Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah – Bernama


Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah

2012/05/25

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian keracunan makanan membabitkan 44 murid SRJK (C) Lok Yuk, Menggatal dekat sini yang dilapor mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat pada waktu rehat, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kejadian itu disyaki berpunca daripada pengambilan susu UHT berjenama Mat Pintar yang diedar di bawah program susu kerajaan negeri Sabah.

“Sampel sudah diambil untuk analisis, dan sebagai langkah pencegahan, kementerian telah menarik balik semua baki stok susu UHT di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosnah berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan mengenai perkara itu pada 20 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan untuk kejadian sama yang membabitkan lapan murid SK St Francis Convent, Kota Kinabalu.

“Kementerian Kesihatan turut menarik balik semua baki stok UHT di sekolah itu,” katanya.

Rosnah berkata, pejabat Pelajaran Kota Kinabalu dimaklumkan supaya susu UHT tidak diedar kepada murid di sekolah terbabit buat sementara waktu.
– BERNAMA