Guru tak harus mudah terpengaruh media sosial – Bernama


Guru tak harus mudah terpengaruh media sosial

18 Julai 2013

KUALA BESUT – Guru digesa agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang paparan negatif mengenai kerajaan menerusi media sosial sehingga timbul sikap tidak mempercayai dan membenci pemerintah.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru sebagai profesion yang mulia dan dihormati, perlu mahir menilai sesuatu isu serta tidak membelakangi tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Katanya banyak perkara negatif dipaparkan dalam media sosial yang tidak diketahui sumber sebenar dan ini perlu ditapis setiap guru yang merupakan golongan terpelajar.

“Kalau ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan warganya yang hebat, guru seharusnya mengenepikan amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetangah media sosial,” katanya ketika berucap pada program Bicara Intelektual kepada warga pendidik di Institut Pendidikan Guru Malaysia Sultan Mizan di Bukit Keluang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dan Pengarah IPG Sultan Mizan, Kamaruddin Hashim.

Beliau berharap para guru untuk terus berbakti menjadikan Malaysia sebuah negara hebat menjelang 2025 dan bergerak seiring dengan kerajaan bagi membangunkan modal insan yang hebat untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Idris menyarankan agar digabungkan tenaga dalam kalangan pakar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan wujud pengaliran ilmu dan kemahiran secara terus yang boleh dimanfaatkan pelajar di peringkat sekolah.

Menurut beliau, melalui penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, para akademik seperti profesor dan pensyarah boleh menyampaikan ilmu dan kepakaran mereka kepada pelajar sekolah dan maktab pada bila-bila masa.

“Kita tidak mahu lagi melihat pakar atau profesor berada dalam alam pekerjaan mereka di IPT sahaja, malah sekali-sekala mereka juga boleh turun padang untuk menyampaikan ilmu di sekolah,” katanya.

Justeru, katanya langkah yang akan dilaksanakan Universiti Sains Malaysia(USM) Kelantan yang mengadakan Program Brain Bee dengan SMK Kuala Besut boleh dicontohi, yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi.  – Bernama

Penggabungan dua kementerian adalah agenda transformasi negara – Berita Harian


Penggabungan dua kementerian adalah agenda transformasi negara

2013/06/27 – 11:04:28 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang dikenali Kementerian Pelajaran adalah sebahagian daripada agenda tranformasi negara bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi bagi menyokong rancangan kerajaan menyediakan Malaysia ke arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah langkah penyeragaman dasar pendidikan negara dengan berpaksikan falsafah Pendidikan Negara.

Beliau berkata, langkah itu turut membabitkan usaha memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPM 2013-2025) dan kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi menyediakan sistem pendidikan bermula dari peringkat rendah, menengah dan seterusnya.

“Langkah penyelarasan sudah dilakukan lebih awal. Sejajar dengan usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara seiring dengan agenda transformasi negara yang lain.

“Selain memastikan kerajaan dapat menyediakan modal insan yang dimanfaatkan daripada sistem pendidikan menyeluruh, ia juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan ,” katanya ketika menjawab soalan lisan ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-13 di sini, pagi tadi.

Soalan yang ditanyakan Abdul Aziz adalah berkenaan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pelaksanaan PPPM 2013-2025 dan PSPTN susulan daripada langkah itu .

Kementerian Pelajaran Dan Pengajian Tinggi Digabung – mStar


Kementerian Pelajaran Dan Pengajian Tinggi Digabung

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PUTRAJAYA: Pengumuman senarai kabinet yang baru pada Rabu menyaksikan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi digabung di bawah satu kementerian.

“Menteri Pertama (I) ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Menteri Kedua (II) pula adalah Datuk Seri Idris Jusoh.

“Timbalan Menteri I ialah Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri II, P. Kamalanathan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan senarai barisan Kabinet baru di sini, Rabu.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini dipimpin secara berasingan oleh menteri masing-masing iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bincang tambah baik pendidikan Cina – Metro


Bincang tambah baik pendidikan Cina

 0  1 Google +0  0  0

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat cadangan mengiktiraf Sijil Kelayakan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dimaklumkan Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di pejabatnya di sini, semalam.

Pengerusinya Dr Yap Tian Sin ketika membacakan kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri dan Dong Zong berkata, pertemuan diadakan bagi membincang dan bertukar idea untuk penambahbaikan pendidikan Cina di negara ini.

“Perjumpaan itu menyentuh isu pengiktirafan UEC yang ada hubung kait dengan permohonan memasuki IPTA. Kami juga berbincang mengenai pelajar sekolah aliran Cina yang perlu sekurang-kurangnya kredit bagi Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.
“Kami juga berbincang mengenai pengiktirafan subjek Bahasa Malaysia dalam UEC,” katanya. ketika ditemui media di luar bangunan Perdana Putra di sini.
Dr Yap turut mengakui ia kenyataan bersama pertama dikeluarkan kedua-dua pihak dalam tempoh lebih 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Guru akan dijadikan profesion berprestij – Bernama


Guru akan dijadikan profesion berprestij

11 September 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah,” kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

“Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,” kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

“Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum,” kata laporan itu.- Bernama

Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013 – mStar


Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013
Oleh TASHNY SUKUMARAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia berhasrat untuk memulakan latihan vokasional di sekolah tinggi menjelang 2013, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam.

“Kami mahu menjadikan pendidikan vokasional sebagai satu sistem pilihan yang menarik malah menjadi pelajar lebih cemerlang,” kata beliau, yang berucap pada Konvensyen Kemahiran Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Beliau berkata, pendidikan vokasional amat penting, dan para pelajar perlu diberikan pendedahan mengenainya dari Tingkatan Satu dan seterusnya.

Pelajar juga akan menerima sijil vokasional berserta dengan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Subramaniam menjelaskan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang berunding dengan beberapa universiti bagi membincangkan tentang pemberian ijazah bagi kemahiran yang dipelajarinya dan bukannya diploma supaya graduan sekolah vokasional akan memiliki dua kelayakan dan memerlukan pengalaman itu.

“Saya berharap ia dapat menyesuaikan diri dengan sektor swasta supaya kita dapat memperoleh sinergi,” katanya kepada delegasi pada konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.

“Mendedahkan para pelajar kepada pendidikan vokasional pada usia muda membantu mereka untuk terus mahir… menjelang 2020, 60 peratus daripada pekerjaan adalah berdasarkan kemahiran,” kata beliau.

SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja – Bernama


SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja
2012/06/08

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan turun padang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk sesi penerangan kepada pelajar berhubung pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata lawatan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menarik minat mereka berkhidmat sebagai penjawat awam sebaik menamatkan pembelajaran.
Mahmood berkata, masih banyak pihak belum tahu kemudahan-kemudahan yang dinikmati penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta peluang melanjutkan pelajaran yang ditanggung kerajaan.
“Dengan sesi penerangan itu, kita harap minat itu bertambah. Kita pun sudah sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan beliau setuju minta kita turun ke bawah ‘go to the ground’ berjumpa dengan pelbagai pihak untuk memberi penerangan.

“Perdana Menteri juga mahu supaya penjawat awam yang akan dilantik ini nanti seorang yang profesional, berinisiatif, proaktif, berfikiran terbuka dan positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA di sini hari ini.

Mahmood juga berkata, SPA akan mengadakan pertemuan dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan berhubung isu kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

“Laporan (mengenai kekurangan penyertaan bukan Bumiputera) sudah ada. Cuma kita nak dapat lebih terperinci lagi. Kita nak faham apa masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain nak. Apa masalah dia. Kenapa dia tidak tertarik dalam sektor awam,” katanya.
Baru-baru ini SPA memaklumkan, pada tahun lalu hanya 20 peratus kaum bukan Bumiputera memohon pekerjaan dalam sektor awam iaitu masing-masing dua peratus untuk kaum India dan Cina dan 16 peratus lagi kaum-kaum lain berbanding 80 peratus permohonan daripada calon Bumiputera. – BERNAMA

Guru prasekolah wajib miliki diploma di bawah RMK-10: Khalid – Bernama


Guru prasekolah wajib miliki diploma di bawah RMK-10: Khalid

2012/05/04

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini menekankan keperluan bagi guru prasekolah menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat diploma bagi mengubah sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setakat ini kira-kira 93 peratus guru terbabit tidak memiliki kelayakan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE).

“Bagi mencapai sasaran ini, ada keperluan untuk meningkatkan kemahiran guru sedia ada dan menyediakan latihan praperkhidmatan.

Kami berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam membangunkan pusat latihan ECCE bagi meningkatkan kualiti guru,” katanya kepada pemberita di sini.

Seiring dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan pendidikan, Mohamed Khaled berkata pembangunan pusat ECCE swasta akan menjana pendapatan kasar negara sebanyak RM338 juta pada 2020 dan menawarkan 370 pekerjaan.

Pada 2010, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), 6,580 guru prasekolah swasta dilatih oleh pusat ECCE swasta selama tiga minggu. Pada 2011, 6,421 guru prasekolah mendapat manfaat dan pada 2012, seramai 6,999 dijangka menerima latihan baik di pusat milik kerajaan mahupun swasta, kata Mohamed Khaled.

“Inisiatif ini mensasarkan pengeluaran 218,500 guru pendidikan awal kanak-kanak bagi menampung keperluan,” katanya.
Bagi merealisasikan visi itu, Mohamed Khaled berkata Kumpulan SEGi telah menyatakan ikrar untuk menyumbang RM398 juta bagi menubuhkan hab ECCE di Kota Damansara dan pusat ECCE satelit di seluruh negara.

Setakat ini, terdapat 6,767 pusat asuhan kanak-kanak swasta di seluruh negara.

Beliau berkata objektif utama inisiatif ECCE ialah meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus tahun ini dan 92 peratus pada 2015 serta meningkat kepada 97 peratus pada 2020 di bawah GTP.

“Bagi memenuhi sasaran itu, kementerian akan memainkan peranan utama mengawal selia pusat terbabit sama ada daripada segi standard, kualiti dan akses kepada pendidikan di pusat ECCE swasta,” katanya. – BERNAMA