CUEPACS mohon timbang bonus 2 setengah bulan – Bernama


PUTRAJAYA 9 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini dan berharap permintaan ini akan dipertimbangkan.

“Melihat pada keadaan ekonomi semasa sekarang, pada kami permohonan pemberian bonus dua setengah bulan ini yang telah diputuskan semasa mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah sesuai,” kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Omar berkata, pemberian bonus bukan sahaja khabar gembira buat 1.4 juta penjawat awam bahkan akan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif di dalam negara.

“Namun begitu, saya berharap jika adanya pengumuman bonus kelak peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya.

CUEPACS juga berharap agar skuad pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terus membantu memantau harga barangan dalam pasaran, kata beliau.

Pada tahun lepas, kerajaan memberi bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam dan pemberian bonus tersebut merupakan yang terbaik pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini.

Katanya, bersempena dengan kedatangan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri nanti semestinyalah penjawat awam mengharapkan bantuan dalam bentuk bonus daripada kerajaan bagi meringankan beban kewangan mereka. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130709/dn_57/CUEPACS-mohon-timbang-bonus-2-setengah-bulan#ixzz2YeJm1tzP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along – Bernama


Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along

25 Mac 2013
Omar Osman
Omar Osman

KUALA LUMPUR – Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau ‘Along’ dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

“Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – Bernama

Didik pelajar sekolah banteras cetak rompak – Utusan


Didik pelajar sekolah banteras cetak rompak

BERA 24 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan program Kids@Kepenggunaan bagi mendidik pelajar sekolah membanteras amalan cetak rompak dan menyerapkan kepentingan perlindungan harta intelek.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merupakan kesinambungan Kempen Membanteras Cetak Rompak yang dianjurkan Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu pada 2010.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke sekolah sepanjang tahun ini bertujuan memberi pengetahuan kepada golongan tersebut mengenai keburukan cetak rompak.

“Program ini merupakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperluaskan lagi perlindungan hak cipta ke atas karya dan hasil ciptaan pereka terbabit.

“Langkah itu dilihat dapat menangani masalah berkaitan cetak rompak pada peringkat akar umbi yang bermula dari peringkat sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan program Kids@Kepengggunaan 2013 Gerak Gempur Cetak Rompak di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130225/dn_16/Didik-pelajar-sekolah-banteras-cetak-rompak#ixzz2Lu5UVuGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dedah pelajar kepada isu pengguna – Kosmo


Dedah pelajar kepada isu pengguna

BERA – Program celik kesedaran mengenai hak kepenggunaan untuk golongan kanak-kanak, Kids@Kepenggunaan, diteruskan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32 di sini bakal menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung esok.

Program itu yang akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9.30 pagi dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 pelajar.

Pengurus program, Leny Harlina Agus Sharif berkata, Kid@Kepenggunaan menggunakan pendekatan santai dan informatif sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Matlamat utama program ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna mendapat pembelaan jika ditipu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Program Kids@Kepenggunaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran.

Leny berkata, program itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, ceramah kepenggunaan serta nasihat dan perkongsian pengalaman daripada artis-artis jemputan iaitu Dafi, Fauziah Gambus dan Zoey.

“Mereka bukan sahaja akan menghiburkan peserta program tetapi juga berkongsi pengalaman mengenai cetak rompak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2LgI0nc9U
Hakcipta terpelihara

Tiada penganiayaan penjawat awam terlibat politik – Utusan


Tiada penganiayaan penjawat awam terlibat politik

MUHYIDDIN Yassin bertanya sesuatu kepada Omar Osman ketika melawat tapak pameran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama CUEPACS di Dewan CIDB, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan bertindak sewenang-wenang ke atas para penjawat awam yang dilapor melanggar etika bekerja semasa aktif berpolitik bagi memastikan tiada penganiayaan ke atas mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, demi keadilan, lembaga tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti segala laporan mengenai sesuatu aduan berdasarkan maklumat tepat dan lengkap.

Katanya, jabatan itu juga akan melakukan siasatan menyeluruh ke atas sesuatu aduan melibatkan penjawat awam yang berpolitik, tanpa menerima bulat-bulat laporan yang dikemukakan pihak tertentu.

“Sudah ada pekeliling yang dikeluarkan JPA yang membenarkan pekerja sektor awam terlibat dalam politik. Soal pertama, adakah yang terlibat itu dapat kelulusan atau tidak atau adakah buat sesuatu dalam jadual waktu kerja atau tak.

“Kita akan bertindak atas dasar maklumat tepat dan tidak boleh hanya bertindak atas dasar orang itu kata begitu begini kerana kalau disiasat sebenarnya mereka tidak buat. Jadi perlu ada perlu ada asas keadilan dalam tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam sesi dialog sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali dan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Dalam pada itu, Farida memberitahu, JPA sentiasa membuat pemantauan berterusan ke atas aduan serta aktiviti penjawat awam yang terlibat dalam politik bagi memastikan mereka tidak melampaui batas.

“Mesti ada bukti, saksi, di mana, waktunya serta sudah tentu tidak boleh aktif masa pejabat dan kalau waktu pejabat, kena dengan izin ketua jabatan tapi biasanya dia akur lepas waktu pejabat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130222/dn_03/Tiada-penganiayaan-penjawat-awam-terlibat-politik#ixzz2Lba7F27V
© Utusan Melayu (M) Bhd