Kementerian Pelajaran diminta atasi kekurangan guru di pedalaman Kelantan – Bernama


Kementerian Pelajaran diminta atasi kekurangan guru di pedalaman Kelantan

 

GUA MUSANG 26 Mac – Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta Kementerian Pelajaran melihat isu kekurangan guru di sekolah-sekolah pedalaman di Kelantan bagi mengelak prestasi pelajar terjejas.

Katanya, masalah itu harus ditangani segera selaras dengan usaha kerajaan mahu memastikan pencapaian anak luar bandar setanding dengan yang di bandar.

“Kita faham dengan luahan ibu bapa mengenai masalah tidak cukup guru itu dan saya akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Pelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sungai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah membina banyak sekolah di pedalaman, sama ada sekolah rendah atau menengah, untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar luar bandar yang sebelum ini sukar bersaing dengan pelajar di kawasan bandar.

“Sekarang kita telah nampak kemajuan yang dicapai pelajar sekolah luar bandar hingga semakin ramai mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pembelian buku bagi perpustakaan sekolah itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130326/dn_27/Kementerian-Pelajaran-diminta-atasi-kekurangan-guru-di-pedalaman-Kelantan#ixzz2OcWEv6lP
© Utusan Melayu (M) Bhd