Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan – mStar


Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan

Oleh ISABELLE LAI

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sudah boleh menjangkakan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai pada minggu pertama sesi persekolahan tahun ini manakala Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan nasihat hujan dari peringkat kuning ke amaran hujan peringkat jingga pada Isnin berkata, hujan lebat dan sekejap-sekejap akan berlaku di Dunggun dan Kemaman, Terengganu manakala Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

“Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan rendah,” katanya dalam laman web jabatan itu.

Kawasan yang turut akan terjejas akibat hujan lebat (peringkat kuning) adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu); Perlis (Padang Besar, Kangar and Arau); Kedah (Baling, Sik, Kubang Pasu dan Padang Terap); dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

“Malaysia mengalami monsun timur laut sejak Oktober dan ia dijangka berterusan sehingga awal Mac,” katanya.

Ribut petir dijangka berlaku sepanjang minggu di Selangor dan Kuala Lumpur manakala hujan renyai-renyai turut berlaku di negeri lain.

Sementara itu, jumlah manga banjir di pusat pemindahan di Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun kepada 192 pada pukul 6 petang, Selasa berbanding 3,171 pada Isinin.

Laman web Majlis Keselamatan Negara (portalbanjir.mkn.gov.my) melaporkan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir di Pasir Puteh, Kelantan, Besut dan Hulu Terengganu.

16 batang jalan di Terengganu masih ditutup ekoran banjir dan dua jalan di Hulu Langat, Selangor ditutup ekoran tanah runtuh.

Bencana banjir sehingga kini meragut enam nyawa di Terengganu manakala satu di Negeri Sembilan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi mengumumkan sekurang-kurangnya 20,000 askar berada dalam keadaan sedia untuk menawarkan bantuan jika gelombang banjir kedua berlaku.

‘Ma mana?’ – Metro


‘Ma mana?’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Ma mana?” itu soalan pertama Nursyafura Narizan, 13, mangsa yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan enam nyawa awal pagi Rabu lalu.

Nursyafura antara dua mangsa terselamat dalam kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 129.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Sekolah Kebangsaan Mempaga Beris, Kemaman, Terengganu itu.
Dalam kejadian itu, Nursyafura kehilangan ibunya, Noran Ali, 39, dan tiga adiknya iaitu Nursyazleen Narizan, 12, Nur Syardiena Narizan, sembilan tahun dan Nurkhairatul Najiha Narizan, empat tahun.

 

Dua lagi yang maut ialah pemandu kereta, Khairudi Omar, 31, dan seorang lagi penumpang, Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43.
Kakak tiri mangsa, Nursyamira Abdullah, 21, berkata adiknya itu sudah dipindahkan ke wad biasa sejak sedarkan diri Sabtu lalu selepas tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Katanya, seorang lagi adiknya, Nursakinah Narizan, 17, masih dirawat di ICU dan diberikan ubat tidur oleh doktor bagi menstabilkannya.

 

 

“Syafura ada bertanyakan mengenai keadaan ibu dan adik lain. Saya hanya mengatakan mereka semua di Hospital Kemaman (Terengganu).
“Bukan niat kami untuk menyembunyikan berita menimpa ibu dan adik, namun tidak mahu emosinya terganggu lebih-lebih lagi dia baru sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16

Enam maut dalam kemalangan ngeri – Utusan


Enam maut dalam kemalangan ngeri

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

Orang ramai menunaikan solat jenazah empat beranak yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Surau Haji Yaacob Gong Pauh, Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor

KEMAMAN 10 Okt. – Seorang suami bukan sahaja kehilangan isteri malah tiga anaknya sekali gus dalam kemalangan yang mengorbankan enam nyawa di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Meraga Beris awal pagi ini.

Lebih memilukan bagi Norizan Othman, 49, dua lagi anaknya turut berada dalam keadaan kritikal akibat kemalangan yang melibatkan kereta Perodua Viva dan sebuah bas ekspres itu.

Mangsa yang terbunuh adalah isteri Norizan, Noran Ali, 39, dan anaknya, Nursyazleen, 12, Nur Syardiena, 9, dan Nurkhairatul Najiha, 4.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121011/je_01/Enam-maut-dalam-kemalangan-ngeri#ixzz28xvRbb8M
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pulang selepas 3 bulan hilang – Metro


Pulang selepas 3 bulan hilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dilapor hilang dari dari rumahnya di Taman Saujana Bukit Katil, Melaka, sejak sejak 21 Ogos lalu, pulang ke pangkuan keluarganya selepas berita kehilangannya disiarkan akhbar Metro Ahad, kelmarin.

Bapa remaja itu, Dzuliloniny Abu Samah, 54, berkata, anaknya Khadijah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bau, Melaka pulang ke rumah neneknya di Balok, di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam, selepas kira-kira tiga bulan menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelakinya berusia lingkungan 20 tahun yang menetap di Felda Neram, Kemaman, Terengganu.
Dzuliloniny yang bekerja sebagai pembantu perangkaan di Melaka, berkata dia berterima kasih kepada akhbar ini kerana dengan bantuan itu, Khadijah yang lebih mesra dipanggil ‘adik’ akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya hanya selepas sehari berita itu disiarkan.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09

Terperosok bawah bas – Metro


Terperosok bawah bas
Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: “Saya mengucap dua kalimah syahadah apabila bas berhenti sebelum turun dan mendapati dua orang tersepit dan terperosok di bawah bas,” kata pemandu bas ekspres, Kamarudin Ibrahim, 48, dalam kemalangan ngeri membabitkan kenderaan dipandunya dengan sebuah kereta di Kilometer 37 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Baging, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi, bas ekspres membawa 25 penumpang dipandunya dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan, dirempuh kereta dinaiki dua remaja, menyebabkan kedua-duanya terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Mayat pemandu Perodua Viva berkenaan, Che Wan Muhammad Hafizuddin Che Wan Abdullah, 17, dari Kampung Titian Berayung, Kijal, Terengganu hanya dapat dikeluarkan empat jam selepas kejadian apabila tersepit di bawah enjin keretanya yang tercabut yang terperosok di bahagian depan bawah bas.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shafawie Ismail, 16, dari Kampung Penunjuk Kijal, Kemaman, Terengganu, tersepit di tempat duduk bahagian depan yang juga terperosok di bawah bas berkenaan.
Kamarudin ketika ditemui berkata, dia bertolak dari Terminal Makmur, di sini, pada jam 1 pagi, namun ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba dia perasan sebuah kenderaan terbabas ke laluan bertentangan dipercayai mengelak lopak air sebelum merempuh bas ekspres dipandunya.
“Pada mulanya saya sangka kenderaan itu adalah motosikal kerana hanya sebelah lampu menyala… lampu sebelah kanan.

“Saya sedaya upaya mengelak dengan memulas stereng bas ke kiri jalan, namun tidak berdaya kerana ‘motosikal’ itu meluru laju dan terus merempuh saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, pagi semalam.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terseret di bawah bas kira-kira 20 meter sebelum kedua-dua kenderaan berhenti di pembahagi jalan.

“Ketika rempuhan itu, saya sekuat hati berpaut pada stereng bas dan sehabis kudrat menekan brek untuk memberhentikan kenderaan.
“Jika tidak memegang kuat stereng, saya kemungkinan besar akan tercampak ke depan memandangkan cermin bas juga pecah,” katanya yang tinggal di Cenderawasih, di sini.
Bapa tiga anak itu berkata, selama 14 tahun pengalamannya memandu bas ekspres, itu kejadian pertama menimpanya.
“Sebelum bertolak saya memang sudah rasa tidak sedap hati ketika berbuka bersama keluarga di rumah.
“Biasanya, saya akan menjamah nasi ketika berbuka namun tidak berbuat demikian petang semalam (kelmarin) menyebabkan isteri menegur.
“Saya hanya minum air dan termenung sebelum menunaikan solat Maghrib dan makan sedikit nasi selepas itu,” katanya yang bersyukur kerana terselamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan terbabas ke laluan bertentangan selepas mengelak lopak air.