SMK Sri Sentosa Diarah Alih CCTV – mStar


SMK Sri Sentosa Diarah Alih CCTV

Oleh KANG SOON CHEN

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran telah mengarahkan SMK Sri Sentosa di Kuchai Lama untuk mengalihkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tandas sekolah.

Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh berkata adalah tidak sesuai CCTV dipasang di tandas.

Sekolah ini menjadi kontroversi baru-baru ini berhubung kamera yang dipasang kononnya untuk membanteras vandalisme di kalangan pelajar.

Keputusan SPM: Seramai 15,793 calon dapat semua A – Utusan


Keputusan SPM: Seramai 15,793 calon dapat semua A

PUTRAJAYA 21 Mac – Seramai 15,793 daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, jumlah itu melibatkan seramai 13,721 calon sekolah Kementerian Pelajaran dan 2,072 calon sekolah bukan di bawah kementerian.

“Di samping itu, seramai 481 calon iaitu 438 calon sekolah kementerian dan 43 calon sekolah bukan kementerian telah berjaya memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2012 di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130321/dn_23/Keputusan-SPM-Seramai-15793-calon-dapat-semua-A#ixzz2O9qXq49k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keputusan SPM diumum Khamis ini – Bernama


Keputusan SPM diumum Khamis ini

15 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumum pada Khamis ini, dan calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, keputusan calon persendirian akan dimaklum melalui pos.

Calon SPM 2012 juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini, dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Mac,” katanya.

Sementara itu, pengumuman analisis keputusan SPM akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 9 pagi hari yang sama.

Peperiksaan bertulis SPM diadakan dari 5 Nov hingga 6 Dis tahun lepas dengan seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat di seluruh negara. – Bernama

GAGASAN sokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris – Bernama


GAGASAN sokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris

2013/03/13 – 15:42:14 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) menyokong penuh cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Setiausaha GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad, berkata menerusi langkah itu, pelajar akan lebih serius dan bersungguh-sungguh memberi tumpuan kepada pembelajaran bahasa berkenaan.

Katanya, GAGASAN berpendapat syarat baru itu bukan bermakna berlakunya peminggiran Bahasa Melayu, tetapi sebenarnya akan mempercepatkan lagi hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencapai matlamat memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Menerusi e-mel kepada Bernama di sini, hari ini, Syed Anuar berkata ini amat perlu untuk memastikan generasi akan datang dapat bersaing di persada antarabangsa.

Syed Anuar berkata, GAGASAN menaruh keyakinan tinggi Kementerian Pelajaran akan dapat memastikan persiapan rapi dilakukan seperti penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan mencukupi serta kemudahan pembelajaran lengkap termasuk memperkasakan makmal Bahasa Inggeris di sekolah.

Katanya, GAGASAN mencadangkan supaya guru pakar Bahasa Inggeris yang sudah bersara dibabitkan secara besar-besaran dan bersungguh-sungguh bagi membantu pelajar menguasai bahasa antarabangsa itu.

Beliau berkata, tumpuan khusus hendaklah diberi kepada pelajar tingkatan dua sekarang, kumpulan pertama yang akan terlibat dengan cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris SPM pada 2016.
– BERNAMA

Kementerian Pelajaran diminta kaji semula silibus PBS – Utusan


Kementerian Pelajaran diminta kaji semula silibus PBS

Oleh YATIMIN ABDULLAH

HASHIM Adnan (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas, Nik Mehamad Omar di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Feb. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana mereka berasakan ia tidak bersesuaian dengan jumlah masa yang diperuntukkan mengikut jadual persekolahan di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, gesaan tersebut dibuat selepas pihaknya mendapat maklum balas daripada orang ramai terutamanya warga pendidik dan ibu bapa.

“Perkara ini perlu diambil serius kerana guru akan terbeban dengan jadual persekolahan yang tidak dapat menampung jumlah silibus yang banyak untuk setiap mata pelajaran dan sekali gus ianya memberi kesan buruk kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan NUTP sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130224/dn_28/Kementerian-Pelajaran-diminta-kaji-semula-silibus-PBS#ixzz2Lu5bopk3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dedah pelajar kepada isu pengguna – Kosmo


Dedah pelajar kepada isu pengguna

BERA – Program celik kesedaran mengenai hak kepenggunaan untuk golongan kanak-kanak, Kids@Kepenggunaan, diteruskan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32 di sini bakal menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung esok.

Program itu yang akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9.30 pagi dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 pelajar.

Pengurus program, Leny Harlina Agus Sharif berkata, Kid@Kepenggunaan menggunakan pendekatan santai dan informatif sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Matlamat utama program ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna mendapat pembelaan jika ditipu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Program Kids@Kepenggunaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran.

Leny berkata, program itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, ceramah kepenggunaan serta nasihat dan perkongsian pengalaman daripada artis-artis jemputan iaitu Dafi, Fauziah Gambus dan Zoey.

“Mereka bukan sahaja akan menghiburkan peserta program tetapi juga berkongsi pengalaman mengenai cetak rompak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2LgI0nc9U
Hakcipta terpelihara

Program galak ibu bapa aktif aktiviti sekolah – Berita Harian


Program galak ibu bapa aktif aktiviti sekolah

2013/02/21 – 04:34:27 AMCetakEmel Kawan
Putrajaya: Pembabitan ibu bapa di sekolah akan diukur sebanyak tiga kali setahun bermula Mac ini menerusi program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, berkata program itu yang menetapkan segala maklumat dikumpul setiap akhir Mac, Julai dan Oktober, turut membabitkan ibu bapa dalam penilaian akademik dan kokurikulum anak mereka.

Beliau berkata, pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak ketika di sekolah dan luar sekolah, penting bagi memastikan apa yang dirancang kerajaan mencapai sasaran.

Ambil tahu perkembangan anak

“Pengumpulan data mengenai pembabitan mereka di sekolah antara cara kementerian menggalakkan ibu bapa untuk lebih aktif dalam membimbing dan mengambil tahu perkembangan anak. Data terkumpul akan dinilai akhir November dan pihak sekolah akan mengenal pasti tanda aras tertentu bagi mengukur peratusan atau markah perlu dicapai ibu bapa,” katanya.

Program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah antara empat agenda penting akan dipantau pencapaiannya dalam sasaran 100 hari sejak 1 Januari lalu. Melalui program itu, kementerian menyediakan bimbingan lebih mantap dan khusus bagaimana sekolah boleh membangunkan kerjasama erat di antara ibu bapa, komuniti dan swasta bagi memacu kecemerlangan.

Galak Lebih Ramai Ibu Bapa Terlibat Dalam Pendidikan Anak – mStar


Galak Lebih Ramai Ibu Bapa Terlibat Dalam Pendidikan Anak

Oleh PRIYA KULASAGARAN

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mencadangkan agar kursus keibubapaan diperkenalkan untuk menggalakkan ibu bapa terlibat dengan lebih aktif dalam soal pendidikan anak-anak mereka.

“Sesetengah ibu bapa mungkin memerlukan bantuan dalam mempelajari bagaimana untuk berinteraksi dan menanam nilai-nilai positif dalam diri anak-anak mereka.

“Kami sedang meneliti kemungkinan untuk mengadakan kursus-kursus tersebut dengan kerjasama dari kementerian lain yang berkaitan,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad.

Kementerian tersebut telah membangunkan ‘toolkit’ bagi membimbing ibu bapa mengenai cara bagaimana untuk terlibat secara aktif dengan sekolah dan untuk sekolah berhubung dengan ibu bapa dan komuniti yang lebih besar.

Toolkit tersebut merupakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk meningkatkan hubungan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah.

Empat sekolah dilapor tidak serah bantuan – Mohd Puad – Utusan


Empat sekolah dilapor tidak serah bantuan – Mohd Puad

BELURAN 4 Feb. – Kementerian Pelajaran menerima laporan terdapat empat sekolah yang tidak menyerahkan bantuan khas awal persekolahan kepada pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata keempat-empat sekolah di semenanjung itu berbuat demikian bagi menggunakan wang itu untuk yuran aktiviti di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sebaik menerima laporan itu, sekolah berkenaan dengan serta merta diarah menghentikan tindakan itu dan mengembalikan wang bantuan kepada ibu bapa pelajar.

“Kami mahu bantuan itu sampai kepada ibu bapa dan menggunakannya untuk pendidikan anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Bangunan Asrama sekolah itu di Paitan, semalam. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130204/dn_19/Empat-sekolah-dilapor-tidak-serah-bantuan—Mohd-Puad#ixzz2JuO53Onp
© Utusan Melayu (M) Bhd

PELINDUNG sokong tindakan tegas sekolah salah guna wang bantuan – Bernama


PELINDUNG sokong tindakan tegas sekolah salah guna wang bantuan

2013/01/24 – 14:01:46 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (PELINDUNG) menggesa Kementerian Pelajaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan.

Presidennya, Ahmad Othman, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggagalkan matlamat kerajaan untuk membentu pelajar, khasnya golongan miskin daripada menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan itu.

“Selain bercanggah dengan Pekeliling Kementerian, ia juga menyalahi peraturan dan etika kemasyarakatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini yang meminta pihak sekolah tidak menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan RM100 setiap pelajar bagi meringankan bebanan ibu bapa pada awal musim persekolahan.

Sebelum itu, akhbar melaporkan terdapat sebuah sekolah di Johor yang menawarkan potongan bayaran yuran komputer jika ibu pelajar menjelaskan kesemua bayaran dengan menggunakan wang bantuan awal persekolahan itu.

Ahmad berkata, walaupun kejadian itu tidak dilaporkan berlaku di Kelantan, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan perkara sama turut membabitkan sekolah di Kelantan.

Ini kerana kebanyakan ibu bapa, terutama yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung banyak hutang dengan pihak sekolah dan PIBG seperti pelbagai jenis yuran.
– BERNAMA