Pinjaman perumahan: CUEPACS mahu rundingan dengan bank – Bernama


Pinjaman perumahan: CUEPACS mahu rundingan dengan bank

2012/10/09 – 12:37:59 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhasrat mengadakan rundingan secara komprehensif dengan institusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng dalam kenyataan hari ini berkata, rundingan itu, yang tidak dinyatakan tarikhnya, adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.

“Kebimbangan pekerja adalah syarat-syarat pinjaman perumahan yang dikenakan institusi kewangan lebih ketat dan fokus kepada keuntungan.

“Manakala kerajaan yang sebelum ini menguruskan pinjaman itu lebih memberi keutamaan dengan membantu pekerja memperoleh rumah dengan tidak membebankan dan menyusahkan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Kerajaan, dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, mencadangkan bahawa Skim Pinjaman Perumahan Sektor Awam yang diuruskan Bahagian Pinjaman Perumahan, akan dipinda ke bank-bank, untuk menguruskan semua pinjaman itu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, setakat ini empat bank komersil terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam. – BERNAMA

Cuepacs mahu teliti syarat bank untuk skim pinjaman perumahan – Bernama


Cuepacs mahu teliti syarat bank untuk skim pinjaman perumahan

4 Oktober 2012
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

GEORGE TOWN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meneliti terlebih dahulu terma dan syarat oleh insitusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam sebelum bersetuju dengan skim itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pelbagai perkara berkenaan skim itu perlu diteliti secara menyeluruh supaya penjawat awam tidak terbeban dengan pinjaman perumahan.

“Dulu kita pinjam melalui kerajaan, sekarang 100 peratus perlu berurusan dengan bank, jadi kita akan teliti semua aspek seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank kerana kita tidak mahu ada masalah dikemudian hari,” katanya kepada pemberita selepas menyertai seminar Merakyatkan Sektor Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Beliau berkata Cuepacs mahukan institusi kewangan terpilih yang menguruskan skim pinjaman perumahan itu memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar pendahuluan 10 atau 20 peratus dan rumah berkenaan perlu disiapkan sepenuhnya sebelum dijual.

Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata setakat ini empat bank komersil terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

Omar berkata Cuepacs juga menggesa kerajaan mengkaji semula kadar faedah sebanyak empat peratus kerana ia adalah terlalu tinggi bagi penjawat awam yang berkhidmat kurang dari 10 tahun dan bergaji di bawah RM3,000.

Beliau berkata kadar itu tidak lagi relevan kerana harga rumah semakin melambung tinggi pada masa ini.

Kerajaan juga harus berusaha memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam di kawasan Lembah Klang dengan jarak antara 50 hingga 70 kilometer dari tempat kerja bagi memudahkan mereka berulang-alik, katanya. – Bernama

Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa – Utusan


Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Pembayaran gaji di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat setelah semakan semula mengenainya dimuktamadkan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan, pembayaran pelarasan gaji itu akan dibuat dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012.

“Bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi bulan Januari 2012 di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari tahun ini.

“Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari ini juga tidak dapat dilaksanakan dan akan dibayar mengikut gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM),” jelas kenyataan itu.

Gaji baru: Kerajaan juga ada kekangan, kata KSN – Bernama


Gaji baru: Kerajaan juga ada kekangan, kata KSN

January 18, 2012

PUTRAJAYA – Wakil persatuan dan kesatuan sekerja yang mewakili skim perkhidmatan tertentu serta pihak lain yang berkaitan, akan dijemput dalam perbincangan pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan petugas itu juga akan berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang dibangkitkan.

“Namun demikian diingatkan bahawa kerajaan juga mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada anggota pasukan itu di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin dengan aduan dan rungutan orang ramai termasuk penjawat awam, dan bersedia mendengar serta menelitinya untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd Sidek berkata, beliau yakin dengan kemampuan pengerusi pasukan petugas berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam yang berpengalaman luas.

“Sudah tentu semua hasrat dan permasalahan akan didengari, ia termasuklah  hasrat penjawat awam peringkat tinggi dan juga peringkat rendah.

“Tetapi apa yang penting di sini ialah produktiviti, jika ada kenaikan gaji, maka haruslah ada juga peningkatan produktiviti,” katanya.

Pada majlis itu, sepuluh anggota pasukan petugas tersebut menerima watikah pelantikan masing-masing dengan didahului pengerusinya, diikuti Timbalan Ketua

Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Farida Mohd Ali serta Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Datuk Nozirah Bahari, Pengarah Pembangunan Organisasi JPA Datuk

Basaruddin Sadali, Pengarah Saraan JPA Raja Noor Zaedah Raja Ahmad dan Pengarah Perkhidmatan JPA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Pasukan itu turut dianggotai Timbalan Pengarah Belanjawan (Dasar) Bahagian Pengurusan Belanjawan Kementerian Kewangan K. Givananadam, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan Kementerian Kewangan Hazanah A. Bakar serta Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman. – Bernama

Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP – Bernama


Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP

January 16, 2012

 PUTRAJAYA –  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

“Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan  Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

“Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam,” katanya. – Bernama

Bayaran gaji Januari berdasarkan SSM – Bernama


Bayaran gaji Januari berdasarkan SSM

2012/01/09

KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Januari ini.

“Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari 2012,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari. – BERNAMA