PKRM port lepak remaja siber – Sinar Harian


PKRM port lepak remaja siber
NURLIZA ELAMI
15 Ogos 2012

Pelbagai aktiviti berfaedah turut diadakan di PKRM.
Sempena musim cuti sekolah, pelbagai aktiviti dan percutian dirancang ibu bapa untuk memastikan masa terluang anak mereka tidak dibazirkan begitu sahaja khususnya untuk anak remaja yang ‘panjang kaki’. Ini kerana majoritinya lebih cenderung untuk menghabiskan masa di pusat siber atau kafe internet bersama rakan.

Kegilaan terhadap pelbagai aplikasi internet pada masa kini membuatkan anak remaja semakin ligat menghabiskan masa di hadapan komputer di kafe siber. Dengan suasana persekitaran yang agak suram, ia membuatkan hati ibu bapa gentar, tambahan pula kegiatan ini turut menuntut sejumlah wang dibelanjakan bagi melayari internet.

Namun kini ibu bapa di sekitar Guar Cempedak, Jerai, Kedah tidak perlu risau lagi tentang langkah anak mereka sejurus bangun dari tidur kerana kerajaan prihatin dengan permasalahan ini dan telah mewujudkan pusat sehenti untuk melengkapkan gaya hidup rakan muda remaja siber di Pusat Kegiatan Rakan Muda (PKRM).
150 pengguna sebulan

Penyelia PKRM Parlimen Jerai, Nurul Hidayah Shamsudin, 23, berkata, PKRM Parlimen Jerai ditubuhkan sejak 2009 setelah Program Rakan Muda Remaja Siber dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri pada masa itu, Datin Seri Jeanne Abdullah pada 29 Jun 2008 di One Utama Damansara.

Menurutnya, PKRM memberikan ruang kepada remaja mendapatkan khidmat dan menggunakan kemudahan ICT secara percuma dalam usaha melahirkan generasi muda celik teknologi maklumat (IT) di semua peringkat.

“Kumpulan sasaran adalah remaja berumur 15 hingga 25 tahun dan matlamat Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk mewujudkan satu parlimen satu pusat siber di setiap PKRM. Seperti di Jerai, PKRM menerima kunjungan remaja seramai 150 dalam sebulan, iaitu purata 12 remaja dalam sehari,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, pihaknya berharap lebih ramai remaja mengunjungi PKRM yang terletak di Tingkat 3, Lot 5B, Bangunan Tabung Haji, Jalan Besar, Guar Chempedak dan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari kecuali Ahad, demi merealisasikan matlamat penubuhannya iaitu menjadi rakan siber kepada remaja.
Tambah aplikasi

Bagi Mohamed Ali SMA Mansoor, 17, menghabiskan masa hampir seharian di PKRM adalah menjadi rutin hariannya ketika cuti sekolah. Ini kerana dapat mengakses internet secara percuma dan melayarinya secara sihat tanpa gangguan sebagaimana di pusat siber atau kafe internet di luar.

Namun katanya, dia berharap PKRM dapat meningkatkan aplikasi seperti menambah kelajuan capaian internet dan peralatan lain seperti headphone dan komputer bagi menampung jumlah keperluannya.

“Saya juga mempunyai Kad Rakan Muda dan saya dapat mengetahui mengenai perkembangan serta aktiviti Kelab Rakan Muda (KRM) setiap kali saya mengunjungi PKRM.

“Ibu bapa saya pun tidak risau lagi memikirkan ke mana saya pergi dan apa yang dilakukan. Ini kerana sememangnya saya sering menghabiskan masa di PKRM dengan pelbagai aktiviti selain melayari internet,” katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Rakan Muda Jerai, Md Asri Saad Muhammad, 19, berkata, PKRM juga sering dikunjungi pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan tugas yang diberikan pensyarah dengan aplikasi IT yang disediakan di PKRM.

Menurutnya, pelajar IPT sering memilih untuk mengunjungi PKRM kerana lebih mudah mengakses Internet secara percuma untuk melengkapkan tugasan mereka di samping perkhidmatan tambahan yang lebih murah dan menjimatkan.

“Di sini, kami turut menyediakan perkhidmatan percetakan dengan kos yang lebih murah dan ini telah menyebabkan ramai pelajar IPT tertarik untuk datang ke PKRM untuk menyempurnakan tugasan mereka.

“Kewujudan PKRM juga dapat membendung masalah lepak atau kegiatan tidak berfaedah dalam kalangan remaja kerana PKRM menyediakan persekitaran lebih baik dari kafe internet dan pusat siber berbayar di luar sana,” katanya.

Md Asri Saad berkata, PKRM juga dapat membangunkan modal insan yang menjurus kepada peningkatan penggunaan ICT dalam komunikasi dan mendapatkan maklumat secara maya, cepat dan tepat.

Rebat cukai hantar anak kelas sukan – Bernama


Rebat cukai hantar anak kelas sukan

3 Ogos 2012

$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – Kementerian Belia dan Sukan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan insentif seperti pelepasan cukai dan rebat cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke kelas sukan.

Timbalan Menterinya, Gan Ping Sieu berkata insentif itu bagi menggalakkan budaya sukan di kalangan kanak-kanak serta remaja sekaligus dapat memupuk gaya hidup sihat.

“Perkara ini akan dimajukan kepada kabinet untuk diteliti dan kementerian melihatnya sebagai satu usaha untuk menggalak ibu bapa menghantar anak mereka terbabit dalam bidang sukan.

“Insentif ini juga wajar memandangkan sesetengah sukan memerlukan kos yang agak besar antara RM800 hingga RM1,000 sebulan,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Antarabangsa SP Setia 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu juga telah mendapat persetujuan dalam perbincangan dengan lapan agensi berkaitan kementerian itu baru-baru ini sebelum dihantar untuk penelitian Kementerian Kewangan.

Julai lepas, Ping Sieu turut memaklumkan kerajaan akan membantu pengusaha pusat sukan untuk membangunkan venue mereka melalui pemberian insentif yang sama bertujuan membantu pihak swasta membina lebih banyak pusat sukan.

Sementara itu, 17 pasukan termasuk enam dari Macau, China, Indonesia, Singapura, Chinese Taipei dan Filipina mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$4,700.
Kejohanan itu diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini. – Bernama

‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini – Bernama


‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini
KUALA LUMPUR: ‘Janji Ditepati’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

“Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini Isnin, Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.

Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia.

Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.

Pada 17 Julai, perdana menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak, kata Rais.

Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain turut disusun.

Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 itu.

“Para pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai, setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik dan pentadbiran masing-masing,” katanya.

“Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu,” katanya. – BERNAMA