 19, dari Kampung Air Panas, Bemban.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Che Suza Che Hitam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu motosikal yang dinaiki Muhammad Firdaus dari arah Jasin menuju Jalan Kesang hilang kawalan, lalu memasuki lorong bertentangan dan merempuh empat lagi motosikal yang datang dari hadapan.

“Kemalangan itu menyebabkan berlakunya rempuhan kuat menyebabkan dua daripada mangsa tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Jasin,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, dua mayat di tempat kejadian dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat manakala dua lain yang cedera masih dirawat di hospital itu.  – Bernama